Archive

Archive for the ‘al-Quran’ Category

Perangai Bani Israil.

October 18, 2010 Leave a comment

Israil asalnya adalah gelaran nabi Ya’kub dan keturunannya digelar sebagai bani Israil. Nabi Ya’kub ada beberapa orang anak dan antaranya ialah nabi Yusuf dan adiknya. Abang-abang nabi Yusuf merasai irihati terhadap nabi Yusuf dan membuat perancangan untuk menjauhkan beliau daripada bapanya semoga dengan tindakan itu mereka mendapat lebih perhatian daripada nabi Yaakub.

Merekapun meminta izin nabi Yaakub untuk membawa Yusuf keluar bermain dengan janji yang sungguh-sunggun untuk memelihara Yusuf. Apabila berada jauh daripada rumah ada dikalangan abang Yusuf mencadangkan agar mereka membunuh Yusuf dan ada juga mencadangkan agar Yusuf dibuang ke dalam perigi di laluan kafilah. Read more…

Categories: al-Quran

Pra Syarat Kemenangan.

July 6, 2010 1 comment

وَمَا جَعَلَهُ اللّهُ إِلاَّ بُشْرَى لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللّهِ الْعَزِيزِ
الْحَكِيمِ

Al-Imran [3:126]

3:126 (Malay) Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala-bantuan itu melainkan sebagai kabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu karenanya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini merupakan komentar Allah kepada umat Islam selepas peperangan Uhud dan merupakan penegasan semula kepada orang-orang beriman selepas Allah memberi komentar yang sama selepas peperangan Badar sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Anfal..

وَمَا جَعَلَهُ اللّهُ إِلاَّ بُشْرَى وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللّهِ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

8:10 (Malay) Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai kabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram karenanya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Read more…

Renungan Dalam Surah an-Naba’

May 13, 2009 1 comment

Ketika dakwah nabi Muhammad s.a.w. baru bermula, Allah Azza Wajalla mendedahkan rahsia kehidupan sebenar yang telah disediakan untuk manusia. Kehidupan abadi selepas mati.

Sebelumnya manusia hidup merebut kenikmatan dunia dengan apa saja cara yang mereka suka tanpa ada apa-apa batasan. Yang kaya dan yang berkuasa akan dipandang mulia . Orang yang miskin dan lemah akan menjadi hamba dan hidup kehinaan.

Pembunuhan kejam, penghinaan kepada bani insan adalah lumrah hidup manusia yang berkuasa. Memendam dendam, kebencian, kebengisan dan menunggu peluang membalas dendam adalah budaya semua manusia yang teraniaya.

Neraca pertimbangan mereka hanya terbatas kepada kehidupan dunia yang terlalu singkat, semasa usia masih muda dan bertenaga dan akan hilang lenyap apabila usia menjamah tua. Dalam sempadan masa yang sempit itu mereka bergelut, berebut menggunakan apa saja cara tanpa batasan.

Kejahilan manusia terhadap hakikat Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah dan kejahilan terhadap hakikat kehidupan sebenar menjadikan tamaddun manusia hancur. Mereka hidup dalam suasana penuh kebencian, sentiasa menaruh syak dan sangkan yang buruk antara satu sama lain. Hidup dengan penuh perasaan berdendam dan mereka akan berperang dengan sebab yang terlalu remeh. Pedang dan pemerintah kukubesi sahaja yang boleh mendisiplinkan mereka.

Kehidupan sebenar yang diciptakan oleh Allah Pencipta segala kewujudan adalah kehidupan abadi yang telah ditentukan waktunya.

Malangnya kekufuran yang menutup hati golongan kafir telah menghalang mereka daripada mempercayai perkhabaran nabi s.a.w. mengenai hakikat kehidupan ini. Mereka lebih memilih kehidupan dunia yang penuh dengan tipu-helah ini, penuh dengan kesusahan hidup, penat dan lelah.
Read more…

Categories: al-Quran

Mengisi Kemenangan.

March 21, 2008 2 comments

          

بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُم هُوَ الَّذِي

يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ

 وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ

 وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُلَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ 

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakankepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkanmereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkanmereka Kitab Allah (Al-Quran)dan Hikmah(pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.  

Surah Al-Jumu’ah [62:2]   

 Ayat di atas menjelaskan tiga peranan nabi s.a.w.: 

1. Membacakan ayat-ayat al-Quran kepada umat manusia.

2. Mentazkiyyahkan minda dan jiwa orang-orang yang memeluk Islam daripada pemikiran khurafat dan akhlak terkeji.

3. Mengajar hukum-hakam dalam al-Quran dan menjelaskan maksud-maksudnya secara lisan dan amal. 

Tiga perkara ini diterjemahkan dalam bentuk amali melalui perjumpaan-perjumpaan membaca dan mengkaji al-Quran, perjumpaan beribadah ditengah malam, rehlah ibadah di lereng-lereng bukit Mekah sehinggalah bersolat berjamaah di hadapan Ka’bah. 

Aktiviti ini telah megubah sahabat-sahabat Nabi dari golongan Arab daripada jahiliyyah kepada Islam, mengubah matlamat hidup, neraca fikir, adat resam, budaya hidup, aktiviti kehidupan dan keutamaannya sehingga mereka menjadi individu yang unggul yang pernah di lahirkan melalui proses perubahan manusia dan ketamadunannya. 

Mengkhatamkan al-Quran dalam masa seminggu adalah budaya para sahabat r.a., berqiamullail mejadi amalan sehingga di medan peperangan. Semasa peperintahan Umar Ibnu Aziz, masyarakat sibuk bertanya sesama sendiri ..”Sudahkah saudara mengkahatam al-Quran..?” Di zaman pemerintahan Salahuddin al-Ayubi, dunia Islam kembali disatukan dibawah pemerintahan Khalifah dan masyarakatnya teruttama barisan tentera dibudayakan dengan tilawah al-Quran, berpuasa sunnat dan berqiamullalil.

Untuk mengisi kemenangan ini, kerajaan-kerajaan yang diperintah oleh Umat Islam perlu kembali mendidik masyarakat agar mencintai al-Quran dan membacanya pagi dan petang sehingga membaca al-Quran kembali menjadi budaya.

Pemikiran ummah perlulah di isi dengan ilmu-ilmu Islam secara tersusun terutamanya melalui mempelajari tafsir al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. Jiwa mereka perlu dibersihkan daripada kelemahan dan kekotoran melalui program-program Ibadah seperti qiamullail, tilawah al-Quran, zikrullah, puasa sunnat dan bersedakah. 

Seterusnya umat Islam perlu didedahkan dengan hukum-hakam dan peraturan hidup sebagai seorang individu, hukum-hakam kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan termasuk dakwah dan jihad. 

Semua aktiviti ini dilaksanakan melalui sistem pendidikan, program-program dakwah dan tarbiah melalui institusi-institusi kerajaan; sekolah, masjid dan surau dengan menyediakan dana secukupnya termasuk melalui pertubuhan-pertubuhan Islam. 

Apabila ummah diberikan hak-hak ini secara menyeluruh diharapkan akan berlaku anjakan perubahan kepada identiti ummah pada masa depan.

” UMAT HARI INI TIDAK MUNGKIN DAPAT DIPERBAIKI, MELAINKAN DENGAN CARA UMAT TERDAHULU DIPERBAIKI” Imam al-Banna 

Categories: al-Quran, Rohaniyat

Salaf dan al-Quran.

October 29, 2007 Leave a comment

Generasi salaf di namakan Syed Qutub sebagai generasi al-Quaran yang unggul. Mereka adalah generasi yang mendapat pendidikan terus daripada Allah SWT menerusi al-Quran. Mereka amat merasai Allah sentiasa mendidik, menegur, mengkritik, mengarah, membetulkan dan menunjuk jalan dalam segenap kehidupan mereka. Manhaj mereka merupakan manhaj yang sebenar yang boleh mengembalikan kegemilangan ummah jika ummah mengikutinya.

” Umat hari ini tidak mungkin dapat diperbaiki melainkan dengan cara umat terdahulu diperbaiki” Imam Hassan al-Banna.

Syed Qutub menyimpulkan manhaj tersebut dalam tiga noktah:

1. Manhaj menerima wahyu dengan tujuan untuk beramal.

2. Meninggalkan seluruh neraca fikir jahiliah, aqidah, akhlak dan segalanya dengan tidak lagi kembali kepadanya.

3. Mempelajari sepuluh ayat al-Quran beransur-ansur dan beramal sebelum mempelajari sepuluh ayat yang baru.

Mereka membaca al-Quran bukan sekadar membaca dengan tujuan mendapat pahala, berkat atau pendinding daripada hantu syaitan tetapi mereka membacanya dengan merenung dan mengeluarkan pengajaran untuk difahami dan dilaksanakan dalam kehidupan mereka siang dan malam.

Apabila setiap orang di kalangan mereka membaca al-Quran mereka meyakini bahawa Allah sedang berkata-kata kepadanya, melihatnya memerintah dan melarangnya.

Bagaimanakah ulama hari ini mendidik masyarakat? Betulkah manhaj mereka? Bagaimanakah bimbingan mereka dalam beramal dengan al-Quran?

Berapa ramai umat Islam hari ini yang telah Islam sejak dilahirkan dan menjangkau umur 80an tetapi tidak memahami ayat-ayat al-Quran. Mereka hanya membaca al-Quran dengan tujuan menikmati keindahan lagunya, membaca al-Quran semata-mata mengumpul ganjaran pahala, mengambil berkat, menjadi jampi tetapi melupai langsung tujuan sebenar al-Quran diturunkan. Apakah mereka merasa cukup dengan hanya menganut Islam secara warisan yang diwarisi daripada nenek moyang?

Allah berfirman bermaksud:

” Inilah al-Kitab, yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa”. al-Baqarah, 2.

Setiap minggu khatib akan berseru ” Bertakwalah kamu kepada Allah..” sejak ratusan tahun lalu. Apakah orang-orang yang bertakwa ini benar-benar mengambil al-Quran sebagaimana Salaf beradab dengan al-Quran atau adakah solat, puasa, zakat dan haji yang mereka tunaikan belum benar-benar menjadikan mereka orang yang bertakwa?

Imam al-Banna berkata: ” Aku hairan melihat umat Islam hari ini, mereka berjalan di dalam kegelapan malam melangkah tanpa panduan sedangkan ditangan mereka terdapat lampu suluh tetapi tidak dinyalakan.. dan lampu itu adalah al-Quran”.

Saya bimbang umat kini masih diselaputi kufur dan takbur. Apabila mereka membaca ayat-ayat al-Quran mereka hanya melihat kelemahan orang lain tetapi tidak memeriksa hati dan jiwa mereka terlebih dahulu. Mereka gemar menganalisa kesilapan orang lain tetapi tidak menganalisa diri sendiri. Mereka gemar menyalahkan orang lain tetapi tidak menyalah diri sendiri terlebih dahulu.

Sebenarnya inilah tradisi orientalis dan metodologi mereka dalam mengkaji Islam. Mengkaji dengan tujuan mencari kelemahan untuk dijadikan senjata bagi memerangi Islam. Mungkin juga mereka tersilap dalam menggunakan metodologi Jarh wa ta’dil yang dipakai oleh ulama rijal hadis yang asalnya bertujuan untuk memastikan kesahan sesuatu hadis tetapi digunakan untuk mencari kelemahan orang lain.

Keikhlasan generasi Salaf dalam meletakkan diri sanubari mereka dihadapan al-Quran untuk dibedah dan dirawat menjadikan mereka berubah menjadi generasi yang unggul di dalam sejarah umat Islam.

Sebaliknya umat khalaf sudah melupai maksud al-Quran dan ditipu oleh bisikan Iblis. Mereka suka dipuji lalu memuji diri sendiri jika tidak ada orang memuji. Mereka suka dimuliakan, diberi hadiah dan anugerah kerana jasa-jasa mereka. Mereka merasa marah apabila kesalahan mereka dinasihati dan ditegur dengan membalas tuduhan dan kutukan atau tidak mampu menahan kemerahan wajah akibat bara amarah. Mereka bangun mengutuk diri dikhalayak dengan harapan dinafikan dan diiktiraf kebaikannya mereka gembira apabilan teman seperjuangan dikutuk dihadapannya dan dia merasa dirinya lebih baik dan mulia.

Inilah enam perangkap Iblis yang menghilangkan nilai mereka di sisi Allah dan menjadikan mereka gagal dalam perjuangan mereka.

Categories: al-Quran, Fiqh Seerah

Al-Fatihah Pembuka Bicara

October 25, 2007 Leave a comment

Surah al-Fatihah juga dinamakan Ummul Kitab  (Ibu al-Quran) merupakan surah pertama dalam susunan al-Quran ia menjadi kata pengantar, pembukaan dan pendahuluan al-Quran. Di dalamnya tersimpul seluruh kandungan al-Quran.

Ia dimulakan dengan pengantar perhambaan. Setulus-tulus pengabdian kepada Allah dilakukan dengan penuh kesedaran, keinsafan dan limpahan rasa Syukur di dalam hati kepada nikmat Rububiyyah Allah Azza Wa Jalla al-Rahman dan al-RahimNya.

Kesyukuran dinyatakan dengan penuh pengiktirafan terhadap hak-hak Uluhiyyah Allah  dengan penyataan ikrar bahawa Dialah Allah yang Esa yang menjadi kemuncak cinta dan pengabdian .

Syukur dinyatakan dengan sedar bahawa bahawa Allah sahaja yang mampu memeberi pertolongan dan dinyatakan dengan penuh pengharapan kepada pertolongan Allah.

Ia adalah pengantar Tauhid; Tauhid Rububiyyah ( Rabbil `alamin) ,Tauhid nama-nama dan sifat Allah ( al-Rahman dan al-Rahim) dan Tauhid Uluhiyyah dalam penyataan ( Iyyaka Na’bud wa Iyyaka nastaiin).

Ia adalah pengantar kepada ilmu mengenai hakikat hari akhirat. Hari ad Din. Hari di mana seluruh urusan dunia manusia akan dihitung, ditimbang, dimahkamahkan, disoal siasat, menjadi saksi atau menjadi orang yang didakwa. Hari urusan agama diberi balasan. Dunia adalah kehidupan hari ini yang diperintahkan agar selari dengan tuntutan ad din yang akan dipertanggungjawabkan.

Ia adalah pengantar taubat dan dibaca dengan perasaan kembali kepada Allah dalam ayat; “hanya Engkau yang aku sembah dan hanya kepada Engkau aku memohon pertolongan” dan dengan penegasan menolak seluruh jalan-jalan orang-orang yang dimurkai Allah dan jalan orang-orang yang sesat. Apabila kita memohon hidayah bermakna kita mengiktiraf kejahilan kita dan betapa kita bimbang masih berdegil melakukan dosa.

Ia adalah pengantar kepada seluruh penawar hati dan badan.

Categories: al-Quran

Surah an Nas

October 2, 2007 Leave a comment

Surah an Nas

 

Surah terakhir dalam susunan mashaf ini merupakan kesimpulan kepada seluruh isi al-Quran, sebagaimana surah al-Fatihah sebagai muqaddimahnya.

Di dalam surah ini Allah menegaskan Dialah Rab kepada manusia. Dialah Malik ( Pemilik dan Pemerintah ) manusia dan Dialh Ilah ( Tuhan yang wajib disembah oleh manusia).

Ulama membincangkan konsep Rububiyyah, Mulkiah dan Uluhiyyah Allah ini yang secara total mewajibkan manusia meletakkan diri mereka didarjat seorang hamba dalam hubungan mereka dengan Allah. Hamba yang melaksanakan tanggungjwab perhambaan, pengabdian kepada Allah secara tulus dan melaksanakan amanah sebagai khalifah didunia ini.

Inilah objektif yang jelas yang telah dikhabarkan kepada manusia. Inilah sebenarnya fokus kehidupan manusia di dunia ini namun manusia selalu digagalkan oleh lintasan-lintasan batin yang dibawa oleh musuh manusia daripada jin dan manusia.

Manusia sepatutnya memfokuskan minda, emosi dan amalan mereka kepada tugas dan amanah sebenar mereka ini. Namun mereka sering kali gagal dan tersasar dari arah tujuan mereka hanya disebabkan bisikan jahat yang sentiasa datang dan pergi di dalam dada mereka.

Dengan sentiasa mengingati Allah, memohon pertolongannya dengan mengiktiraf hak-hak Rububiyyah, Mulkiyyah dan Uluhiyyah Allah akan menjadikan manusia kembali kepangkal jalan .

 

Categories: al-Quran