Home > Tasawwur Islami > Bilakah Kesyumulan Islam Akan Tertegak?

Bilakah Kesyumulan Islam Akan Tertegak?

Baru-baru ini saya menerima email dan solan berkaitan kesyumulan Islam ; yang bertanyakan bagaimana ISMA berjuang untuk menegakkan Islam yang Syumul. Ada juga email yang menggambarkan pengirimnya percaya bahawa dengan berjuang untuk menegakkan Islam melalui sistem pilihanraya sahaja menjadikan perjuangannya itu syumul dan sebaliknya tanpa terlibat dalam perjuangan untuk menegakkan Islam melalui pilihanraya perjuangan Islam itu masih bersifat khusus atau juzie .

Pada pandangan saya kesyumulan Islam hanya tertegak apabila perjuangan Islam sampai ke kemuncak perjuangan iaitu ketika Islam menjadi Ustaziah al-`Alam atau sekurang-kurangnya perjuangan Islam berjaya menegakkan sistem pemerintahan Islam yang Syumul. Sebelum itu perlaksanaan Islam akan berada dalam keadaan juzuk-juzuk dan terpisah atau tidak Syumul. Berjuang dalam arena politik tidak menjadikan perjuangan itu Syumul. Begitu juga jika tidak memasuki arena politik masa kini tidak pula menjadikan perjuangan itu tidak syumul.

Dalam sejarah perjuangan rasulullah s.a.w. kesyumulan Islam hanya tertegak dengan turunnya wahyu –wahyu terakhir yang menjelaskan bentuk hubungan luar antara kerajaan Islam dan golongan kuffar dan ia menjadi dasar hubungan luar kerajaan Islam dengan kerajaan kafir; iaitu sama ada memeluk Islam, menyerah kalah dan membayar jizyah ataupun berhadapan dengan perang.

Sekarang wahyu telah sempurna dan hukum terakhir dalam hubungan antara Islam dan kuffar adalah perang maka apakah kita menerima manhaj tanzim Jihad yang menjadikan jihad secara bersenjata sebagai manhaj Islam diseluruh dunia dan menjadikan semua kerajaan yang tidak melaksanakan Islam sebagai kerajaan kafir harbi yang perlu diperangi?

Ikhwan tidak menerima fikrah ini dan mengembalikan fasa hubungan luar gerakan Islam dengan jahiliyyah kepada fiqh dakwah di marhalah Makkiah sebagaimana sikap nabi s.a.w. ketika berhadapan dengan golongan Quraisy Mekah.

Siyasah luaran gerakan Islam ini mungkin berbeza antara negara dengan negara mengikut ijtihad ulama gerakan Islam setempat berdasarkan kaedah maslahah. Namun siyasah tarbawiyyah yang menjadi asas tumpuan gerakan Islam dalam proses perubahan tidak pernah berubah.

Apakah ketika rasulullah berdakwah di fasa Mekah, dakwah nabi s.a.w. ketika itu tidak syumul?
Ketika dakwah nabi di peringkat fasa Makkiah Islam belum lagi wujud dalam keadaan sempurna dan syumul namun sebenarnya perjuangan nabi s.a.w. sudah terbina di atas dasar dan asas-asas yang Syumul.

Sebagaimana janin semasa emberionya lagi sebenarnya sudah memiliki asas kesempurnaan seorang insan; kesempurnaan kesyumulan keperibadiannya terbentuk dan berkembang di atas asas yang sempurna yang telah tersedia.

Saya suka membuat perumpamaan untuk membina menara berkembar Petronas. Ia mesti dimulakan dengan sebuah idea besar yang tercetus didalam pemikiran seseseorang, kemudian idea itu diceritakan kepada seorang pelukis plan lalu satu gambaran dan lakaran bangunan itu dilukiskan di atas sebidang kertas kemudiaan sebuah plan yang lengkap dilakarkan. Bukan sekadar itu sahaja malah selepas itu para jurutera ukur bahan mula membuat kiraan mengenai bahan-bahan yang diperlukan dan jumlahnya secara detail kemudian ditentukan pula jangkamasa pembinaannya jumlah tenaga kerja yang diperlukan dan kos-kosnya. Hanya kontraktor yang pakar dan berpengalaman sahaja yang sanggup memikul tanggungjawab membinanya.

Islam adalah ad din untuk manusia dan manusia perlu berusaha sendiri dalam berjuang bagi menegakkannya..Walaupun Allah mampu mengadakan sesuatu yang dikehendakinya dengan berkata ”kun” tetapi peraturan dan hukumnya untuk manusia bahawa manusia ditaklifkan untuk berusaha mengikut cara-cara yang telah di ajarkan melalui rasulnya s.a.w.

Imam al-Banna sebelum membawa gagasan manhaj perubahan Islam ini terlebih dahulu mengkaji sejarah kebangkitan dan kejatuhan satu tamadun, pemimpin, pendookong dan tenaga kerjanya selain mengkaji sejarah perubahan manusia sejak wahyu pertama diturunkan sehingga wahyu yang terakhir.

Bagi pendakwah yang terlibat dalam gerakan Islam, mereka perlu sentiasa bermuhasabah diri apakah betul gerak kerja mereka benar-benar berpandukan Islam? Apakah betul kerja-kerja dakwah mereka menepati sunnah nabi s.a.w. atau mempunyai dalil yang membenarkannya menurut Syarak ? Apakah perubahan yang digerakkan menggunakan manhaj yang betul? Bolehkah dengan teori-teori pertembungan politik kepartian dijadikan asas dalam perjuangan?

Bukankah setiap kemungkaran itu perlu diubah? Bukankah untuk mengubah kemungkaran kita perlu menghapuskan punca yang menjadi asas kemungkaran? Kalau punca kemungkaran adalah sistem jahiliyyah dan punca sistem jahiliyyah terlaksana kerana ada orang yang melaksakannya, meneruskannya dan melahirkan manusia yang akan meneruskannya.

Maka bukankah untuk menghapuskannya adalah dengan menghapuskan jahiliyyah daripada manusia yang bakal melaksanakannya.? Tidak ada cara untuk membuang jahiliyyah daripada dalaman dan realiti manusia melainkan melalui proses tarbiyyah.

Apakah membina sebuah tamaddun Islam lebih mudah daripada membina KLCC, tidak perlu wujud plan pembangunan yang hendak di buat?, tidak perlu wujud arkitek?, tidak perlu jurutera? tidak perlu tenaga kerja yang mahir? Tidak perlu fasa-fasa pembinaan asas? Tidak perlu wujud tiang-tiang teras dalam membangunkan ummah ini..? Ataupun wujud plan tetapi tidak berpandukan manhaj nabi s.a.w. yang ternyata telah dipandu oleh Allah Azza wa Jalla dan telah terbukti berjaya.?

Atau cukupkah pemikiran yang hanya bersikap “pakai hentam saja”, lepas itu berdoa..? Dan berkata; Saya telah mengikut Syariat Islam dalam memperjuangkan Islam??

Kalau begitu apakah gunanya kisah-kisah perjuangan nabi-nabi dan umat terdahulu di ceritakan Allah dalam al-Quran? Apa gunanya Allah memerintahkan nabi berdakwah secara berahsia, kemudian mengiklankannya, Allah memerintah baginda tidak menghiraukan kafir Quraisy terhadap segala ejekan dan rintangan yang mereka ada-adakan semasa di Mekah?

Kenapa rasulullah s.a.w. mengatakan kepada Umar al-Khattab apabila beliau mengajak nabi berperang semasa di Mekah bahawa Allah belum mengizinkan untuk berperang? Kanapa semasa nabi ditawarkan kuasa semasa di Mekah nabi menolaknya? Kenapa di awal pemerintahan Islam di Madinah umat Islam hanya diwajibkan berperang apabila diperangi? Kenapa umat Islam menang dalam peperangan Badar dan kalah dalam peperangan Uhud? Kenapa apabila umat Islam menang di dalam perang Khandak baru nabi mengisytiharkan bahawa baru tiba masanya nabi melancarkan serangan ke atas golongan kuffar?

Apakah ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah dan Madinah tiada kaitan dengan strategi dakwah? Matlamat fasa dan fasa-fasa perjuangan?

Bukankah ia menggambarkan satu perancangan, wujud fasa-fasa perjuangan, ada perkara-perkara utama yang menjadi asas kepada fasa berikutnya?

Barat sudah lama memahami plan-plan strategi dalam merubah tamaddun ini dan mereka telah mengenal pasti punca kekuatan dan kelemahan umat Islam dan serangan mereka ke atas dunia Islam adalah serangan berasaskan strategi.

Apakah para duah Islam merempuh peperangan dengan musuh Islam ini tanpa satu plan perjuangan yang jelas? Tidak jelas dimana hendak bermula, tidak menumpukan kepada membina asas-asas kekuatan yang perlu dibina dan tidak tahu apakah fasa-fasa kekuatan yang perlu dibina dan ke mana sudahnya?

Syaikh Abdul Sattar Fathullah Said mengatakan bahawa peperangan hari ini adalah peperangan untuk memastikan kelansungan Islam agar wujud dalam diri, keluarga dan ummah berhadapan dengan serangan musuh untuk meneruskan kewujudan ideologi barat, neraca barat, budaya barat dan sistem barat dalam diri ummah digantikan daripada Islam. Ia adalah peperangan kewujudan dan survaival antara Islam dan Jahiliyyah yang di dokong oleh freemason.

Ini adalah sunnatullah ke atas kewujudan ini. Bermula dengan membina asas dan seterusnya secara berperingkat-peringkat binaan itu dibina sehingga sempurna. Rasulullah s.a.w di bimbing oleh Allah Azza wa Jalla selangkah demi selangkah dalam proses membuat perubahan manusia dan sistemnya. Manhaj nabi s.a.w. masih ada bersama kita kenapa kita memilih dan mendahulukan manhaj yang lain.?

Muhammad Ahmad al-Rasyid dalam bukunya al-Masar menegaskan bahawa gerakan Islam perlu memiliki manhaj yang syumul sejak permualaan dakwahnya lagi termasuklah mengenai siyasah atau penglibatan dalam arena politik.

Manhaj perubahan berasaskan tarbiyyah Islamiyyah memulakan langkah dengan melakukan proses pemantapan syakhsiah melalui menanam kekuatan aqidah tauhid, memasak asas-asas keimanan, mentazkiyyah jiwa daripada sifat-sifat mazmumah dalam diri, adab berkeluarga dan masyarakat dan membina di atasnya sifat-sifat mahmudah, melatih diri bermujahadah melawan nafsu, bersabar menanggung kepayahan dan keperitan, membentuk akal dengan ilmu pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang. Inilah yang menjadi asas pembinaan keperibadian masyarakat dan pemimpin negara yang unggul.

Imam al-Banna ketika menggariskan 10 ciri individu muslim, telah menggambarkan kesyumulan Islam yang ingin diwujudkan dalam pembentukkan keperibadian ahli-ahlinya. Ikhwan menekankan pembentukan individu muslim yang syumul dan seimbang sejak langkah pertama di jalan dakwah.

Hanya di atas bahu muslim yang syumul pembentukannya sahaja sebuah kerajaan Islam yang syumul dapat ditegakkan.

Imam al-Banna menegaskan bahawa kejelasan matlamat perjuangan, kejelasan peta perjuangan, kejelasan susunan peringkat-peringkat dakwah dan kejelasan tabiat jalan dakwah dan tuntutannya adalah pra syarat kejayaan perjuangan. Malah kejelasan ini perlu disertakan dengan keyakinan yang mantap dan tidak berbelah bahagi sehingga melahirkan semangat yang berkobar-kobar untuk merealisasikannya dan sanggup berkorban harta dan jiwa raga dijalannya. Pejuang yang memiliki keikhlasan yang tinggi ini dan meletakkan keredaan Allah megatasi segala-galanya hanya akan lahir melalui proses pembentukan yang betul dan memerlukan jangkamasa yang panjang.

Penglibatan dalam politik bukan bermakna hanya terlibat di dalam pilihanraya sahaja. Sebaliknya proses tarbiyyah siyasiyyah dalam manhaj pentarbiyahan yang meliputi membentuk kesedaran politik, membina setiap individu agar mampu memikul peranan seorang khalifah, mengenal musuh-musuh Islam, gerakan dan agenda mereka, mendalami asas-asas ijtihad, mengkaji sejarah khalifah Islam sejak zaman nabi s.a.w, sejarah khulafa’ al-Rasyidin, kerajaan bani Umayyah, Abbasiyyah, Mamalik, Uthmaniah dan kerajaan-kerajaan kuffar lain, mendalami ilmu-ilmu sais pengurusan Islam dan semasa, latihan mempraktikkan ilmu-ilmu jihad dan ijtihad, adab-adab, disiplin amal jama`i dan syura dalam kerja-kerja harakah Islamiyyah ; kesemuanya ini adalah asas-asas penting dalam membina identiti seorang khalifah sebelum mengharungi penglibatan dalam politik. Membina asas-asas khalifah adalah termasuk dalam kerja-kerja politik walaupun tidak atau belum menyertai pilihanraya.

Sebaliknya penglibatan dalam sistem pilihanraya hanya salah satu wasilah untuk menyampaikan Islam bukan wasilah syar`ie untuk menegakkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat. Malah hanya melalui proses tarbiyyah , Islam dapat ditegakkan dalam diri insan, keluarga dan masyarakat.

Sepatutnya penglibatan dalam pilihanraya tidak menjadikan umat Islam semakin lemah, semakin berbalah sesama sendiri dan semakin jauh daripada akhlak-akhlak Islam. Jika itu kesan daripada peperangan politik lebih baik pejuang Islam mengambil sikap memberi fokus kepada aktiviti yang lebih menguntungkan Islam dan membina kekuatannya daripada menjadi penyebab ummah hilang hak-hak mereka sebagai rakyat hasil wujud perasaan hasad dengki dalam pihak bertentangan.

Begitu juga sesebuah Harakah Islamiyyah tidak akan wujud dalam bentuk yang syumul sebagaimana syumulnya Islam, kerana kebanyakan hukum-hakam Islam yang berkaitan dengan pemerintahan hanya akan tertegak dengan tertegaknya daulah Islam.

Daulah Islam adalah sebuah pemerintahan yang terdiri daripada rakyat, pemimpin dan tanahair. Hubungan rakyat dan pemimpin adalah hubungan ukhuwwah Islamiyyah, kasih sayang, wala’ nasihah dan nusrah sebelum hubungan akta, peraturan, undang-undang, hukuman dan kuasa pemerintah.

Ketaatan umat Islam kepada pemerintahnya adalah ketaatan berasaskan tuntutan iman, kasih sayang dan wala’ sebelum ketaatan mereka kerana takutkan hukuman. Ketika itu semua rakyat menjadi pendokong kepada siyasah khalifah dan pejuangnya. Kekuatan ini hanya lahir melalui kesatuan fikrah dan hati. Kesatuan fikrah dan hati memerlukan tarbiyyah yang panjang bagi memecah keegoan manusiawi, menyelaraskan neraca fikir dan membina ketakwaan dan kecintaan hanya kepada Allah Azza wa Jalla.

Oleh itu apabila ISMA memilih manhaj tarbiyyah sebagai method perubahan politik bermakna ISMA sudah terlibat dalam amal-amal politik yang menjadi sebahagian usaha penting dalam proses perlaksanaan dan penegakkan kesyumulan Islam.

Sistem demokrasi berparlimen dan proses pilihanraya dalam memilih pemimpin adalah sistem yang ditinggalkan penjajah dan bagi saya umat Islam tidak perlu terikat dengan sistem ini dalam proses menegakkan Islam. Malah umat Islam perlu berfikir diluar kotak dengan meletakkan kemaslahatan ummah sebagai satu keutamaan. Perjuangan Islam tidak sepatutnya menjadi punca hubungan ukhuwwah Islamiyyah antara ummah semakin renggang; sekiranya keadaan ini berlaku maka tidak ada maslahatnya perjuangan sebegitu diteruskan.

Ketika nabi s.a.w. memulakan dakwah baginda memulakannya seorang diri, kemudian anggota masyarakat yang menjadi asas negara Islam semakin bertambah dengan bertambahnya umat Islam yang beriman, memberi wala’ dan ketaatan kepada pimpinan nabi s.a.w. Mereka hidup bersama-sama nabi dan madrasah al-Quran. Ayat demi ayat dibaca, diteliti dan dijadikan objektif dalam merubah aqidah, neraca fikir, akhlak, budaya dan sistem hidup mereka. Semakin lama semakin bertambah kekuatan masyarakat Islam. Daripada berdakwah kepada individu nabi berdakwah kepada kabilah-kabilah dan apabila kabilah `Aus dan Khazraj beriman nabi sudah mendapat tanah air untuk memulakan sistem pemerintahan Islam.

Umat Islam hari ini walaupun sempurna rukun-rukun keIslaman mereka namun wala’ mereka tidak jelas, hidup bersendirian dan terpisah dengan umat Islam yang lain dan tidak berada di dalam saf perjuangan yang saling memperkuatkan. Namun apabila usaha dakwah dilakukan, setiap individu masyarakat menggabungkan diri dengan gerakan Islam dan pimpinannya memberi wala dan berjihad dengan harta dan jiwa mereka, Islam tertegak dalam diri mereka, dalam keluarga mereka, dalam hidup bermasyarakat maka apakah sistem sekular akan masih tertegak jika majoriti masyarakat memulaunya dan hanya melaksanakan sistem Islam.?

Apakah ada cara lain lebih pantas untuk menegakkan Islam tanpa melalui proses tarbiyyah membina Islam dalam diri ummah? Imam al-Banna beriman bahawa di sana tidak ada jalan lain selain jalan ini.. jalan tarbiyyah yang panjang.

Mempelajari tafsir ayat-ayat al-Quran dan beramal dengannya, mempelajari hadis-hadis nabi dan membentuk akhlak dalam hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia berasaskan akhalak nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya. Membentuk kesanggupan untuk hidup dalam sistem Islam, bermesyuarat dan perkara kecil dan besar, meminta izin pimpinan dalam semua aspek dakwah dan kehidupan dan saling nasihat menasihati.

Categories: Tasawwur Islami
  1. abu abdullah
    March 12, 2010 at 11:18 pm

    salam: pada pendapat ana msyarakat perlukan penerangan dan praktikal utk memhami kesyumulan islam..maka tidak ada seorang individu pun yg akan memahaminya melainkan inividu yg berperibadi muslim…oleh kerana itu tidak ada jln yg lebih baik melainkan menjalani proses pentarbiyahan individu muslim itu sendiri..inilah formula membina ummah terbaik yg telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sesungguhnya pd Rasulullah itu Uswatu Al-Hasanah..

  2. March 14, 2010 at 11:43 am

    syukran,ustaz.Alhamdulillah,kini ana lebih memahami pemikiran dan ideologi yang cuba diketengahkan oleh ISMA dan IM.

  3. azman
    March 16, 2010 at 2:36 pm

    assalamualaikum,
    ustaz mohon copy ke blog ismajohor

    • renungan2u
      March 17, 2010 at 1:02 pm

      tafaddhal ya akhi..

  4. syed alyahya
    March 26, 2010 at 1:46 pm

    assalamualaikum,, dihrapkan Ustaz sentiasa berada dibawah payungan rahmatNYA.. ana ingin bertanya adakah Islam yg syumul itu tdak menerima Politik atau siasah Islamiah? adakah Islam itu berjuzuk-juzuk? imam Hasan Albanna dalam kitab Usul 20 ada menyebut:

    “Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita” Hasan Albanna.

    sperti mana yg disebut oleh Ustaz, bahawa politik Atau siasah bukan jalan Untuk mensyumulkan Islam (, kata Ustaz: “Pada pandangan saya kesyumulan Islam hanya tertegak apabila perjuangan Islam sampai ke kemuncak perjuangan iaitu ketika Islam menjadi Ustaziah al-`Alam atau sekurang-kurangnya perjuangan Islam berjaya menegakkan sistem pemerintahan Islam yang Syumul. Sebelum itu perlaksanaan Islam akan berada dalam keadaan juzuk-juzuk dan terpisah atau tidak Syumul. Berjuang dalam arena politik tidak menjadikan perjuangan itu Syumul. Begitu juga jika tidak memasuki arena politik masa kini tidak pula menjadikan perjuangan itu tidak syumul”.) seterusnya, benarkah apa yg di perjuangkan Isma mengikut manhaj yg dibawa Ikhwanul muslimin sedangkan ikhwanul muslimin menerima politik?????

    • renungan2u
      March 26, 2010 at 5:22 pm

      Wa`alikumussalam..

      Terima kasih saya ucapkan kepada Syed atas doa dan pertanyaan Syed alyahya.

      Syed perlu memahami tajuk tulisan saya .. bilakah Islam yang Syumul akan tertegak.?.

      Dalam komentar saudara Syed alyahya saya mengagak bahawa syed tidak membezakan antara siyasah syariyyah dengan politik moden zaman ini. Syed juga seolah-olah belum memahami apakah maksud manhaj kerja ikhwan muslimin dan kedudukan politik dalam manhajnya, malah mungkin juga istilah manhaj yang difahami oleh Syed tidak sama dengan apa yang saya fahami. Syed perlu membaca semua tulisan saya dalam blog ini dengan ikhlas dan positif..

      Islam itu Syumul sejak Azali lagi kerana al-Quran itu telah sempurna sebelum diturunkan ke langit dunia dari lauh al-mahfuz pada malam al-Qadar. Kemudian nabi s.a.w. berjuang membina kewujudan Islam secara Syumul bermula di Mekah sehingga baginda wafat. Islam yang syul sebagaimana definasi al-Banna terlaksana ketika nabi berjaya menegakkan Islam di Madinah dan turunnya hukum terakhir dalam siyasah luaran Islam dan Jahiliyyah; iaitu perang habis-habisan. Setelah kejatuhan khalifah Uthmaniyyah.. Islam kembali dagang…dan dijuzukkan perlaksanaannya…

      Imam alBanna tegaskan kesyumulan Islam dalam Usul pertama dalam rukun Faham. Penegasan ini bertujuan untuk meletakkan objektif umum perjuangan Islam. Setelah Faham pejuang-pejuang Islam perlu didik agar memiliki keikhlasan dan setelah itu baru mereka diajak untuk beramal berasaskan Rukun Amal dan seterusnya.

      Rukun faham yang saudara Syed tulis itu menjadi objektif perjuangan ikhwan. Ikhwan meletakkan 7 peringkat amal, dalam susunan kerja-kerja membina tamddun Islam yang syumul dan Memerintah seluruh dunia dengan Islam adalah fasa terakhir. Ketika harakah Islam difasa pertama; pembinaan individu dan kedua pembinaan keluarga Islam ia mungkin tidak didaftarpun. Imam al-Bannapun diperingkat-peringkat awal gerakannya tidak terlibat dalam politik..

      Kewujudan Islam secara syumul dialam nyata akan berlaku apabila Daulah Islam tertegak. Sekarang Islam belum lagi diimplimentasikan secara syumul sebab itu wujud perjuangan Islam untuk menegakkan Islam yang Syumul. Ada gerakan Islam memilih metodologi parti politik, ada memilih wadah bukan politik mengikut ijtihad masing2. Ikhwan telah wujud dilebih 70 negara dan tidak semua Ikhwan dinegara-negara tertentu terlibat dalam politik.

      Sikap melibatkan diri dalam pilihanraya atau tidak hanyalah ijtihad gerakan Islam disesebuah tempat dalam siasah luarannya berhadapan dengan sistem yang ada. Ijtihad ini berbeza-beza antara negara berdasarkan kemaslahatan yang difahami oleh pimpinan gerakan Islam ditempat masing-masing. Nabi s.a.w juga menolak penglibatan dalam politik semasa dakwah baginda di fasa Mekah sebagaimana perintah Allah dalam surah al-Kafirun.

      Imam al-Banna melibatkan diri dalam pilihanraya sebagai wadah untuk berdakwah, begitu juga Ikhwan di seluruh dunia pada masa ini meletakkan maratib ketiga dalam susunan amal mereka sebagai fokus utama malah dalam risalah Muktamar ke 5 Imam al-Banna menegaskan bahawa gerakan Islam perlu menjauhi tabiat parti politik dalam gerakannya walaupun mereka ingin terlibat dalam politik semasa.

      Kalau gerakan Islam memilih parti politik sebagai landasan ia tetap gerakan yang ingin menegakkan kesyumulan Islam jika kesyumulan Islam itu menjadi agendanya tetapi jika Islam yang syumul tidak menjadi agendanya.. maka gerakan itu tidak syumul. Namun Ikhwan meletakkan sasaran memasuki fasa daulah Islamiyyah setelah fasa-fasa sebelumnya sempurna.

      Syumul yang lebih utama adalah dalam pembentukan individu muslim yang seimbang sehingga individu itu Islam aqalnya, Islam hatinya, Islam nafsunya, Islam seluruh anggota badannya. Ikhwan memilih metodologi tarbiyyah yang berobjektif sebagai manhaj perubahan dan objektif itu bagi menyempurnakan 10 ciri individu muslim. Setiap satu ciri juga ada objektif2 tertentu yang perlu dicernakan dalam peribadi setiap ahlinya.

      ISMA insya Allah menjadikan “Peta Amal Ikhwan” sebagai panduan amal.. dan buat masa ini masih membuat cerucuk binaan….

      Wallahua’lam..

  5. March 28, 2010 at 7:57 am

    Salam..
    Jzkllah ustaz atas ilmu yg dikongsikan..

    Bukan ker Ikhwh sndiri (dlm bnyak buku2 Ikhwn) ada menyebut asas dan juga antara keistimewaan dakwah dan tarbiyah dia ialah SYUMUL..?

    Maknanya ustz sndiri mengakui perjuangan ISMA juga tidak @ belum syumul ?

    Maaf, kalu tersilap paham..

  6. renungan2u
    March 28, 2010 at 2:00 pm

    Wa`alaikumussalam..

    Saudara kena bezakan antara asas, dasar dan realiti perlaksanaan.

    Realitinya ISMA adalah gerakan Islam bukannya daulah Islam. Islam hanya mampu dilaksanakan dalam kerangka sebuah jamaah dan harakah sahaja. Aspek2 penghakiman, hudud, qisas dan jihad qital sudah pasti tidak boleh dilaksanakan. Begitulah halnya semua gerakan Islam.. kesyumulan hanya pada dasar, asas dan aqidah perjuangan..

    Sunnatullah adalah begitu. Allah telah siapkan plan terhadap alam ini sejak azali lagi dilauh al-Mahfuz kemudian alam ini diciptakan berfasa dan berperingkat-peringkat dan adalagi benda yang belum wujud dan akan berlaku.. termasuk hari kiamat..

    Asasnya Al-Quran dan Sunnah tentulah Syumul sebab aqidah Islam sudah Syumul.

    Dakwah rasulullah s.a.w. semasa di Mekah Syumul pada aqidahnnya tetapi kewujudannya belum Syumul. Belum ada hukum puasa, zakat, haji, jihad qital. hudud dan qisas.

    Malah hukum jihad (siyasah luaran) juga diturunkan berperingkat2 bermula surah al-Kafirun, larangan berperang di Mekah, Diizinkan berperang di Madianah apabila diperangi dan perintah memerangi kuffar seluruhnya selepas peperangan Khandak.

    Jihad nabi juga berfasa, berperingkat dan Allah meraikan realiti kekuatan jamaah Islam, kemampuannya dan ketahanannya dalam menanggung beban amanah taklif, kerana Allah tidak akan mentaklifkan sesuatu yang manusia tidak mampu memikulnya.

    Setelah kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniah, realiti politik Islam diseluruh dunia tumbang dan sistem politik negara-nagara Islam digantiukan dengan sistem Barat atau penjajah. Muhammad Qutub berkata Jahiliyyah kurun ke 20.

    Dalam realiti Ini Imam al-Banna membawa gerakannya untuk membina semula tamaddun Islam daripada mula dengan mengembalikan wala’ umat Islam kepada gerakan Islam dan sama-sama berjuang menegakkan Islam dalam diri, keluarga, jamaah dan masyarakat sehingga tiba masa kerajaanIslam boleh ditegakkan.

    Realiti perlaksanaan Islam dalam Jamaah Islam tentu tidak sesyumul Islam sebab ada hukum-hukum Islam hanya dapat ditegakkan dengan adanya daulah Islam seperti hukum hudud, qisas dan jihad qital.

    Islam akan wujud secara syumul apabila wujud sistem pemerintahan Islam yang merealisasikan semua sistem-sistem Islam sebagaimana terdapat dalam Usul 1 dalam Rukun Faham.

    ISMA adalah gerakan Islam yang bergerak secara berfasa dan kini nmelalui fasa memastikan semua ahli, keluarganya termasuk anak isterinya mendapat tarbiyyah islam yang syumul merangkumi 10 sifat individu muslim sebagaimana yang ditegaskan oleh imam al-Banna.

    Setelah itu ISMA memastikan rumahtangga ahlinya ditadbir berasaskan sistem kekeluargaan Islam dalam aqidah, akhlak dan menjadi keluarga yang memperjuangkan Islam dan melahirkan barisan mujahid fisabilillah,.

    Dalam masa yang sama ISMA menyebarkan dakwah dan fikrahnya kepada masyarakat dan mengajak masyarakat berusaha merubah keperibadian mereka dan keluarga mereka agar sama-sama menghayati Islam yang Syumul.

    Islam yang Syumul akan wujud apabila ada indidvidu, keluarga, masyarakat dan negara mempraktiskannya. Sekarang kesyumulan itu hanya wujud dalam al-Quran dan tidak dialam realiti

    Oleh itu perjuangan ISMA masa ini Syumul pada aspek aqidah dan plan amalnya dan sudah pasti Islam yang Syumul belum tertegak sebab itu kita berjuang untuk menegakkannya.

    Cuma manhaj perjuangan IKHWAN dan ISMA adalah manhaj yang sama; merubah tamaddun manusia secara berperingkat dan berfasa selaras dengan penghayatan manusia itu sendiri terhadap ajaran Islam dalam kehidupannya.

    Bagi ISMA jika untuk melahirkan seorang doktor, jurutera, arkitek dan sebagainya ada manhaj pendidikannya tersendiri. Maka untuk melahirkan seorang Khalifah, ahli syura kerajaan Islam, Gabnor-gabnor Islam, tentera-tentera Islam dan sebagainya ada manhaj, latihan, program khusus untuk melahirkan mereka.

    Ia bukan kerja main2, bukan kerja ikut suka, bukab kerja pakai hentam saja tetapi perlu menggali khazanah tarbiyyah yang telah mengubah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khalid al-Walid dan sebagainya daripada peroibadi jahiliyyah kepada peribadi Islam yang unggul.

    Syed Qutub menjelaskan manhaj yang melahirkan mereka masih ada bersama kita sebab itu bebanan perjuangan Islam diwariskan kepada kita umat Islam cuma apakah pimpinan gerakan Islam benar2 mengkajinya.. Imam al-Banna mengkajinya dan mengemukakan ijtihadnya apakah kita benar-benar memahami selok belok merealisasikannya dalam realiti kita di Malaysia??

    Tahukah saudara dalam IKHWAN seseorang yang masih merokok, mengamalkan riba, insurance dan sebagainya perkara2 yang diharamkan tidak akan diterima dalam sof mereka tetapi hanya layak menjadi mad`u yang mengikuti kelas-kelas umum. Kerana seseorang yang hendak menjadi pendakwah dan mengajak orang lain menegakkan Islam hendaklah terlebih dahulu menegakkan Islam dalam dirinya.

    Pimpinan ISMA berkeyakinan bahawa mereka telah mendalaminya sebab itu mereka menggerakkan harakah berdasarkan apa yang diimani dan diyakini mereka.

    Wallahu a’lam.

  7. syed alyahya
    March 29, 2010 at 12:36 pm

    jazakumullah….atas penerangannya…

  8. renungan2u
    March 29, 2010 at 2:49 pm

    Ahlan wasahlan, pintu ISMA sentiasa terbuka kepada semua pecinta Islam.

  9. March 30, 2010 at 7:33 am

    Salam..

    Sedikit perkongsian.. Semua da’ie & semua wadah menjurus kepada kesyumulan.

    Cumanya nak mencapai kesyumulan sejati (ustaziatul alam) ada marhalah-marhalahnya.. Dalam marhalah2 pula adanya fokus2 yg perlu ditekankan..

    kalau main langgar saja, contohnya jika tarbiyyah fardi (perkaderan) kita hanya laksanakan dalam tempoh 2 3 tahun saja kemudian lompat pergi siasah tanpa dititik berat baitul muslim & masyarakat muslim terlebih dahulu, jadilah ahli2 sesebuah tanzim itu mempunyai fikrah yg pelbagai.. Ada yang bawa fikrah ikhwan, ada yang bawa fikrah sendiri, malah mungkin ada yg mmpunyai agenda sendiri..

    Minta maaf kalau terasa, ini kebenaran..

  10. renungan2u
    March 31, 2010 at 12:47 am

    Salam..

    Ya akhi nasihat itu asalnya daripada usaha mengeluarkan emas daripada bijihnya..

    tidak ada cara lain melainkan dengan membakarnya..

    Begitu juga.. nasihat adalah bertujuan membakar jahiliah agar lekang daripada minda, hati, jiwa, perasaan dan nafsu..

    Usaha membakar sememangnya pedih.. maka anta tidak perlu meminta maaf kerana memberi nasihat itu wajib hukumnya.. Kadang-kadang kita akan membakar jari kaki kita atau mencurahkan air suam-suam panas jika kegatalan itu tidak hilang walaupun dah puas disapu ubat gatal..dan kesakitan itu dirasai dengan nikmat..

    Hanya orang Takbur yang tidak menerima nasihat..

  11. renungan2u
    April 19, 2010 at 5:21 pm

    ISMA mendokong manhaj perubahan IM, sebagaimana ISMA mendokong ajaran ISLAM.

  1. January 4, 2011 at 1:18 am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: