Home > Tasawwur Amal Haraki, Tasawwur Amal Tarbawi, Tasawwur Islami > Kewajiban Memahami Sunnatullah

Kewajiban Memahami Sunnatullah

Undang-undang kehidupan, sunnatullah, undang-undang tabie, hukum alam dan takdir Allah adalah pelbagai istilah yang merujuk kepada satu perkara iaitu sistem dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah untuk alam ini sejak sebelum alam ini diciptakan. Allah telah menyusun kehidupan ini berasaskan sistem dan undang-undang tertentu daripada sel-sel yang paling kecil sehinggalah alam cakrawala yang luas.

Memahaminya dan menyusun kehidupan selari dengan sunnatullah ini adalah syarat kejayaan, kebahagiaan, keindahan dan segala kebaikan untuk kehidupan di dunia ini. Sebaliknya tidak memahami sunnatullah dan melawan arusnya akan membawa kepada kegagalan dan kemusnahan.

Penciptaan teknologi baru dalam sistem komunikasi, perubatan, pengangkutan dan segala sistem bagi kemudahan manusia adalah berasaskan kefahaman manusia terhadap sistem yang telah ditakdirkan untuk alam.

Kefahaman itu menjadikan mereka mampu membuat duplikasi dan mencipta sesautu yang baru dan penambah baikan selari dengan teori yang telah diasaskan daripada kefahaman terhadap sistem ciptaan Allah ini.

Manusia mencipta `microfon’, kamera, motor, lampu, kapal terbang, telefon dan segalanya berasaskan penemuan terhadap sistem-sistem tertencu ciptaan Allah pada alam ini.

Inilah maksud kepada beriman kepada takdir dan qada’ Allah SWT. Kita beriman bahawa sebelum Allah SWT mencipta semua makhluk dan alam ini, Allah terlebih dahulu menulis segala takdir, sistem, undang-undang atau sunnahNya untuk kehidupan alam ini. Memahaminya adalah satu kewajiban syar`ie.

Sunnatullah adalah ayat-ayat Allah yang diperlihatkan kepada pancaindera manusia dan wahyu adalah ayat-ayat yang dibacakan kepada manusia melalui rasulullah s.a.w. Al-Quran mengajar manusia memahami sunnatullah yang dilihat di dunia ini.

Kedua-duanya ini menjadi pelengkap dalam membimbing manusia dalam melaksanakan peranan mereka semasa hidup di dunia.

Mencontohi gayahidup nabi Muhammad s.a.w. adalah carahidup paling selamat. Kerana Allah telah mendidik dan membimbing nabi s.a.w. dalam menjalani kehidupan ini dan sunnah nabi s.a.w. adalah sunnah yang berpandukan sunnatullah. Menjadikan seluruh sunnah nabi s.a.w. sebagai amalan merupakan jalan pintas kepada kesejahteraan hidup.

Golongan yang tidak beriman dengan rasulullah s.a.w. dan tidak mahu mencontohinya bersusah payah meneliti undang-undang alam ini. Maka lahirlah penemuan-penemuan sains, teori-teori dan undang-undang yang dinamakan undang-undang alam. Semua penemuan ini adalah ‘al-hikmah’ yang merupakan barang hilang milik umat Islam, di mana sahaja ia ditemui maka umat Islamlah yang lebih berhak ke atasnya.

Berapa ramai manusia menyalahkan Allah kerana sangkaan mereka Allah telah mentakdirkan mereka menjadi miskin, mereka menjadi pelacur, mereka menjadi penyanyi, mereka ditimpa kemalangan dan segala-galanya. Sedangkan itu hanyalah Qodo’ Allah kepada pilihan manusia.

Apabila mereka lahir di zaman ini di mana umat Islam menjadi dagang, lemah dan dihina; kebanyakan mereka hanya pasrah, menerima dan bersabar tanpa mencari apakah puncanya dan bagaimana untuk membangunkan semula keagungan Islam. Sedangkan jatuh bangun sesuatu ummah dan ketamaddunannya juga terikat dengan hukum sebab musabbab.

Sebaliknya mereka hanya mengikut dorongan nafsu syahwat mereka walaupun mereka mempunyai pelabagai pancaindera kurniaan Allah dan akal waras berfikir tetapi tidak digunakan sebaiknya.

Allah mentakdirkan kepada kehidupan dan kewujudan sesuatu di alam ini berasaskan hukum sebab dan akibat. Setiap sesuatu diciptakan dengan sebab tertentu untuk tujuan tertentu dan tergabung dalam satu sistem yang saling berkait antara satu sama lain.

Ia adalah kitaran kehidupan yang sistematik, seimbang dan dinamik yang cukup hebat. Manusia diamanahkan untuk menguruskannya menuju objektif yang telah ditentukan Allah dengan menggunakan sebab-sebab yang telah ditentukan Allah.

Manusialah yang memilih untuk melakukan sebab-sebab yang menjadikan mereka berjaya atau memurut nafsu yang merupakan sebab mereka binasa. Apabila manusia membuat pilihan dan melakukan sebab-sebab itu maka jika Allah mahu Dia akan mengqodo’kan natijahnya atau sebaliknya.

“Tidak merancang untuk mencapai kejayaan adalah merancang untuk gagal”.

Ini adalah satu undang-undang hidup yang telah dipercayai manusia setelah mereka meneliti sunnatullah kepada kehidupan ini.

Manusia yang tidak berfikir, merancang dan menentukan sendiri apa yang ingin wujud dalam hidupnya sebenarnya menyerahkan nasibnya kepada perancangan orang lain.

Apabila umat Islam tidak berfikir, merancang dan menyusun sistem hidup dan perjuangan mereka berasaskan manhaj Allah mereka sebenarnya melaksanakan sistem hidup dan manhaj musuh Allah secara tidak sedar.

Kehidupan ini akan berjalan sama ada berasaskan manhaj Islam yang hanya digubal dan diperjuangkan oleh umat Islam atau berasaskan manhaj yang digubal oleh musuh Islam.

Umat Islam wajib berfikir, merancang, menggubal manhaj perjuangan berasaskan ilmu terhadap sunnatullah bebas daripada kotak pemikiran sistem hidup dan undang-undang jahiliah yang mengongkong seluruh kehidupan kini. Ketika itu baru arus perubahan hidup, berkembang, membangun dan utuh berasaskan sunnatullah kepada kemenangan Islam.

Sebaliknya hanya bergantung sepenuhnya kepada sistem demokrasi dan pilihanraya yang libral, pragmatis dan secular ini dan terperangkap di dalam kotak perundangan ini tidak akan membawa perjuangan Islam kepada kejayaan membangunkan tamaddun Islam. Sistem itu telah diciptakan barat untuk melemahkan perlaksaan manhaj Islam.

Allah memiliki kuasa mencipta sesuatu apa sahaja `iradahNya’ dengan kata “Kun” maka “iradahNya” itu akan jadi sebagaimana Dia Mahu. Sebagaimana ketika api nyalaan Namrud menjulang membakar Ibrahim a.s. Allah berfirman kepada Api : “ Jadilah kamu sejuk dan selamat kepada Ibrahim” lalu api itu menjadi sejuk dan Ibrahimpun selamat..

Namun Allah menciptakan alam dunia ini untuk menguji manusia. Ujian ini menuntut manusia berusaha dengan daya kekuatan yang dianugerahkan Allah kepada mereka berpandukan wahyu Allah melalui qudwah para nabi dan rasul `alaihimussolatu was salam”.

Kita beriman bahawa Allah Maha Mengetahui, amat pakar dan bijaksana, bebas melakukan apa sahaja yang Dia mahu. Allah mampu melakukan perkara mukjizat yang diluar kebiasaan undang-undang yang telah ditentukanNya sendiri jika dia mahu melakukannya.

Namun sebagai manusia yang hidup didunia ini kita diuji oleh Allah dengan tanggungjawab menguruskan dunia, mentadbir, membangun, memakmurkannya dan terikat dengan sunnatullah dan undang-undang yang telah ditentukan Allah pada kehidupan ini.

