Archive

Archive for the ‘Rohaniyat’ Category

Erti Ramadhan Untuk Pejuang.

August 20, 2011 1 comment

Rata-rata umat Islam di Malaysia, guru-guru yang memberi tazkirah mengajak umat Islam menghidupkan amal ibadah di bulan Ramadhan untuk mengejar pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan Allah SWT.

Bagi seorang mujahid Ramadhan adalah kurniaan Rahmat Allah yang terlalu bernilai harganya kerana kejayaan dan kemenangan dunia hanya diberikan Allah kepada golongan muttaqin. Kemenangan atas nama Islam dan kemenangan yang yang dijanjikan syurga adalah kemenangan golongan yang muttaqin. Mencapai jiwa muttaqin dan mutmainnah adalah cita-cita setiap mujahid dalam perjalanan mereka untuk bertemu dengan Allah.

Read more…

أول الدين معرفة الله

February 11, 2011 1 comment

Mengenal Allah dan mencintai-Nya adalah asas tadayyun. Tadayyun ertinya hidup beragama. Seseorang yang bertadayyun disisi Allah adalah sebagai Rabbaniyyin.

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللّهِ وَلَـكِن كُونُواْ رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ (:7

“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “”Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.”” Akan tetapi (dia berkata): “”Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”  Ali Imran: 7.

Rabbaniyyin adalah identiti dan jatidiri Muslim yang menjadi fokus dakwah nabi s.a.w. maka setiap individu Muslim yang menjadi pengikut nabi Muhammad s.a.w. wajib menjadikan dirinya seorang yang Rabbani.

Hidup bertadayyun adalah ikrar setia seorang Muslim yang diulang-ulang setiap kali dia menunaikan solat.

قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (6:162)

 “Katakanlah: “”Sesungguhnya salat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam,” Al-An`am :162

Tadayyun adalah menjadikan seluruh hidup berada di atas Manhaj Allah.

Sentiasa bersama Allah; diakalnya, dihatinya, disanubarinya dan diseluruh urat saraf dan denyutan nadinya.

Sentiasa mengharapkan Allah

mencintai Allah

mengutamakan Allah

disemua  ketika;  kalah dan menang,  susah dan senang, sesak dan lapang, lapar dan kenyang, malam dan siang, pagi dan petang.

Allah itu Rabbil `alamin pencipta alam ini dan sistemnya, pentadbir dan pemeliharanya. Allahlah yang mengilhamkan kepada sekelian makhluk dan menunjukki jalan-jalan kehidupan. Rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambanya di dunia ini amat luas sehinggakan orang-orang kafir, fasik dan zalim juga mendapat menikmati segala kurniaan Allah kepada sekelian mahluk didunia ini. Tidak ada yang melata dibumi melainkan Allahlah yang menyediakan rezki untuk kehidupan mereka.

Sejak permulaan kewujudan alam ini, seluruh sistem bergerak, berjalan, beredar dan berputar dengan selari, selaras dan seirama, tersusun dengan amat sistematik, tepat dan tidak terlewat atau tercepat walau sedetik. Segalanya ini telah ditakdirkan, ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Azza wa jalla yang Maha Agung dan Maha Bijaksana. Segala-galanya ini telah ditulis oleh Qalam dengan perentah Allah sebelum lain-lain kewujudan diciptakan Allah.

Allah telah mengulang-ulang hakikat RububiyyahNya ini berkali-kali dalam al-Quran bagi mengetuk jiwa manusia agar mengiktiraf kehebatan Allah, menerimaNya sebagai tuhan yang Esa yang disembah, ditaati dan di agungkan.

Dalam surah al-An`am Allah menyatakan:

 الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّهِم يَعْدِلُونَ (6:1) 

” Segala puji bagi Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi, dan mengadakan gelap dan terang, namun orang-orang yang kafir mempersekutukan (sesuatu) dengan Tuhan mereka.” 6:1

Allah SWT lah Tuhan yang mencipta langit dan cakrawala yang begitu hebat dan luas dan Dialah yang menciptakan bumi yang terlalu kecil dibandingkan dengan cakrawala ciptaannya. Allah juga yang menciptakan sinar cahaya yang berkilau terang benderang yang tidak mampu ditentang oleh mata dan Dialah juga yang menciptakan kegelapan yang pekat.

Itulah hakikat kekuasaan Rububiyyah Allah tetapi masih wujud manusia jahil, bodoh dan dungu menjadikan makhluk kerdil sebagai sembahan dan pujaan.

 هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن طِينٍ ثُمَّ قَضَى أَجَلاً وَأَجَلٌ مُّسمًّى عِندَهُ ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ (6:2)

“Dialah Yang menciptakan kamu dari tanah, sesudah itu ditentukannya ajal (kematianmu), dan ada lagi suatu ajal yang ditentukan (untuk berbangkit) yang ada pada sisi-Nya (yang Dia sendirilah mengetahuinya), kemudian kamu masih ragu-ragu (tentang berbangkit itu)” 6:2

Allah juga menyedarkan manusia hakikat kekuasaannya dan mengingatkan bahawa ajal maut setiap manusia dan hari berlakunya kemusnahan alam ini telah ditentukan detiknya.

Allah menciptakan manusia daripada tanah tetapi renungilah perbezaannya dengan patung manusia yang diciptakan manusia daripada tanah.

Apakah ciptaan patung manusia yang juga dicipta daripada tanah dan disembah itu bernyawa, melihat, mendengar, merasai pelbagai deria, mengingati pelbagai peristiwa, ilmu dan maklumat, mempu berfikir, berkata-kata, bergerak dan segalanya-galanya yang cukup bersistematik sebagaimana  manusia ciptaan Allah daripada tanah ini.

Lihatlah betapa jauhnya jarak perbezaan kekuatan manusia dan kehebatan Allah, tetapi kenapa masih ada manusia meragukan hari kebangkitan yang telah ditentukan Allah masanya.?

 وَهُوَ اللّهُ فِي السَّمَاوَاتِ وَفِي الأَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ (6:3)

“Dan Dialah Allah (Yang disembah), baik di langit maupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan.” 6:3

Allah menegaskan bahawa Dialah Tuhan yang mencipta, memiliki, memerintah, menguasai segala makhluk dilangit yang luas dan di bumi yang kecil, malah Allah mengetahui dan mendengar apa yang terlintas dihati manusia.

Apakah patut manusia tidak menghiraukan amanah dan tujuan mereka diciptakan Allah dan menghabiskan usia sementara ini sia-sia begitu sahaja? Ya Allah kurniakanlah kepada kami semua keikhlasan dalam beribadah, ketekunan dalam beramal, kerahmatan dalam bermuamalah, kemaafan antara kami dan berlapang dada terhadap kelemahan manusiawi yang ada.

Categories: Rohaniyat, Tasawwur Islami

Merancang Bekalan Kematian.

April 14, 2010 3 comments

This slideshow requires JavaScript.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
(59:18)

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Hasyr:18)

Kematian pasti datang dan kita tidak pernah diberitahu bila dan dibumi mana ajal akan menemui kita. Sejak aqil baligh akaun baik buruk dan untung rugi kehidupan kita sudah bermula. Malaikat Raqib dan `Atid tidak akan jemu menulis segala amalan baik dan buruk yang kita lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak. Mereka juga tidak akan memperingatkan kita berapa tebal dan berat timbangan suratan amal yang telah mereka tulis.

Di hadapan kita hanya ada dua pilihan; mengikut wahyu atau nafsu, hizbullah atau hizbussyaitan; manhaj al-rasul atau manhaj akal, jalan yang lurus atau jalan berbengkang-bengkok, menyertai bersama golongan yang menghayati aqidah, akhlak, ibadah dan perjuangan ahli-ahli syurga atau golongan yang mengamalkan carahidup ahli neraka, cintakan Allah atau cintakan dunia fana. Sudah pasti yang terselamat hanyalah hamba-hamba Allah yang ikhlas dan hanya diri kita sendiri mengetahui sejauhmana keikhlasan kita dan Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Read more…

Sedar …

January 7, 2009 2 comments

 Dihujung Ramadan lalu aku dikejutkan beberapa soalan. “ Apakah aku benar-benar sudah memiliki keikhlasan hakiki”.?  Apakah amal-amal aku selama ini lahir daripada hakikat penyerahan yang bulat kepada Allah? Apakah aku benar-benar menjadikan al-Quran sebagai Petunjuk?  

Ketika Allah mengatakan bahawa ; “sama sahaja kepada mereka, sama ada engkau beri peringatan ataupun tidak mereka tidak akan beriman”.  Bagaimanakan perasaan aku? Apakah ayat itu tidak ditujukan kepada aku? Apakah aku tidak perlu bimbang kalau-kalau itulah hakikat diri aku.  

Bagaimana pula dengan firman Allah : “ dan ada dikalangan manusia yang berkata kami telah beriman kepada Allah dan hari akhirat sedangkan mereka tidak beriman”.  Apakah aku sudah terselamat?. Apakah apa yang aku imani, apa yang aku hayati, apa yang aku utamakan, apa yang aku lakukan masih selari dengan ad din yang dihayati oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat bersamanya dan tidak terseleweng?  Benarkah dakwaan aku? Benarkah aku meletakkan hati aku benar-benar sebagai seorang hamba suruhan dihadapan firman-firman Allah? Sudahkah aku membuka dada aku, mengosongkannya daripada sifat-sifat ujub, takabbur dan riya’ dan mengisi dengan cahaya kebenaran yang diturunkan Allah di dalam al-Quran?  
Read more…

Categories: Rohaniyat

Memahami solat..

December 15, 2008 Leave a comment

Solat…

 

Solat adalah doa. Doa adalah pengiktirafan kelemahan diri kepada Allah Pencipta alam ini, Penyusun dan Pentadbirnya. Tidak sah solat tanpa wuduk, tanpa menutup aurat, tanpa mengadap qiblat dan sebagainya.

 

Wuduk adalah pembersihan diri daripada dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hari. Dosa mata,lidah, hidung, telinga, tangan, kaki dan akal fikiran. Dengan berwuduk dengan sempurna dan penuh keinsafan terhadap dosa-dosa seharian dan memohon keampunan Allah terhadapnya akan dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam.

 

Pakaian adalah lambang keperibadian. Menutup aurat dengan sempurna adalah lambang ketulusan ketaatan kepada Allah dan menolak ketaatan kepada hawa nafsu. Tidak akan sempurna solat tanpa membebaskan diri daripada perhambaan kepada selain Allah.

 

Kesatuan qiblat mengingatkan kita kesatuan matlamat hidup, kesatuan aqidah, kesatuan sumber rujukan dan kesatuan ikutan.

Read more…

Categories: Rohaniyat

Selamat Tinggal Ramadhan

September 27, 2008 Leave a comment

Allah Maha Mengetahui tentang manusia ciptaanNya. Punya akal, ruh, hati, nafsu dan jasad. 4 daripada 5 komponen ini adalah unsur-unsur kerohanian dan hanya 1/5 unsur jisim. Sudah pasti 4 perkara ini mempengaruhi kestabilan dan kualiti diri manusia.

Akal fikiran di besarkan dengan ilmu dan berfikir. Semakin bertambah ilmu maklumat semakin seimbang keperibadian diri manusia. Ruh pula merupakan rahsia Allah yang hanya Dia mengetahui rahsianya. Ia akan sihat dan tenang apabila kita sentiasa mengingati Allah dan mematuhi segala perintah Allah. Sebaliknya ia akan sakit apabila terputus hubungan dengan Allah atau mendurhakainya.

Bulan Ramadhan adalah bulan memperbaiki kelemahan diri dengan meningkatkan ilmu melalui mengkaji al-Quran, melawan nafsu dengan berpuasa dan mempertingkatkan darjat kerohanian dengan melakukan pelbagai ibadah kepada Allah; puasa, zikir, doa, solat sunat tarawikh, solat qiam dan zakat fitrah. Ramadhan tamat dengan solat Aidul Fitri, memuji dan takbir membesarkan Allah, kunjung mengunjung mengucapkan tahniah sesama muslimin dan menyetakan azam meneruskan amalan Ramadhan dihari-hari berikutnya.

Ramadhan adalah madrasah takwa, bulan ukhuwwah, bulan mujahadah, bulan beribadah, bulan bermuhasabah, bulan tazkiyyah dan tarbiyyah rohaniyyah. Bulan membersihkan jiwa dan bulan menambahkan bekalan takwa. Bulan hidangan Rabbani untuk hamba-hamba yang memiliki kesedaran.

Syukur kepada Allah kerana memberikan peluang kepada kita kali ini semoga bertemu kembali ditahun hadapan. Selamat tinggal Ramadhan, aku pasti merindui kasihmu.

Categories: Rohaniyat

Merdekakah kita..?

August 29, 2008 Leave a comment

” Seorang yang merdeka adalah, mereka yang meraikan kasih sayang yang diterima walau sedetik dan menghormati seorang yang mengajarnya walau satu lafaz”. Al-Syafie.

” Saudaraku, kamu bebas disebalik benteng besi

kamu bebas dari semua ikatan

jika kamu bagun dan bergantung kepada Allah

apakah akan dapat memudaratkan kamu tipu helah seorang hamba…?” Syed Qutb.

” Orang yang tertawan adalah mereka yang menjadi tawanan hawa nafsunya”.

 

 

 

Categories: Rohaniyat