Home > Tasawwur Islami > Bangsa dan Islam

Bangsa dan Islam

Tujuan tulisan ini sekadar sebagai membawa hujjah kepada keutamaan menyatukan Umat Islam khususnya bangsa Melayu di atas satu agenda perjuangan, bukan hendak berdakwah kepada memuja Melayu, bangsa dan menindas golongan lain. Seruan memperjuangkan hak-hak Melayu berlandaskan Asobiyyah Jahiliyyah adalah bertentangan dengan aqidah saya.

Isu ini saya ketengahkan sekadar untuk memberikan hak-hak kaum keluarga dalam dakwah, sanak saudara dan bangsa yang menjadi tanggungjawab utama untuk di islahkan. Hujjah yang saya bawa sekadar untuk menunjukkan bahawa Islam tetap meraikan situasi naluri kemanusiaan yang mencintai keluarganya dan tidak  bertujuan untuk berdakwah meletakkan bangsa mengatasi Islam itu sendiri yang tidak ada khilaf padanya.

Secara fitrahnya manusia cinta dan kasihkan saudara mara, kaum kerabat dan tanahairnya. Islam yang juga agama fitrah tidak mungkin akan membiarkan naluri ini dihapuskan dan tidak digunakan bagi kepentingan Islam. Lantaran itu nabi s.a.w. mendefinasikan `asobiyyah’ yang diharamkan ialah menolong saudaranya di atas kezaliman.


Sebaliknya seseorang yang menolong saudaranya untuk memahami agama, menolong saudaranya agar mendapat pendidikan yang sempurna, menolong saudaranya agar terselamat daripada kepapaan dan menolong saudaranya daripada dizalimi adalah termasuk dalam perintah Allah Azza wa Jalla.

Menyimpulkan perjuangan seseorang untuk membangunkan identiti tadayyun (keagamaan) bangsanya dan kesejahteraan kehidupan bangsanya sebagai perjuangan `asobiyyah yang diharamkan’ adalah kefahaman yang terseleweng daripada kefahaman Islam sebenar dan pejuang yang mengatakan: “kita adalah pejuang Islam tulen” tetapi menolak isu-isu berkaitan bangsanya; agama, budaya, bahasa dan adat-adat mereka adalah perjuangan yang tidak berpijak di alam nyata.

1. Apabila Allah memerintah nabi untuk berdakwah secara terbuka Allah memerintahkan nabi memulakan dakwahnya kepada ” ‘asyirah al-aqrabin” yakni kaum keluarga terdekat.

2. Ketika Nabi s.a.w. naik kebukit Sofa dan memanggil orang-orang Arab untuk berdakwah kepada mereka nabi s.a.w. menyeru nama-nama Qabilah mereka.. ” Wahai bani Hasyim.. wahai bani.. abd Manaf..

3. Apabila nabi s.a.w berhijrah ke Madinah nabi s.a.w. mengekalkan kewujudan kaum Muhajirin dan al-Ansor.

4. Nabi s.a.w. melantik para nuqaba daripada ketua-ketua qabilah yang sedia ada dengan mengekalkan kewujudan qabilah-qabilah tersebut.

5. Apabila ketua-ketua qabilah memeluk Islam dikalangan bangsa-bangsa Arab nabi s.a.w. mengekalkan mereka sebagai pemimpin kepada kaum mereka.

6. Apabila Islam datang ke Tanah Melayu ” Empayar Kesultanan Melayu terkenal dengan namanya sebagai Kesultanan Melayu Melaka atau Tanah Jawi.

7. Pakaian Jubah yang panjang dan berserban yang menjadi tradisi Arab tidak diterapkan ke dalam tradisi pakaian kesultanan Melayu tetapi Baju Melayu berseluar dan bersampin dan bertengkolok menjadi pakaian rasmi Melayu Islam sesuai dengan realiti alam Melayu yang berbukit, berbelukar, berpaya dan bersungai yang menyukarkan si pemakai jubah untuk berjalan.

8. Nabi s.a.w. apabila berada di Madinah menitiskan airmata apabila memikirkan Mekah tanah tumpah darahnya dan nabi pernah bersabda bahwa; cintakan tanahair daripada iman.

9. Nabi Memaafkan sahabatnya Hatib bin Abi Baltaah r.a. yang menghantar surat kepada keluarganya menceritakan kedatangan tentera Islam untuk membuka Kota Mekah.. apabila alasan beliau melakukan semua itu hanya kerana kasih dan sayangkan keluarganya dan mengharapkan mereka terselamat bukan kerana mengkhianati nabi s.a.w. terutamanya apabila beliau seorang ahli Badar yang telah diampunkan dosa-dosanya dan Allah yang amat mengetahui apa yang akan dilakukannya:

Sedangkan Umar al-Khattab r.a. meminta untuk dipenggal kepalanya.

10. Ketika Sahabat-sahabat al-Ansor ingin melantik Khalifah dikalangan mereka selepas kewafatan nabi s.a.w. Abu Bakar berkata bahawa nabi bersabda ” al-Aimmah min Quraisy”… lalu mereka membaiahkan Abu Bakar al-Siddiq.

Ibn Khaldun mentafsirkan hadis ini bukan diamalkan pada “dzahir nas”… di mana Quraisy menjadi syarat mutlak untuk menjadi khalifah tetapi nas tersebut berdasarkan realiti Arab ketika itu yang menunjukkan bahawa bangsa Quraisy adalah bangsa majoriti yang memiliki asobiyyah yang kuat. Asobiyyah yang ditafsirkan oleh Ibn Khaldun adalah sokongan bantuan yang kuat sama ada moral, tenaga mahupun harta benda dalam melaksanakan siyasah Khalifah.

Oleh kerana pemerintahan Islam memerlukan sokongan, dokongan, bantuan dan pembelaan daripada pelbagai ancaman musuh maka melantik kepimpinan daripada golongan yang lebih kuat asobiyyahnya adalah menepati sunnatullah yang telah difitrahkan kejiwa manusia.

Maka apabila Bangsa Turki Uthmaniyyah memiliki sokongan padu ummah ketika itu menjadikan Khalifah Turki Uthmaniyyah adalah khalifah yang sah walaupun mereka bukan keturunan Arab Quraisy. Penafsiran Ibn Khaldun ini menjadikan khlaifah Turki Uthmaniyyah mendapat sokongan daripada seluruh umat Islam termasuk umat Islam yang mereka berbangsa Arab.

Dalam realiti Malaysia hari ini bangsa Melayu adalah bangsa majoriti jika mereka bersatu atas dasar Islam. Maka memperjuangkan kesatuan bangsa Melayu agar bersatu tidak bercanggah dengan maqasid Syarak malah menjadi aspek yang lebih utama ketika ini. Sebaliknya polisi, gerak kerja dan aktiviti yang boleh membawa kepada lemahnya kesatuan bangsa Melayu adalah haram hukumnya.

Perjuangan Islam tulen tidak akan membuang bangsanya daripada agenda perubahan. Sebaliknya membangunkan identiti Islam dikalangan anak bangsa, mengembangkan kekayaan mereka, memperbaiki akhlak mereka, memupuk kesatuan dan ukhuwwah dikalangan mereka adalah kerja-kerja gerakan Islam di mana sahaja mereka berada.

Muhammad al-Rasyid menegaskan dalam al-Masar dalam bab ” Funun al-Tajmik” bahawa para pendakwah perlu benar-benar memahami budaya masyarakatnya, sejarah pembentukan mereka, kesan-kesan negatif yang lahir akibat biah kehidupan mereka sebelum melakukan tajmik dan taygyir.

Namun bukan maksud tulisan ini ingin mengabaikan saudara-saudara seagama daripada bangsa-bangsa lain kerana nabi s.a.w. juga tidak pernah mengabaikan sahabat-sahabatnya daripada al-Habsyi, Farsi dan Romawi.

Wallahua’lam.

Categories: Tasawwur Islami
  1. Hanan
    May 12, 2010 at 6:49 am

    Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata :

    “Kita merupakan satu golongan yang dimuliakan Allah SWT kerana menganut agama Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain daripada Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita”.