Inilah intipati kepada keimanan kita pada Qodo’ Allah dan kehendakNya yang membuka harapan kepada manusia yang kerdil untuk sentiasa berdoa dan pasrah kepada kehendak Allah SWT dan hikmahNya setelah bersusah payah beruasaha memahami dan menyusun segala sebab bagi mencapai setiap tujuan yang di amanahkan Allah ke atas mereka .

Oleh itu memahami sunnatullah adalah syarat utama sebelum melakukan apa juga strategi, plan dan aktiviti.

Sama sahaja dalam urusan melakukan gerakan perubahan, pengislahan dan pembangunan pada sisi sosial, ekonomi mahupun kekuatan politik ataupun dalam menganalisa punca penyakit atau punca sesebuah kapalterbang terhempas.

Sunnatullah atau undang-undang tabi`e ciptaan Allah ini merupakan prinsip umum yang perlu dipatuhi dan diterima. Penemuan sains dan teknologi adalah penemuan dan pemahaman manusia terhadap sunnatullah pada alam ini.

Diri manusia sendiri penuh dengan pelbagai sistem yang telah ditentukan Allah. Sistem sel, sistem saraf, penghadaman, imunasi, penglihatan, pendengaran, pelbagai deria, akal, nafsu, roh, hati yang bersifat jasmani dan rohani.

Untuk memahami sunnatullah terhadap diri manusia juga melalui dua cara iaitu melalui nas-nas Syarak dan penelitian akal fikiran yang juga telah disunnahkan Allah akan sistem dan fungsinya.

Pengkajian mengenai diri manusia melahirkan pelbagai cabang ilmu dalam pelbagai bidang bagi memandu kehidupan manusia; sains perubatan, kejuruteraan genatik, sains sosial, politik, ekonomi, diplomatic, perancangan, pengurusan, pentadbiran, perniagaan dan sebagainya.

Sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah Allah di dunia manusia wajib memahami dahulu sistem dan sunnah yang telah Allah tentukan pada alam ini secara keseluruhan termasuk diri manusia dan proses membangun manusia yang madani.

Mamahami aspek ini merupakan asas kepada konsep “waqiiyyah jiddiah dan waqiiyyah harakiyyah” dalam gerakan Islam atau “fiqh haraki”

Imam al- Banna dalam usul ke 19 daripada 20 asas dalam rukun Faham menyebut :

وقد يتناول كل من النظر الشرعى والنظر العقلى ما لا يدخل فى دائرة الآخر ولكنهما لن يختلفا فى القطعى : فلن تصطدم حقيقة علمية صحيحة بقاعدة شرعية ثابتة, ويؤول الظنى منهما ليتفق مع القطعى, فان كانا ظنيين فالنظر الشرعى أولى بالاتباع حتى يثبت العقل أو ينهار

“ Berkemungkinan pernyataan daripada nas-nas Syarak tidak selari dengan pemahaman akal secara logic tetapi akal manusia tidak akan berselisih faham dengan nas-nas syarak yang “qat`ie” . Begitu juga nas-nas syarak yang “qai’e” tidak akan bercanggah dengan penemuan logik akal. Tidak akan wujud pertembungan antara kebenaran sains dengan asas-asas syarak yang sabit dan jika berlaku pertembungan maka sesuatu perkara yang di tahap “dzanni” daripada kedua-duanya hendaklah ditafsirkan agar bersesuaian dengan fakta yang “qat’ie”. Sekira kedua-duanya yang di tahap yang tidak pasti “dzanni” maka nas-nas Syarak lebih utama diikuti.

Sunnatullah, takdir Allah pada alam ini, undang-undang tabie dan hukum alam adalah difahami; sama ada daripada dalil-dalil Syarak yang “qat`ie” kewujudanNya dan “qat`ie” maknanya atau melalui kajian yang saintifik.

Nas-nas Syarak yang “qat`ie” kewujudannya adalah al-Quran dan Hadis yang mutawatir. Hadis “Ahad” adalah ditahap “dzanni” kesabitannya. “Qat`ie” pada maknanya bermaksud nas-nas syarak yang difahami secara putus memberi maksud kepada sesuatu makna. Makna yang dzanni adalah nas-nas Syarak yang boleh ditafsirkan dengan berbagai pentafsiran; seperti boleh ditafsirkan mengikut penggunaan bahasa yang hakiki, boleh ditafsirkan secara kiasan, perbandingan dan sebagainya.

Contoh nas yang qat`ie pada maknanya:

ان الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم

“ Sesunggunya Allah tidak akan mengubah sesuatu yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah sesuatu yang ada di dalam diri mereka”.

Ayat ini menegaskan kehendaklah Allah ataupun penyataan Allah terhadap undang-undang perubahan, sunnatullah dalam mengubah manusia atau hukum tabie dalam proses mengubah manusia.

Apapun kelemahan, korupsi, jenayah, kegagalan, kemiskinan, kemunduran, keruntuhan dan kemusnahan dalam budaya hidup manusia, sistem hidup manusia; social, ekonomi maupun politik adalah disebabkan oleh kelemahan, korupsi, kemiskinan dan kecelaruan dalaman diri manusia. Sama ada manusia itu pemerintah mahupun rakyat.

Puncanya adalah kelemahan akal sebab kejahilan dan salah faham; kelemahan jiwa yang diselaputi oleh nafsu-nafsu mazmumah disebabkan dosa dan kelemahan ruh yang terputus hubungan dengan Penciptannya.

Perubahan politik dan perubahan ekonomi adalah perubahan luaran yang akan turut berubah apabila dalaman manusia berubah.

Apabila aqidah manusia benar, ibadah manusia sah, akhlak manusia terpuji dan mantap, akal manusia penuh dengan ilmu pengetahuan mengenai sunnatullah, sentiasa bermujahadah melawan nafsu mazmumah, membuat plan kehidupan, berdisiplin dan memanfaatkan masa, sentiasa mengutamakan perkara yang bermanfaat kepada manusia lain dan kuat tubuhbadan, akan berlakulah perubahan dalam tamaddun manusia.

Contoh ayat yang dzanni maknanya:

(والأرض مددناها ) سورة القاف : 7 ( والأ وض بعد ذلك دحىها ) سورة النازعات: 30

“ dan kami telah membentangkan bumi itu” Qaf: 7

“ Dan bumi, setelah itu dihamparkan”.

Sebaliknya kajian sains telah membuktikan bahawa bumi ini bulat.

Maka nas-nas al-Quran ini apabila ditafsirkan bahawa Allah telah menghamparkan bumi ini bermaksud bumi ini dipermudahkan kepada manusia untuk hidup diatasnya atau bumi ini terhampar pada pandangan mata.

Memahami sunnatullah akan membawa manusia memahami manhaj dan celupan Allah dalam mengubah tamaddun manusia. Memahami manhaj Allah ini adalah asas fiqh haraki yang diasaskan oleh imam al-syahid Hassan al-Banna.

Gerakan Islam adalah gerakan yang berusaha membangunkan semula ketamaddunan Islam sebagaimana generasi terdahulu telah berjaya membangunkannya. Kegagalan memahami sunnatullah dalam proses membangunkan tamaddun ini pasti akan mensia-siakan perjuangan walaupun telah diasaskan ratusan tahun.

Wahai pimpinan gerakan Islam yang menerima bai`ah dan wala’ umat Islam, bertakwalah kamu kepada Allah, belajarlah dan fahamilah sunnatullah ini dan lakarkan peta perjuangan berasaskan ijtihad yang betul. Bertanyalah mereka yang tahu jika anda ragu-ragu.

Tanpanya kefahaman yang betul, amal juga tidak betul dan pasti wang ringgit yang dibelanjakan, masa dan umur yang dihabiskan akan sia-sia dan diakhirat ia menjadi debu yang tidak berguna.

Gerakan dakwah adalah ibadah dan syarat sah ibadah adalah ikhlas dan betul dengan sunnatullah.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: