Home > Uncategorized > Ramadhan dan Salam Kemerdekaan.

Ramadhan dan Salam Kemerdekaan.

Ramadhan tiba lagi dalam pusingan bulan-bulan kehidupan ini. Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Ramadhan kali ini sudah pasti menambahkan usia kita. Yang kecil menjadi remaja, yang remaja menjadi dewasa dan yang dewasa meningkat tua, yang tua mula menghitung hari-hari yang terlalu lambat berlalu dan menunggu entah bila malaikat Izrail akan singgah bertamu.

Namun hakikatnya tidak begitu, setiap saat dan detik akan ada daun yang gugur, embun yang kering, bunga yang lekang daripada tangkainya, buah yang gugur daripada dahannya. Begitu juga manusia ada sudah bertemu tuhan walaupun masih janin, ada yang bertemu tuhan di saat baru dilahirkan ibu, ada ketika baru belajar berdiri, ada pula yang baru mahu berjalan, yang baru bersekolah, yang baru tamat sekolah rendah, ada juga yang baru memulakan alam remaja dan ada yang baru `aqil baligh…. tak kira usia, dan di mana-mana jua. Bila tiba ajal yang telah ditentukan mautpun menjelang tiba.

Ada yang kehilangan ibu sedangkan mereka adalah anak-anak yatim yang masih dahagakan kasih sayang seorang ibu. Ada pula yang kehilangan bapa tempat bergantung sedangkan ibu tidak punya apa-apa pekerjaan.

Adapun sebabnya hanyalah hukum-hakam Allah kepada alam ini; ada yang terbunuh dalam peperangan, ada terbunuh dalam kemalangan, ada yang mati tercekik makanan, ada yang tersumbat saluran darah, ada yang dihinggap barah dan apa-apa saja.

Yang tiba ajalnya akan diajak pergi meninggalkan dunia fana ini, membawa segala bekal yang telah disediakannya; sama ada cukup mahupun tidak itu bukan pertimbangan ajal.

Cukupkah amalan kita untuk membayar segala nikmat yang Allah SWT kurniakan? Bukankah telah dikisahkan kepada kita oleh baginda al-Rasul yang mafhumnya ;

” .. seorang lelaki zaman terdahulu beribadah kepada Allah tidak berhenti selama 500 tahun, beliau berdoa agar diambil nyawanya ketika sujud dan diharamkan jasadnya daripada tanah lalu dimakbulkan.. Setelah tiba hari akhirat Allah berfirman : ” Wahai malaikatku, bawalah hambaku ini dan masukkanlah dia kedalam syurgaku dengan Rahmatku” lalu sihamba Allah tadi berkata: ” Wahai tuhanku, masukkanlah aku kedalam syurgamu dengan amalanku”..lalu Allah berfirman kepada malaikatnya: ” Hitunglah amalannya”. Lalu malaikatpun menghitung dan berkata: “Ya Allah Amalannya selama ini hanya menyamai sebelah biji matanya sahaja”… Allah berfirman : ” Wahai malaikatku, bawalah hambaku ini dan masukkanlah dia kedalam nerakaku”.. lalu sihamba Allah itu berkata: “Wahai tuhanku masukkanlah aku kedalam syurgamu dengan Rahmatmu”.. Lalu Allah bertanya : ” Wahai hambaku, siapakah yang menciptakanmu”.. Jawabnya; ” Engkau wahai Tuhanku”. Allah bertanya lagi: ” Siapakah yang menumbuhkan kepadamu pohon delima yang kamu makan?..Jawabnya : ” Engkau wahai Tuhanku”. Allah bertanya lagi: “Siapakah yang mengeluarkan mataair yang kamu minum?… ” Jawabnya : ” Engkau wahai Tuhanku”. Allah bertanya lagi: ” Wahai hambaku siapakah yang memberikan hidayah kepadamu sehingga kamu boleh melakukan ketaatan kepadaku?” Jawabnya: ” Engkau wahai Tuhanku”…. Lalu Allahpun megampunkan dosanya dan memasukkannya kdalam syurgaNya dengan RahmatNya.

( kisah ini telah lama saya dengar dan tidak sempat meneliti rujukannya, namun maksudnya benar.. seperti yang diperkuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Rejab al-Hambali dalam kitabnya..)

Kita memerlukan Rahmat, kasihsayang Allah dan keampunannya untuk melayakkan kita memasuki SyurgaNya. Bulan Ramadan adalah bulan Rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, bagi mereka yang benar-benar memerdekakan dirinya daripada ikatan hawa nafsu untuk melaksankan ibadah kepada Allah Azza wa Jalla sebanyak-banyaknya dan seikhlas-ikhlasnya.

Menjadi tradisi para sahabat “radiyallahu `anhum” menyambut Ramadan denga melipatgandakan amal ibadah dan taqarrub kepada Allah. Iblis yang selama ini bebas menghasut manusia sudah ditambat, nafsu yang selalu mengajak manusia melakukan maksiat telah dilemahkan dengan berpuasa.. Allah pula menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada amalan dibulan-bulan lainnya dan diadakan malam al-Qadar yang ganjaran beribadh padanya menyamai ibadah selama seribu bulan.. Persekitaran yang memudahkan ini disambut dengan bersungguh-sungguh dengan membayakkan membaca al-Quran, berqiamullail, bersedekah, beristighfar dan bertaubat kepada Allah.

Tradisi ini merupakan suatu yang amat payah pada hari ini melainkan mereka yang benar-benar berazam dan bermujahadah untuk meningkatkan kedudukannya di sisi Allah SWT.

Namun apabila kita sedar mungkin ini Ramadhan terakhir dalam hidup kita maka kita akan memerdekakan diri kita daripada ikatan nafsu yang menarik kita ke bumi untuk berqiamullail sedang manusia nyenyak menikmati nikmat tidur. Kita akan melipatgandakan tilawah al-Quran sedang manusia menonton wayang. Kita akan membanyakkan zikir dan istighfar sedangkan manusia lain lalai dengan cakap-cakap kosong.

Kemerdekaan sebenar ialah mereka yang merdeka daripada penjajahan nafsu dan bebas menikmati budaya hidup golongan solihin dan muttaqin.

Categories: Uncategorized
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: