Home > Rohaniyat > Bertemasya di malam al-Qadar.

Bertemasya di malam al-Qadar.

cakrawala.jpg

Di riwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-`As katanya: Aku mendengar rasulullah s.a.w bersabda: “ Allah telah menulis takdir-takdir seluruh makhluk sebelum diciptakan langit dan bumi selama 50 ribu tahun dan sabdanya dan `Arashnya berada di atas  air”. Riwayat Muslim.

 

Langit dan bumi diciptakan bersama takdir-takdir yang tertentu yang tidak akan berubah sehingga hari kiamat. Takdir ini merupakan sistem yang ditetapkan oleh Allah bagi menguruskan perjalanan alam ini. Sistem yang sungguh hebat, tersusun, teratur, harmoni dan saling melengkapi. malah setiap makhluak ada sistemnya tesendiri dan selari dengan sistem-sistem lain yang lebih besar.

 

Sistem matahari, sistem kehidupan dibumi, sistem dalam diri manusia, sistem saraf, sistem penghadaman, pernafasan, perkumuhan dan sebagainya adalah sistem yang ditakdirkan oleh Allah sejak sebelum alam diciptakan.

 

Inilah kehebatan ilmu Allah yang Maha Bijaksana. Malam al-Qadar ini lebih baik daripada seribu bulan. Padam malam ini di satu malam di malam-malam bulan Ramadan diturunkan al-Quran daripada Lauh al-Mahfuz kelangit dunia. Daripada langit dunia ini malaikat Jibril diperintahkan Allah menurunkannya kepada nabi s.a.w. beransur-ansur berdasarkan keperluan dakwah rasulullah s.a.w.

 

Malam penurunan al-Quran merupakan merupakan titik bersejarah dalam sejarah perubahan tamaddun manusia di akhir zaman ini. Perubahan nilai manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah. Ia merupakan satu pembebasan daripada belengu sistem ciptaan manusia menjadikan manusia memiliki kebebasan untuk menuntut ilmu, kebebasan berhijrah dan berpindah, kebebasan berusaha, kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, kebebasan memiliki harta hasil daripada usahanya sendiri. Kesemua nilai-nilai dan hak-hak kemanusiaan yang diperjuangkan Barat pada abad ke 18 sudah diiktiraf dan di dokong oleh al-Quran lebih seribu tahun.

 

Inilah malam bersejarah yang kembali memartabatkan kemuliaan manusia yang sudah sekian lama dihina oleh sebahagian manusia lain. Manusia yang diciptakan Allah, yang ditiupkan di dalam rongganya RuhNya, manusia yang diperintahkan oleh Allah akan malaikat untuk sujud menghormatinya, manusia yang dilantik menjadi khalifah di muka bumi, manusia yang dikurniakan akal dan ilmu, manusia yang diciptakan sekelian makhluk untuk berkhidmat kepadanya.

 

Dengan bimbingan Allah, dengan al-Quran, rasulullah s.a.w. berjaya meletakkan manusia dimartabat yang wajar sebagai hamba dan khalifah Allah di dunia ini setelah sekian lama memperhambakan diri kepada nafsu, manusia dan iblis.Namun apabila manusia lupa sejarah ini mereka kini ditertawakan olah iblis dan kuncu-kuncunya.

 

Pada malam ini setiap tahun dijadikan malam bertemasya, dimana seluruh malaikat termasuk malaikat Jibril turun kebumi bersama-sama orang-orang beriman beribadah kepada Allah S.W.T dan menyatakan kesyukuran mereka yang tidak terhingga terhadap nikmat al-Quran yang amat berharga ini.

 

Sistem-sistem yang Allah takdirkan kepada alam ini merupakan sistem yang tetap dan tidak berubah dan sesiapa yang melanggarnya akan binasa. Allah telah tentukan peranan api, air, udara, haba, cahaya dan apabila manusia menggunakannya dengan betul mereka akan selamat.

 

Namun manusia tidak mungkin dapat memahami keseluruhan sistem-sistem ini tanpa maklumat daripada Allah. Lantas Allah mendidik dan membimbing manusia melalui tarbiahnya dengan pengutusan al-Rasul dan penurunan al-Quran.

 

Allah menyatakan bahawa al-Rasul merupakan contoh ikutan yang terbaik bagi manusia yang mencintai Allah. Amalan yang berterusan yang menjadi sunnah rasul s.a.w. ialah berdakwah kepada manusia dengan basyir dan nazir, mentazkiyahkan jiwa manusia daripada syirik, khurafat dan dosa maksiat, mengajar manusia memahami al-quran melalui hadis dan sunnahnya.

 

Malangnya umat Islam hari ini ada yang tidak lagi sanggup meraikan malam agung ini. Jika ada yang meraikannya hanya mahu merebut ganjaran gandaan pahala 1000 bulan. Tetapi mereka tidak merasa untuk berterima kasih dan memperhambakan diri kepada Allah setulus kasih kerana nikmat sistem-sistem yang dikurniakan Allah kepada manusia ini dan kepada nikmat al-Quran yang menyuluh kehidupan manusia.

 

Imam al-Banna berkata : ” Aku hairan melihat manusia berjalan teraba-raba di dalam kegelapan malam sedangkan ditangannya terdapat lampu yang amat terang tetapi tidak dinyalakan.”

 

Lampu itulah al-Quran, yang diturunkan di malam al-Qadar, satu malam dibulan Ramadan.

Bertemasyalah dengan penuh kesyukuran kepada Tuhan yang melimpah-limpah Rahmatnya pada alam ini.

 

 

Categories: Rohaniyat
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a comment