    • renungan2u
      May 13, 2010 at 5:12 am

      Menngutamakan adib-beradik dalam memberi zakat dan sedekah adalah disyaritakan sebagaiamana mengutamakan dakwah kepada saudara mara terdekat.. Ia bukan bermaksud mencari Izzah dengan meninggalkan Islam.

      Mendamaikan saudara sebangsa dan seagama juga demi menegakkan Izzah Islam.

  2. ingin tahu
    May 12, 2010 at 12:00 pm

    Ana ada beberapa persoalan:

    1. Mengapa kita perlu menggunakan assobiyah yang digunakan oleh Ibnu Khaldun sedangkan RasuluLlah SAW telah memberikan definisi yang jelas tentang assobiyah? Hadith: “Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadith) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah dianggap ashobiyyah, puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya?’ Jawab Baginda SAW: ‘Tidak, tetapi asobiyah ialah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman’.” (HR. Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya)

    2. Adakah Ibnu Khaldun tu lebih mulia kata-katanya daripada Nabi? Sehinggakan apa yang Nabi SAW definisikan tersebut diketepikan berbanding dengan definisi yang diguna-pakai oleh Ibnu Khaldun?

    3. Bukankah orang-orang Quraisy menjadi hebat disebabkan kareteristik yang ada pada qabilah mereka? Dan bukannya semestinya setiap orang Quraisy tu hebat hanya kerana dia berbangsa Quraisy?

    4. Apa definisi Melayu? Kalaulah definisi Melayu itu adalah seperti mana yang ada di dalam perlembagaan negara, kenapa tak gunakan sahaja “Kita Menyeru Kepada Kesatuan ISLAM”?

    5. Tapi kalau lah definisi Melayu itu pada darah yang mengalir di dalamnya, bukankah ramai dari kalangan kita sebenarnya dan setulennya bukan orang Melayu?

    6. Ataupun sebenarnya apakah sebenarnya yang dimaksukan dengan Melayu? Bangsa ni sebenarnya adalah sesuatu yang sangat vague. Ana pun dah tahu berapa banyak campuran bangsa baru jadi ana, dan antum pun tak tahu berapa campuran bangsa baru jadi antum. So sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan Melayu?

    7.Kalau lah kita nak menyeru kepada kesatuan, mengapa tidak seru sahaja kepada Islam? Adakah Islam tak cukup? Perlu jugakah menjadi seperti orang-orang yang tidak faham Islam menisbahkan Islam kepada sesuatu yang menjadi subset kepada Islam? Contoh; Islam Hadhari, Islam Liberal, dan lain-lain

    • renungan2u
      May 13, 2010 at 5:35 am

      Jawaban untuk no:

      1. Itulah hadis yang ditafsirkan oleh Ibn Khaldun dan tidak ada percanggahan antara maksud Ibn Khaldun dan Nabi s.a.w. Cuma sesetengah masyarakat Melayu Malaysia sahaja yang sensitif dengan istilah asobiyyah. Sedangkan kemenangan dalam pilihanraya juga memerlukan undian majoriti dan itulah maksud asobiyyah sebenar pada pandangan Ibn Khaldun. Ibnu Khladun mentafsirkan realiti Quraisy yang menjadikan Quraisy perlu diutamakan untuk dipilih seorang Khalifah bukan kaum Ansor. Oleh itu jika kaum Turki Uthmaniyyah mempunyai asobiyyah maka khalifah yang dilantik dikalangan mereka adalah sah.

      3. No komen.

      4 dan 5. Selagi Melayu tidak bersatu; Islam musthail ditegakkan dbumi Malaysia berdasarkan hukum adat. Kecuali bangsa-bangsa lain memeluk Islam. Maka menyatukan umat Melayu menjadi keutamaan amal Islam masa ini di Malaysia.

      6. Melayu dalam perlembagaan adalah Orang Islam Bercakap Melayu dan mereka adalah golongan majoriti di Malaysia. membiarkan mereka berpecah dalam pelbagai parti politik yang saling jatuh menjatuh bertentangan dengan maksud Syarak.

      7. Melayu disebut sebab memang menjadi fokus masa ini Umat Islam berbangsa Melayu menghadapi banyak masaalah yang perlu di fokuskan.

      Allah juga sebut ” Rabbil `Alamin dalam surah al-Fatihah dan ” Rabbin Nas dalam surah An-Nas”

      Kerana tujuannya supaya hati manusia tersentuh dan tersedar.

      Lagipun nabi juga menyebut wahai kaum Quraisy, wahai bani Hasyim dan sebagainya maka apabila kita menyeru Wahai bangsa Melayu bersatulah kamu atas asas Islam tulen maka ia adalah seruan yang bertepatan dengan kaedah sunnah.

      • Hanan
        May 14, 2010 at 1:03 am

        Persoalannya apakah golongan yang heboh kononnya memperjuangkan kepentingan dan nasib bangsa Melayu benar-benar memahami dan melaksanakan tuntutan Nabi s.a.w mengenai Asobiyyah ini. Ataukah ianya cuma retorik dan slogan politik semata-mata untuk mengelabui mata bangsa sendiri dan hanya menguntungkan beberapa kerat korporat Melayu dan Kroni sahaja.

        Setelah 64 tahun penubuhannya, di manakah perginya slogan Bersatu, Bersetia & Berkhidmat, Demi Agama Bangsa & Negara, Tradisi Membela Rakyat – Dulu, Kini & Selamanya, Islam Hadhari. Kini slogan baru – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan?

        Apakah mereka Peduli tentang Isu-isu berikut:
        1. Gejala Murtad bangsa Melayu,
        2. Keruntuhan Akhlak bangsa Melayu
        – Budaya Lepak, Bohsia & Bohjan, Ponteng sekolah, Merokok & Menagih Dadah, Kaki Judi & Arak, Merempit, Budaya Hedonisma, Zina & Buang Anak, Rasuah, Makanan Tak Halal, Penceraian, Mencuri & Membunuh dan lagi dan lagi…
        3. Hak Keistimewaan bangsa melayu – biasiswa, tanah rizab, bahasa, kedaulatan raja dll.

        Apakah golongan ini masih diharapkan untuk memperjuangkan nasib dan maruah bangsa dan agama?

        Adalah satu yang keliru jika menganggap golongan yang memperjuangkan Islam menolak kepentingan bangsa sendiri. Sebagai contoh:

        Siapakah yang memperjuangkan agar DiMansuhkan PPSMI?

        WAllahu A’lam.

  3. ظنطم
    May 12, 2010 at 12:50 pm

    Islam sememangnya nya mengiktiraf kewujudan bangsa.

    Kedatangan Islam tidaklah meleburkan bangsa. Bangsa2 yang ada ini, Allah dah jelaskan dalam surah hujurat, لتعرف, untuk saling kenal mengenali.

    Tetapi perjuangan bangsa & nasionalisma satu hal lain, yang tidak ada dalam Islam.

    Allahuaklam.

    • renungan2u
      May 13, 2010 at 4:52 am

      Setuju !

  4. renungan2u
    May 14, 2010 at 6:22 am

    Saya bersetuju dengan Hanan bahawa pemerintah hari ini tidak mempunyai agenda yang jelas dalam memartabatkan agama Islam dan tidak melaksanakan tugas Khalifah yang di amanahkan Allah.

    Sebab itu lahir pelbagai gerakan Islam bagi melakukan usaha kearah memartabatkan Islam.

    Bagi saya gerakan Islam perlu melahirkan golongan pendakwah, murabbi yang sanggup mewaqafkan diri mereka dan harta mereka untuk Islam dan mendidik seramai mungkin umat Islam dengan ajaran Islam sebenar.

    Cuma apabila saya bercakap tentang Melayu bukan bermaksud menyokong pimpinan UMNO yang korup disebabkan mereka meninggalkan dasar-dasar Islam dan apabila saya memperjuangkan Islam saya tidak lupa kepada keperluan menyatukan ummah termasuk Melayu.

    Sebenarnya yang menjadi ahli UMNO atau PAS tidak sampai 4 Juta umat Islam di Malaysia dan umat Islam yang lebih 10 juta masih belum mempunyai halatuju perjuangan hidup di dunia ini.

    Kepada mereka saya tujukan seruan ini..

    • Hanan
      May 14, 2010 at 8:43 am

      Alhamdulillah.

      Amat bersetuju dan menyokong saranan ustaz agar gerakan Islam mementingkan Tarbiyyah dan Mendidik umat memahami Islam yang sebenar.

      Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus Istiqamah dalam perjuangan yang makin mencabar dan memerlukan nafas yang panjang.

      Wassalam.

  5. May 16, 2010 at 12:39 pm

    Kena bahagikan isu kabilah/bangsa kepada beberapa perkara :

    (i) Menyayangi tanahair – ini adalah lumrah. Rasulullah saw sayang Mekah, mengalir airmata ketika Bilal bersyair mengenang Mekah. Kita menyayangi Tanahair kita. Kita bersetuju.

    (ii) Mendahului bangsa sendiri dalam Dakwah, kerana ia lebih senang disebabkan satu bahasa, satu realiti dan latarbelakang. Kita juga bersetuju.

    (iii) ISUNYA SKRG: Bangsa/kabilah sendiri (Melayu)mesti memerintah Malaysia, bukan kabilah/bangsa lain (Cina/India), walaupun mereka Islam turun temurun. Ini perlu penelitian. Hadis sahih “Kepimpinan mesti dari kabilah Quraisy” adalah merujuk kepada realiti Arab ketika itu yang tunggak mereka adalah Quraisy, sedang Rasul juga dipilih Allah saw dari Quraisy. Sepertimana Nabi saw tidak meruntuhkan Kaabah untuk dibuat pembinaan ikut saiz asal zaman Nabi Ibrahim as kerana org2 Arab masih baru peluk Islam, takut jadi fitnah “Muhammad runtuhkan Kaabah”, begitu juga tangguh dulu hukum asal (Al-Aslu) “Orang yang paling mulia ialah orang bertaqwa” (Al-Quran), paling layak menjadi pemimpin, kerana realiti ketika itu. Adapun hari ini, ijmak ummah bahawa Quraisy tidak semestinya jadi pemimpin, realiti telah berubah. Masyarakat hari ini ialah masyarakat Madani. Ketokohan bukan lagi berdasarkan bangsa, sekarang ada professor, dr., alim ulamak, koporat dll penonjolan. Sistem dan realiti kenegaraan berubah, ada agensi, parlimen, dewan, undian, senat, unit perundingan, agensi pembuat keputusan dsb. Dengan realiti umat berubah, realiti menuju kepada (Al-Aslu) “Orang yg paling mulia diantara kamu ialah yang paling taqwa”, “dengar dan taatlah (pemimpin kamu), walaupun yang memimpin kamu seorang kulit hitam negro kemek kepalanya” semakin dekat, dan realiti “Kepimpinan mesti dari Quraisy” semakin ditinggalkan. Saudi diperintah oleh Keluarga Saud. Mesir langsung tak pakai sistem kabilah apatah lagi “ketua mesti Quraisy” walupun ramai keturuna Quraisy di sana. Masyarakat Madani di Amerika memilih orang kulit hitam menjadi pemimpin tertinggi mereka. Semua umat dunia hari ini menuju ke hukum asal Islam (Al-Aslu), adakah kita hendak menuju ke arah berlawanan? Realiti di Malaysia, kita sendiri yang arif, samada menuju ke Al-Aslu, atau masih kekabilahan. Contoh jika seorang mamak, Islam dari turun temurun, kulit cerah, cakap melayu fasih kerana memang besar bersama murid2 dan mahasiswa melayu, ada pangkat professor dr, koporat yang bersih dan berjaya, jelas fikrah, tapi dalam ic/rekod pendaftaran masih tulis “indian muslim”, adakah realiti umat Malaysia hari ini akan menolak beliau jadi Perdana Menteri, iaitu masyarakat masih ketahap kekabilahan, atau masyarakat rasa ok, iaitu masyarakat sudah madani seperti Amerika, Mesir? Jika suku kabinet indian muslim seperti beliau, adakah jadi huru hara dikalangan masyarakat Malaysia.

    Dalam menganalisa isu “bangsa/kabilah”, isu kepimpinan, berbeza dengan isu pendakwahan kepada kaum sebangsa dan kecintaan kpd tanahair yang merupakan fitrah. Kepimpinan berkait dengan komposisi umat, realiti semasa, tempat, suasana dsb. Allah terlalu terperinci bila menyarankan ibu menyusu anaknya 2 TAHUN PENUH bagi mereka yg hendak menyempurnakan susuan, kerana nature ini tidak berubah, walau berubah zaman dan tempat. Akan tetapi Allah swt menyebut sangat umum berkenaan dengan kepimpinan kerana realiti manusia berubah mengikut masa, tempat dan suasana “Dan urusan mereka mereka bersyura sesama mereka”. Bahkan Nabi saw sendiri wafat dalam keadaan tidak mendetailkan siapa dan bentuk apa cara memilih pengganti. Jika ada, masakn sahabat berselisih. Oleh itu isu kepimpinan berkait kabilah/bangsa berbeza dengan isu dakwah, tanahair berkait bangsa. Kita yang sama2 lahir dan membesar di Malaysialah yang boleh menjawab sendiri soalan2 “indian muslim” diatas tanpa semestinya berkait dengan isu kecintaan tanahair, dakwah kaum kerabat terdekat dan seumpamanya. Wallahu aalam. Ini pandangan peribadi Ustaz Halim http://www.inijalanku.wordpress.com

    • renungan2u
      May 16, 2010 at 2:27 pm

      Terima kasih, ust Abdul Halim atas komentar dan membuka isu baru..

      Isu menyerahkan kepimpinan tertinggi negara kepada India Muslim dan Cina Muslim yang lebih bertakwa dan lebih berilmu di Malaysia . Bagi saya ia sesuatu yang ideal untuk dilaksanakan di Malaysia walau dalam tempoh 20 tahun mendatang, tetapi melantik mereka sebagai menteri kabinet tidak menjadi masalah.

      Malah isu melantik kepimpinan daripada golongan yang mendapat sokongan majoriti itulah hakikat asobiyyah yang dipertegaskan oleh ibn Khaldun. Cuma acuannya adakah lebih baik dikekalkan sistem kerajaan campuran BN dan PR dan dalam keadaan kedua-dua parti-parti Melayu Islam perlu mencari sokongan bangsa lain yang tidak Islam. Dan dalam suasana ini kedua-dua parti Melayu Islam seolah-olah menjadikan lawan politiknyanya sebagai musuh selama-lamanya.

      Sepatutnyan UMNO ada agenda khusus untuk membangunkan umat Islam dan parti politik Melayu lain juga ada agendanya. Sekiranya matlamat kedua-dua parti itu sama dalam mana-mana aspek, apasalahnya mereka bersepakat dan bekerjasama demi kekuatan ummah. Bukan mengambil sikap; apa shaaja polisi, dasar, program yang dicadangkan dan diusahakan parti lawan kesemuanya tidak betul dan tidak perlu disokong. Atau walaupun pihak pembangkang mempunyai idea yang baik bagi memartabatkan ummah mereka akan simpan dan tunggu apabila mereka berkuasa barulah idea itu dilaksanakan.

      Suasana parlimen hanyalah suasana pihak pembangkang mengkritik pemerintah dan pemerintah mencari kelemahan pembangkang. Apakata kalau pembangkang ada idea yang baik maka idea itu dicadangkan walaupun ia dilaksanakan oleh pemerintah sedia ada dan ia sudah pasti menguntungkan ummah. Apakah tugas pembangkang hanya membangkang?

      Apa salahnya jika ahli-ahli UMNO ada idea baik untuk memajukan umat Islam mereka menasihati pemerintah negeri yang diperintah oleh parti lawan dengan memberi idea dan sokongan kewangan secukupnya. Apa yang berlaku sekiranya kerajaan itu diperintah oleh pembangkang mereka tidak mendapat peruntukan selayaknya malah akan dilakukan strategi bagi meruntuhkannya, seolah-olah merebut kuasa menjadi agenda mengaut kekayaan diri dan parti.

      Sepatutnya umat Islam bukan berebut kuasa demi mencari sesuap nasi tetapi merebut kuasa demi memberi, berkhidmat dan menunaikan tugas khalifah yang sebenar. Namun apa yang berlaku apabila perjuangan tidak menjanjikan keuntungan duniawi akan berlakulah tindakan lompat parti. Kemungkinan juga jika dalam pilihanraya 2013 BN tetap menang maka ramai lagi wakil-wakil rakyat akan lompat parti dan juga kika BN kalah ramai pula akan menyeberang ke PKR atau PAS.

      Apakah rakyat boleh menerima fenomena ini?

      Apabila ISMA menimbulkan isu perjuangan bangsa Melayu dan mengajak mereka kembali kepada Islam tulen bermaksud ISMA cuba memabawa idea pertengahan antara perjuangan Melayu berasaskan idea sekular dan perjuangan Islam yang kadang-kadang membawa arus melupakan ruh persaudaraan Islam, ukhuwwah, mahabbah, bersifat duah, murabbi tetapi kadang-kadang terlebih menampakkan sayang kepada rakan seperjuangan yang tidak seagama dan sebangsa.

      Apabila ISMA memperjuangkan hak umat Islam yang masih ada dalam perlembagaan sedia ada, mempertahankannya agar tidak diubah dan diperkemaskan bukan bermaksud ISMA ingin mengenepikan hak-hak kemanusiaan bangsa-bangsa lain yang tidak seagama tetapi ISMA yakin hanya Islam mampu memberi keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

      Perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia akan gagal jika semua umat Melayu tidak mendokongnya tetapi ingin menyerahkan tanggungjawab ini kepada India Muslim dan Cina Muslim, kecuali masyarakat India Muslim berjaya menguasai kepimpinan MIC, Cina Islam menguasai semua parti-parti Cina dan kaum Melayu yang faham dan kommited menguasai UMNO dan PAS.

      Kemudian mereka sepakat memilik perdana menteri dari kalangan Cina atau India yang lebih bertakwa dan berilmu jika tidak ada orang Melayu yang layak.

      Bagi saya program KOBANA lebih kepada untuk menyedarkan bangsa Melayu bahawa mereka sepatutnya bersatu bagi menegakkan ketuanan Islam bukan berpecah dalam mengejar kekayaan dunia. Juga sebagai langkah pertama untuk menyedarkan umat Melayu bahawa mereka perlu kembali kepada Islam tulen dan menginsafi bahawa orang Melayu bertanggungjawab terlebih dahulu membetulkan bangsa dan keturunannya sebelum mengutamakan bagsa-bangsa lain daripada menunggu agar bangsa Cina dan India Muslim akan berdakwah dan mendidik orang-orang Melayu.

      • Hanan
        May 17, 2010 at 9:21 am

        Ana amat tertarik dengan isu kertas kerja Program KOBANA bertajuk “Pandangan Hasan Al-Banna terhadap Agenda Pembangunan Ummah & Pelaksanaannya di Malaysia” hasil tulisan Mohd Hazizi Abdul Rahman.

        Amat baik sekiranya kertas kerja tersebut dapat diperpanjangkan kepada semua para Menteri yang beragama Islam, NGO-NGO Islam, Masjid dan Surau.

        Ana mencadangkan supaya diadakan pula KOBANA 2 untuk membincangkan strategi dan pelan tindakan bagi merealisasikan Agenda tersebut. Mungkin beberapa orang wakil daripada setiap gerakan dan NGO Islam serta masjid & surau dijemput bagi menjayakannya.

        WAllahu A’lam.

  6. khalisah
    May 29, 2010 at 10:30 am

    mudah difahami

    • renungan2u
      May 30, 2010 at 7:33 am

      terima kasih.. apa khabar orang Kg Telok Bedara…ya?

  1. January 4, 2011 at 1:18 am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: