Home > Tasawwur Amal Haraki, Tasawwur Amal Tarbawi, Tasawwur Islami > Adakah Saya Seorang Pendakwah

Adakah Saya Seorang Pendakwah

albanna

 

Tidak ada perkataan yang lebih baik yang diucapkan oleh seseorang daripada mengajak manusia kepada Allah, kerana dengan sebab usaha seseorang menyebabkan seseorang lain mendapat hidayah Allah lebih baik baginya daripada apa yang berada di langit dan di bumi. Lantaran begitu besar ganjaran yang Allah janjikan kepada pendakwah maka ia menjadi rebutan semua muslim yang beriman untuk menjadikan dirinya tersenarai sebagai golongan pendakwah yang mengajak manusia kepada Allah.

Mengajak manusia kepada Allah adalah matlamatnya berdakwah. Mengajak manusia kepada Allah itulah impiannya, cita-citanya, harapannya, keazamannya, pemikirannya, usahanya, langkahnya, kata-katanya dan segala pengorbannnya. Tugasnya hanya berusaha dengan cara yang Allah reda dan hidayah kepada seseorang milik mutlak Allah jua.

Mengajak manusia kepada Allah ialah memperkenalkan siapakah Allah kepada manusia, menyedarkan kurnia nikmat yang Allah telah anugerahkan kepada manusia, mengajak manusia sedar, insaf dan rasa berterima kasih atau bersyukur kepada Allah, dengan hanya mengagungkan Allah yang Esa, hanya menyembah dan memujiNya dan berusaha menjadi hamba Allah yang taat, iklas, bersabar dan bersyukur atas segala ujian yang kurniaan Allah.

Mengajak kepada Allah ialah menyebarkan rasa cinta, rasa belas kasihan terhadap kesesatan manusia, rasa perihatin terhadap masadepan mereka di alam akhirat. Mengajak manusia kepada Allah ialah mengajak mereka sama-sama menghuni syurga di negeri akhirat dengan rasa penuh pengharapan mereka menerima seruan dan rasa bimbang dan cemas untuk menanggung segala kesesalan melihat anak dan isteri, ayah dan ibu, sanak saudara, sahabat handai, kenalan sedaerah, rakan sejawat dan siapa saja yang ditemui dan membahgiakan anda dengan senyuman tetapi mengharungi kepayahan di padang mahsyar, hitam wajah penuh penyesalan mengharapkan belas kasihan yang anda sendiri tidak mampu melakukan apa-apa disana.

Mengajak kepada Allah dengan mendahulukan kemaafan daripada kebencian, menghargai kebaikan daripada mendendami kejahatan, mendahului harapan daripada kekecewaan kerana Allah tidak pernah menutup pintu taubatNya sehinggalah masa yang telah ditentukan, kerana Allah tidak pernah melupakan kebaikan yang dilakukan walaupun bertimbun kejahatan yang di amalkan. Mengajak kepada Allah adalah menyebarkan RahmatNya, keampunanNya dan membuka seluas-luasnya pintu taubat kepada Allah.

Mengajak kepada Allah ialah membantu manusia mengalahkan musuh-musuhnya; kejahilannya, tipudaya syaitan yang menghuni pembuluh darahnya dan ammarah nafsu yang menutup kewarasannya. Dengan kebijaksanaan pendakwah terbuka jiwanya menadah ilmu menerangi hidupnya, dengan hikmah pendakwah berjaya  menewaskan syaitan yang membakar takburnya dan dengan ketenangan pendakwah ammarah nafsu  kesumatnya tidak bangkit menentang kebenaran.

Pendakwah adalah wali Allah yang Rabbani; Membawa Rahmat Allah, Keadilan Allah, Keampunan Allah, Kebijaksanaan Allah dan Kasihsayang Allah mengatasi segala halangan thaghut yang cuba menggagalkan dakwah yang menyalakan api kebencian, menyekat arus kezaliman pertimbangan, menghitamkan jiwa dendam, menutup pintu pengharapan dan meniup bahang permusuhan.

Pendakwah itu dalam dadanya ada salji, atas lidahnya ada cahaya, pada akalnya ada harapan dan dalam jiwanya ada cinta dengan langkahnya menghambat segala penghasut yang bertapa dijiwa mad`unya.

  1. HambaMU
    May 16, 2013 at 2:03 pm

    Reblogged this on HambaMu.

  1. No trackbacks yet.

Leave a comment