Home > Tasawwur Amal Haraki, Usul Fiqh > Fiqh Tahaluf Siasi Dalam Ikhwan

Fiqh Tahaluf Siasi Dalam Ikhwan

Perbincangan mengenai hukum bertahaluf telah saya lalui dalam usrah sejak tahun 90an lagi semasa saya masih belajar di Mesir. Risalah yang digunakan oleh naqib ketika itu ialah risalah “Jima’ al-Siyasat”. Petikan daripada risalah tersebut telah saya muatkan dalam buku susunan saya yang bertajuk “ Siasah Syariyyah Dalam Harakah Islamiyyah” yang diterbitkan pada tahun 2000.

Perbincangan mengenai Tahaluf adalah sebahagian daripada tajuk berkenaan siasah luaran sebuah gerakan Islam dalam menentukan polisi hubungan luarnya dengan organisasi atau kerajaan yang tidak melaksanakan Islam atau organisasi yang memusuhi Islam dan agenda perjuangan Islam.

Abu Ammar dalam bukunya al-Masar menggariskan bahawa ahli gerakan Islam perlu dididik dengan ilmu siasah sejak langkah pertama mereka dalam gerakan Islam dan beliau membahagikan siasah syariyyah dalam gerakan Islam kepada siasah dalaman, siasah pendidikan dan siasah luaran.

Fiqh Salaf Dalam Tarbiah Siasah.

Umar al-Khattab pernah berkata bahawa; “ Ikatan keIslaman seseorang akan terungkai jika seseorang yang hidup dalam Islam tetapi tidak mengenal jahiliyyah”.

Maka mengenali jahiliyyah, organisasi dan agendanya adalah sebahagian daripada tarbiah siasah yang perlu di lalui oleh setiap individu Muslim.

Manhaj al-Quran dalam mendidik generasi pertama Islam juga sentiasa mendidik melalui kisah-kisah politik dan sikap mereka terhadap golongan beriman seperti kisah Fir`aun, Ashab al-Ukhdud, ashab al-kahfi, kisah raja Namrud, tipu daya Iblis dan sebagainya. Allah juga mendidik para sahabat dengan kisah-kisah ahli politik yang adil seperti Daud, Sulaiman dan Yusuf.

Kisah-kisah ini bukan sekadar penglipurlara kepada generasi sahabat yang menghadapi tentangan golongan kafir Quraisy tetapi merupakan tarbiyah Allah kepada generasi muslimin seluruhnya dalam mengenali siapakah musuh mereka, tabiat mereka, tipu helah mereka dan cara untuk menghadapi golongan ini sesuai dengan fitrah dan sunnah Allah kepada kejadian manusia.

Allah swt banyak menceritakan mengenai hakikat jahiliah dan tabiatnya di dalam al-Quran . Apabila Allah menceritakan sifat-sifat orang kafir, munafik, yahudi, nasrani dan musyrik dalam al-Quran maka ia menjadi satu aqidah yang ingin Allah terangkan kepada umat Islam mengenai hakikat tipudaya mereka supaya umat Islam mengenali tabiat mereka dan berwaspada terhadap perancangan mereka.

Selain daripada Allah menerangkan sifat-sifat mereka dan sejarah penentangan mereka kepada Islam Allah juga menegaskan bentuk hubungan yang sepatutnya dijalinkan antara orang beriman dan orang-orang yang tidak beriman secara individu mahupun jamaah orang yang tidak beriman.

Manhaj Islam.

Melalui kisah pertembungan antara golongan hak dan batil, Allah mendidik kita memahami manhajNya kepada manusia dalam proses untuk menegakan Islam.

1. Manusia diamanahkan untuk menegakkan Khalifah Allah dan memerangi segala fitnah yang menghalang manusia daripada menerima aqidah dan syariat Allah secara bebas kerana Allah tidak mungkin menghukum manusia di akhirat akibat kekufuran mereka jika mereka terpaksa. Hanya khalifah yang adil akan menjamin manusia hidup dalam keadaan mendapat Rahmat.

2. Sejak dakwah nabi s.a.w. diperingkat Mekah lagi Allah Azza Wa Jalla telah menegaskan matlamat akhir yang perlu dicapai oleh perjuangan Islam iaitu membawa Rahmat Allah ke seluruh dunia dan ia tidak akan tercapai sehingga tertegaknya Khalifah Allah sebagaimana Sulaiman a.s.

3. Walaupun matlamat akhir ialah mengembalikan kuasa politik kepada orang yang bertaqwa, Allah telah menurunkan al-Quran beransur-ansur membimbing nabi selangkah demi selangkah bukan sekadar mendidik nabi s.a.w. tetapi mendidik dan membentuk generasi sahabat yang bakal memikul amanah Islam yang berat.

4. Hakikat ini memahamkan kita bahawa walaupun Allah boleh memberikan kemenangan kepada Islam dengan kalimah ‘Kun’ tetapi Allah menghendaki qodo’nya berjalan mengikut takdir dan sunnah yang telah disunnahkan kepada manusia dan alam ini.

5. Allah mahu manusia memikul risalah Islam ini dan melaksanakannya dalam keadaan mereka lemah dan kuat dan hukum Allah atau bebanan taklif Allah kepada manusia juga meraikan kemampuan manusia untuk memikul taklif tersebut, kerana Allah tidak akan mentaklifkan ke atas manusia apa yang mereka tidak mampu melaksanakannya.

6. Allah mahu Islam ini ditegakkan di atas bahu sejumlah orang yang bertakwa yang telah berubah aqidah mereka daripada jahiliyyah kepada Islam, berubah keyakinan mereka, berubah cita-cita hidup mereka, berubah neraca fikir mereka, berubah akhlak mereka, berubah tabiat hidup mereka, berubah adat dan budaya mereka, berubah manhaj dan perjuangan mereka kepada Islam. Allah mahu perubahan sistem jahiliiyyah diluar kehidupan manusia dimulakan dengan mengubah kelemahan yang ada di dalam diri manusia. Dalam neraca Allah, seratus orang beriman yang sabar boleh mengalahkan dua ratus orang yang tidak faham.

7. Maka fokus utama didikan Allah ketika jahiliyyah menguasai seluruh sistem hidup manusia adalah dengan mewujudkan sejumlah manusia yang beriman dan terbentuk dengan `sibghah’ Allah dan mereka diikat dengan ikatan ukhuwwah dalam sof Islam berasaskan wala’ kepada Allah, rasulnya dan orang yang beriman dan bara’, tajarrud dan memutuskan diri daripada semua sistem jahiliyyah.

8. Melalui mahaj Allah ini wujud pemisahan antara golongan Islam dan golongan jahiliyyah, wujud perbezaan manhaj, perbezaan matlamat dan cita-cita, perbezaan wasilah dan amalan, perbezaan identity dan neraca nilai . Apa yang lebih utama ialah wujudnya genarasi mukmin yang digelar Allah sebagai Rijal yang benar bukan manusia buih yang boleh dihanyutkan arus ke timur atau ke barat.

9. Siasah luaran yang di amanahkan Allah kepada genrasi sahabat juga mengambil kira sunnatullah dalam taklif yang tidak mewajibkan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh tabiat manusia yang lemah. Walaupun di ayat-ayat terakhir adalah ayat perang sabil tetapi ayat-ayat makkliah adalah ayat yang melarang umat Islam mengangkat senjata.

10. Merialisasikan manhaj Allah, memperjuangkannya mengikut sibghatullah adalah amanah sebenar Allah dan ujian sebenar Allah ke atas manusia. Iblis amat tahu dan sudah cukup Iblis merasa lega apabila manusia mencari manhaj lain dalam memperjuangkan cita-cita mereka.

Ujian Allah.

Wujudnya syurga dan neraka, wujudnya hizbullah dan hizbus syaitan, wujudnya manhaj Allah dan manhaj taghut adalah kewujudan yang akan berterusan hingga hari kiamat. Ia adalah hakikat yang disengajakan oleh Allah sebagai ujian kepada manusia dalam kehidupan di dunia ini.

Untuk menghadapi segala ujian Allah ini umat Islam wajib melaksanakan manhaj Allah, memiliki sifat-sifat hizbullah dan sentiasa meletakkan musuh-musuh Allah sebagai musuh mereka. Inilah hakikat ujian Allah kepada orang yang beriman agar sentiasa berada dalam memelihara izzah Islam, melaksanakan manhaj yang tamayyuz dan terasing daripada manhaj golongan yang tidak beriman.

Memelihara sof perjuangan Islam agar sentiasa bersih daripada golongan berdosa apatah lagi diserapi oleh golongan yang memusuhi Allah dan rasulnya adalah satu kewajiban syarak. Umar al-Khattab berkata: ” kemenangan Islam adalah kerana dosa-dosa musuh-musuh Islam, bagaimana jika tentera Islam berdosa, bagaimana mereka akan mendapat pertolongan Allah.. ” Kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud dan Hunain adalah kerana kelemahan yang ada di dalam jiwa sebahagian umat Islam..

Berasaskan neraca al-Quran mengenai pra syarat kemenangan dan fiqh salafussoleh Ikhwan meletakkan syarat penting dalam siasah luaran mereka iaitu memastikan disiplin syarak benar-benar dipatuhi dalam ijtihad mengenai siasah luarannya.

Tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk mengalahkan jahiliyyah, kekufuran, kesyirikan dan kezaliman yang dilakukan oleh manusia dan mengembalikan mereka kepada mengiktiraf Uluhiyyah Allah Azza wa Jalla. Oleh itu hukum asal dalam hubungan luar Islam dan Jahiliyyah adalah perang.

Manhaj Islam dalam Siasah Luaran.

Hukum `azimah dalam hubungan luar gerakan Islam atau daulah Islam dan daulah kufr adalah perang atau membayar membayar jizyah. Umat Islam diharamkan memberi wala’ kepada musuh-musuh Islam dan wajib berlepas diri `bara’ daripada manhaj hiudp mereka.

Walaupun hukum terakhir mengenai hubungan luar daulah Islam dan daulah kufr dalam khitab Allah melalui ayat-ayat yang terakhir diturunkan adalah mewajibkan orang yang beriman memerangi golongan musyrik sehingga mereka tunduk dibawah sistem pemerintahan Islam, ia adalah hukuman berasaskan realiti kemampuan organisasi Islam untuk melaksanakannya. Kerana isu siasah adalah isu muamalat yang perlu dilihat kepada hikmah dan tujuan syarak.

Dalam Istilah ulama usul fiqh di sana terdapat hukum `azimah dan hukum rukhsah. Hukum asal adalah hukum azimah tetapi jika umat Islam tidak mampu melaksanakannya mereka boleh beramal dengan hukum rukhsah. Hukum `azimah dan rukhsah ini wujud dalam aspek aqidah, ibadah, muamalat dan siasah.

Hukum rukhsah dalam siasah hubungan luar gerakan Islam adalah seperti; hukum hudnah, suluh, tahaluf atau perlindungan politik dan musyarakah.

Hukum rukhsah adalah berasaskan kepada disiplin beramal dengan kaedah dharurat. “ Keadaan dharurat mengharuskan perkara yang haram” dan “ perkara haram yang dilakukan kerana dharurat hendaklah dengan kadar yang diperlukan sahaja”. Ia berbeza antara hukum ke atas individu dengan hukum ke atas jamaah atau organisasi.

Organisasi Islam dan pimpinan gerakan Islam yang menjadi qudwah kepada masyarakat awam wajib beramal dengan hukum `azimah dan dilarang beramal dengan rukhsah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat awam dan golongan yang di dakwahkan dikalangan orang yang tidak beriman.

Syarat Berdalilkan Amalan Dengan Keadaan Dharurat

Ulama Islam seperti al-Ghazali meletakkan tiga syarat untuk beramal dengan hukum darurat :
1. Ia adalah keadaan maslahat yang dharurat dalam susunan maslahat bukan sesuatu maslahat di peringkat hajiyat atau tahsiniyat.
2. Darurat tersebut adalah keadaan yang dipastikan kewujudannya secara qat`ie bukan dzanni.
3. Darurat itu adalah demi maslahat umum ummah bukan maslahat juz`ie atau kelompok tertentu.
Untuk beramal dengan hukum rukhsah dalam suasana dharurat tidak boleh berhujah dengan dalil masoleh al-mursalah.

Dalil Masoleh al- Mursalah

Masoleh al-Mursalah adalah sesuatu maslahat yang difikirkan manusia dengan pandangan akalnya sedangkan Syarak tidak menaskan ia adalah kebaikan atau keburukan. Manakala hukum dharurat adalah hukum yang ada nas pada asalnya.

Berperang dengan sistem jahiliyyah dan organisasinya adalah hukum asal dan tahaluf adalah hukum rukhsah yang perlu diteliti hakikat dan keadaan yang dibenarkan syarak untuk melakukannya.

Contohnya maslahat yang di diamkan.

Seperti Abu Bakar mengumpul al-Quran, Uthman memerintah menulis semula al-Quran dengan rasam tertentu yang di namakan rasm Uthmani dan membakar al-Quran yang ditulis dengan rasam lain selain daripada al-Quran rasam Uthmani dan Umar melarang memasukkan tanah yang dibuka oleh tentera melalui peperangan ke dalam kumpulan harta al-Ghanimah.

Contoh maslahat yang dinaskan.

Walaupun pada pandangan manusia meningkatkan produktiviti kerajaan adalah maslahah ummah tetapi kerajaan tidak boleh mewajibkan umat Islam berbuka puasa kerana perintah itu bercanggah dengan maslahat puasa yang ada nas.

Berhujah dengan Qiyas.

Jika sesuatu perkara itu ada dalil dan ingin dihubungkan dengan perkara baru yang tidak ada dalil ia dinamakan berdalilkan kepda dalil syarak secara Qiyas. Qiyas dalam isu muamalat dan siasah perlu mengambil kira illah hukum, atau sebab dan hikmah yang ada pada hukum asal.

Untuk memahami hikmah dan sebab para mujtahid perlu memahami realiti dan persekitaran sesuatu hukum itu secara terperinci dan membandingkan dengan reality semasa yang ingin diqiyaskan.
Sikap mencari dalil-dalil tertentu yang disukai dan tidak beramal dengan dalil tertentu dengan sengaja adalah amalan talfiq yang amat diharamkan .

Manakala rukhsah adalah beramal dengan hukum istisna’ atau pengecualian dan ia hanya boleh di amalkan kerana tuntutan dharurat dan sayugia mengikut syarat-syarat beramal dengan darurat yang ditegaskan oleh ulama usul fiqh.

Siasah luaran adalah hukum berkaitan organisasi, jamaah atau kerajaan yang wajib dipatuhi oleh ketua organisasi, jamaah atau kerajaan. Untuk memahami hukum siasah luaran dalam Islam, perlulah difahami nas-nas al-Quran kepada jamaah nabi s.a.w.

Perkara utama yang wajib difahami ialah siasah luaran ini sudah ada nas yang jelas dan qat`ie. Antaranya wajib bersifat tamayyuz, mufasolah dan hukum akhirnya adalah perang. Islam adalah sistem hidup yang tersendiri, berasaskan neraca tersendiri, budaya tersendiri, nilai-nilai tersendiri yang tidak boleh wujud tolak ansur dan kompromi.

Satu perkara lagi penting yang perlu difahami ialah isu politik atau siasah luaran adalah isu muamalat yang perlu dinilai berasaskan realiti dan hikmah sesuatu hukum berbeza dengan isu-isu ibadah khusus kepada Allah yang hanya dilihat pada nas-nas syarak tanpa perlu meneliti hikmahnya.
Siasah Luaran Dalam Seerah Nabi s.a.w.

Jika dipantau seerah rasulullah s.a.w. di dapati hubungan luar jamaah rasulullah s.a.w. mempunyai status yang berbeza semasa era Makkiah dengan era Madaniyyah.

Semasa di Mekah beberapa individu dibenarkan menerima perlindungan politik golongan musyrik Mekah. polisi luaran pula melarang umat Islam mengangkat senjata bagi memerangi kezaliman yang melanda sebahagian umat Islam. Untuk memelihara aqidah dan kesinambungan perjuangan Islam nabi s.a.w mengarahkan beberapa sahabat yang kuat berhijrah ke Habsyah apabila dikenalpasti rajanya seorang yang adil.

Walaupun dalam keadaan gerakan Islam masih lemah nabi s.a.w. menolak pelawaan Quraisy yang ingin melantiknya menjadi raja dan penolakan ini adalah perintah daripada Allah s.w.t. bukan ijtihad nabi s.a.w. Nabi s.a.w. juga memarahi Khabbab bin Arat yang meminta nabi s.a.w. berdoa agar diberikan kemenangan kepada perjuangan Islam di Mekah yang sedang dizalimi dan disiksa dan nabi s.aw. mengatakan bahawa mereka kaum yang terburu-buru.

Semasa era Madinah kerajaan nabi s.a.w hanya bersikap bertahan dan tidak memulakan peperangan sehingga kemenangan Islam dalam peperangan Khandak. Selepas peperangan Khandak barulah nabi s.a.w. melancarkan serangan terutamanya terhadap golongan Yahudi. Siasah luaran yang berkaitan dengan suluh dan tahaluf berlaku selepas itu seperti Suluh Hudaibiyyah dan Tahaluf nabi s.a.w dengan bani Khuzaah.

Muhammad al-Rasyid Menganalisa Dalil Tahaluf.

Isu tahaluf siasi bukan isu baru..Ulama telah berbincang lama.. Ia adalah hukum berkaitan siasah luaran negara Islam atau organisasi Islam dengan negara bukan Islam atau organisasi bukan Islam.

Hukumnya Haram dengan nas al-Quran yang mengharamkan wala’, beri kasih sayang dan pertolongan kepada organisasi bukan Islam dan dengan hadis sahih riwayat al-Bukhari yang menyatakan larangan meminta tolong orang musyrik dalam peperangan memerangi musyrik yang lain.

Hukum asal haram, menolong orang-orang kafir menjayakan agendanya walaupun sedikit.

Dalil yang kuat juga mengharamkan meminta tolong organisasi kafir walaupun untuk tujuan mengalahkan orang kafir yang lain..

Hudnah, Tahaluf dan Musyarakah adalah pengecualian daripada hukum asal dan terikat dengan syarat-syarat tertentu.

Gerakan Islam, pimpinan gerakan Islam yang menjadi Qudwah wajib beramal dengan azimah ( hukum asal ) haram beramal dengan rukhsah atau pengecualian.Pengecualian ini beasaskan kaedah ” dharurat mengharuskan yang haram”

Ulama juga meletakkan syarat-syarat ketat untuk berhujjah dengan dalil darurat ini.

Jadi.. isu tahaluf tidak boleh menggunakan dalil secara Qiyas.. sebab syarat qiyas bahawa hukum baru belum ada nas.. sedangkan isu menolong orang kafir atau minta tolong orang kafir adalah isu yang adan nas yang mengharamkannya.

Maka tahaluf siasi PAS adalah tahaluf yang menggunakan dalil “darurat”.

Imam al-Ghazali meletakkan 3 syarat untuk berhujjah dengan darurat bagi menghalalkan perkara haram:

1. Perkara itu diyakini sesuatu dharurat yang sebenar ( jika tak makan bangkai akan membawa maut) atu jika tidak bertahaluf dengan bukan Islam.. agama umat Islam dalam bahaya, nyawa umat manusia terancam, harta umat Islam akan hilang.
2. Penyelesaian tahalauf itu benar-benar merupakan satu penyelesaian yang yakin
3. Maslahat itu adalah bersifat menyeluruh.

Selain itu ulama yang mengharuskan bertahaluf dengan bukan Islam berdasarkan dalil-dalil nabi minta tolong sekumpulan Yahudi, Hilf Fudhul, Tahaluf nabi dengan bani Qazaah tidak mengharuskan tahaluf begitu sahaja tetapi dengan bersyarat antaranya:

1. Kerajaan Islam dalam keadaan kuat dan dominan.
2. Orang Kafir itu diyakini amanah dan tidak mengambil kesempatan untuk memerangi Islam selepas itu
3. Orang bukan Islam itu berada dibawah kuasa tadbir Islam.

Kerana dalil nabi minta tolong golongan Yahudi adalah hadis dhoif tidak setanding hadis soheh yang melarang minta tolong orang muyrik. Kalaupun boleh berhujah tetapi situasi Yahudi itu lemah dan dibawah kuasa tadbir kerajaan nabi.

Isu Hilf fudhul adalah kerjasama untuk sama-sama berbuat baik bukan sama-sama berperang atau mengalahkan satu-satu pihak. Oleh kerana hadis ini bertembung dengan hadis sahih yang melarang maka dalil ini dijuzukkan pengamalannya untuk sama-sama tolong menolong dalam isu-isu sosial bukan politik.
Hadis nabi bertahaluf dengan Bani Khazaah semsa Sulh Hudaibiyyah tidak boleh diqiyaskan dengan isu tahaluf siasi sekarang kerana:

1. Bani Khazaah bukan organisasi politik yang beragenda seperti parti-parti politik libral hari ini.
2. Dalam bani Qazaah ada umat Islam.
3. Bani Qazaah adalah qabilah yang amat rapat dengan nabi s.a.w. sejak sekian lama dan bermusuh dengan golongan musyrik Mekah yang lain.

Isu nabi meminjam baju besi orang bukan Islam dan nabi meminta pakar penunjuk jalan semasa hijrah tidak menjadi dalil yang kuat mengharuskan tahaluf siasi.
Sayugia difahami satu asas iaitu ” asal dalam perkara ibadah adalah untuk bertaabbud dan asal dalam muamalat termasuk politik adalah melihat kepada hikmah dan sebab”.

Maka untuk berhujjah dengan hadis-hadis nabi s.a.w. dalam isu muamalat dan politik para mujtahid perlu terlebih dahulu memahami sebab, hikmah, situasi dan sebagainya yang melingkungi sesuatu hadis barulah diqiaskan secara menyeluruh.

Kesimpulannya: Situasi tahaluf nabi s.a.w. dengan golongan musyrikin ketika ia berlaku tidak sama dengan situasi kekuatan Islam, gerakan Islam, realiti musuh Islam yang beragenda pada hari ini.

Maka organisasi Islam hari ini lebih sama dengan jamaah nabi semasa di Mekah.. maka manhaj yang betul adalah tidak terlibat aktif menghidupkan manhaj-manhaj jahiliyyah termasuk demokrasi, tetapi menggunakannya dengan kadar tidak boleh membawa mudarat lebih besar kepada agenda Islam.

Nabi di Mekah dilarang oleh Allah menerima tawaran kuasa Raja.. Dan peperangan nabi ketika itu adalah peperangan dakwah dan tarbiah serta memastikan manhaj dan identiti Islam yang bertamayyuz dan bermufasolah dengan jahiliyyah secara total.

Gerakan libralisma, human right, pluralisma adalah gerakan berstrategi yang dipandu oleh perjuangan globalisasi musuh Islam.. mereka mempunyai agenda dan manhaj tersendiri termasuk demokrasi..
Sedangkan Ummah Islam hari ini semuanya ibarat buih2, berpecah hati dan puncanya adalah sistem barat yang ditinggalkan dan BN adalah penggerak agendanya.

Namun manhaj yang berjaya mengubah jahiliyyah adalah manhaj yang lahidr daripada sunnatullah dan sunnaturrasul itu sendiri, itulah manhaj nabi s.aw. dan salafus soleh.

Islam tidak akan menang selagimana pejuang-pejuangnya tidak kembali kepada Alquran dan al-Sunnah dalam menekuni manhaj perjuangan mereka.

Inilah fikrah Ikhwan yang sebenar..

Adapun menjadikan pilihanraya untuk merebut kuasa pada pandangan Ikhwan adalah tindakan terburu-buru kerana tidak mengikut tertib sunnatullah dalam proses mengubah tamaddun manusia.

Hujjah saya ini berdsarkan apa yang saya petik daripada tulisan Abu Ammar dalam buku : Asas-Asas Berfatwa dan Berijtihad dalam Isu Praktikal, jilid 4. Bab Tahaluf .

Wallahu a’lam.

  1. 'ammar Lutfi
    May 16, 2012 at 5:45 pm

    assalamualaikum ustaz… ana mmpunyai pendapat yg sama dgn enta dlm bab tahaluf.. cumanya apa pndapat/komen ustaz terhadap http://www.kias.edu.my/tahalufsiasi08.htm ?? ap komen enta pd mereka yg berhujah sedemikian? kerana mereka juga mengatakan antara ulama [antaranya dr ikhwan sendiri] yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban…mohon penjelasan

    • renungan2u
      May 24, 2012 at 9:45 am

      Tulisan saya mengenai tahaluf siasi 100% hujjahnya adalah petikan daripada Al Rasyid dalam kitabnya Usul Ifta’ Wa Ijtihad Tatbiqi Jilid 4.

  2. 'ammar Lutfi
    May 25, 2012 at 3:11 am

    Jazakallah

  1. No trackbacks yet.

Leave a comment