Home > Tasawwur Islami > Akhlak Yang Mantap

Akhlak Yang Mantap

Akhlak adalah kekuatan dalaman yang menzahirkan amalan dan sikap yang baik atau kelemahan dalaman yang mendorong amalan dan sikap yang buruk.

 

Akhlak yang mantap adalah kekuatan dalaman yang kukuh, mantap dan kuat yang membentuk keperibadian yang unggul.

 

Al-Quran menjelaskan bahawa untuk mengubah nasib manusia adalah dengan mengubah kelemahan yang terdapat di dalam jiwa mereka. Proses perubahan ini dinamakan sebagai tazkiyyah an nafs. Al-Quran dan Hadis nabi s.aw. menamakan aspek dalaman manusia ini sebagai nafsu, hati, aqal, dan ruh.

Unsur dalaman inilah yang membuat pertimbangan antara baik dan buruk, membuat keputusan dan membuat dorongan terhadap sesuatu tindakan.

Sebelum pengutusan nabi Muhammad s.a.w. sikap dan amalan manusia dibentuk oleh neraca hidup yang sesat. Kejahilan manusia terhadap hakikat Rububiyyah Allah dan Hak-hak UluhiyyahNya menjadikan mereka diperhambakan oleh manusia yang memiliki harta dan kuasa. Perdagangan hamba abdi, sistem feudal dan menganggap wanita setaraf dengan binatang adalah antara norma hidup sebelum penurunan al-Quran.

Di zaman Firaun masyarakat ditakutkan dengan kuasa-kuasa sihir yang ada kepada tukang-tukang sihir Firaun. Kerana kejahilan mereka terhadap hakikat sihir yang hanya khayalan mata sahaja menjadikan mereka taat kepada Firaun. Nabi Musa berjaya membuktikan kepalsuan sihir-sihir tukang sihir dengan mukjizat kurniaan Allah kepadanya. Mukjizat tersebut telah menyedarkan tukang sihir kepada kekuasaan Allah dan menjadikan mereka beriman kepada Allah. Keimanan kepada Allah dan janjiNya telah melahirkan keberanian dan mengubah paradigma mereka terhadap kehidupan dunia lantas sanggup disalib daripada mengiktiraf ketuhanan Firaun.

Kejelasan terhadap prinsip-prinsip keimanan menjadikan umat Islam memiliki keperibadian yang mantap atau akhlak yang hebat. Berpegang dan memusatkan sikap berasaskan prinsip keimanan adalah asas kemantapan akhlak, sikap atau pekerti mulia. Menjadi hamba hanya kepada Allah merupakan setinggi-tinggi darjat kemanusiaan dan asas kemantapan akhlak manusia.

Manusia yang memiliki akhlak yang mantap adalah manusia yang merdeka daripada hawa nafsu, merdeka daripada kongkongan manusia lain yang bercanggah dengan prinsip hidup yang dipegang. Seorang yang merdeka juga adalah seorang yang adil kerana beliau sentiasa meletakkan sesuatu sesuai dengan tempatnya. Sebaliknya seorang yang terbelengu dengan nafsu sendiri atau lemah dengan tekanan orang lain akan menzalimi dirinya juga orang lain.

Imam al-Ghazali menyimpulkan bahawa kemantapan akhlak berpaksikan kepada empat asas:

1. Al-Hikmah atau kebijaksanaan

2. Syaja`ah atau keberanian

3. Iffah atau kesucian jiwa

4. `Adl atau keadilan.

Kebijaksanan adalah kemampuan untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan terhadap perkara yang boleh dipilih. Keberanian adalah kemampuan mengawal tindakan daripada dorongan kemarahan kepada tuntunan kewarasan akal. Iffah pula menahan nafsu syahwat dan mengawalnya agar tunduk kepada kewarasan akal dan tuntutan syarak dan keadilan adalah kekuatan dalaman diri yang mampu mengalahkan perasaan marah dan nafsu syahwat untuk patuh kepada kebijaksanaan.

Inilah intipati firman Allah:

” Hanyasanya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang beriman kepada Allah dan rasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lalu mereka berjihad dengan harta mereka dan jiwa mereka ke jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar” al-Hujurat:15.

Beriman kepada Allah dan Rasulnya tanpa keraguan dalam hati itulah yang dinamakan keyakinan kuat yang menjadi teras akal fikiran dan puncak kebijaksanaan. Berjuang dengan harta kekayaan adalah sifat murahati yang bakal memimpin diri menghalang kekuatan syahwat manakala berjuang dengan jiwa pula adalah sifat berani yang bakal memimpin perasaan marah agar mengikut petunjuk akal dan batasan syarak. Keadilan adalah gabungan keberanian dan kesucian jiwa yang dipandu oleh kebijaksanaan.

Menuruti perasaan marah tanpa berpandukan kerasionalan akal dan panduan Syarak melahirkan sifat takbur, menolak kebenaran dan menidakkan hak-hak orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal ini akan melahirkan rantai-rantai keburukan yang lain seperti irihati atau hasad dengki, membuat perencanaan jahat dan tersebarnya sikap ghibah atau memburukkan seseorang dibelakangnya. Sikap, tindakan dan hukuman yang berasaskan kemarahan akan membawa kepada kezaliman.

Kebaculan adalah disebabkan lemahnya pegangan seseorang kepada prinsip kebenaran lalu lahirnya perasaan riya’, mengampu dan mengharapkan sokongan manusia bukan sokongan Allah. Nafsu syahwat yang terikat dengan dunia, perhiasan, pujian manusia menutup sinar iffah menjadikan manusia sanggup meninggalkan prinsip-prinsip kebijaksanaan dan menuruti hawa nafsu. Mereka terikat dengan persekitaran, sejarah lampau yang negatif atau didikan negatif zaman lampau.

” Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang yang fasik membawa berita hendaklah kamu periksa kebenarannya..” al Hujurat: 6.

Orang-orang yang beriman adalah orang yang berpandukan kepada prinsip hidup yang jelas. Sesuatu perkara akan berada ditahap keraguan sehingga wujud bukti-bukti yang menjadikannya benar atau salah.

Stephen R. Covey menggariskan bahawa terdapat 8 tabiat di dalam setiap manusia yang hebat dan efektif.

1. Sentiasa bersikap proaktif. Asas kepimpinan diri adalah sifat proaktif; sentiasa mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu bukan menunggu untung nasib, bertanggungjawab terhadap kesan tindakan dan kegagalan bertindak dan sentiasa fokus kepada keputusannya sendiri.

2. Sentiasa memulakan sesuatu tindakan berdasarkan kejelasan terhadap objektif akhir yang ingin dicapai. Sikap ini menjadikannya seorang yang memiliki misi dan visi hidup yang jelas, memiliki sasaran dan cara untuk mencapainya berasaskan misi dan visinya. Sebagai seorang muslim sudah tentu al-Quran dan sunnah menjadi rujukan dalam menentukan misi, visi, sasaran dan cara.

3. Sentiasa melakukan yang lebih utama. Sikap kedua menjadikannya hidup bersistematik, berperancangan dan tahu perkara yang perlu diutamakan.

Ketiga-tiga tabiat ini apabila mantap dalam diri seseorang akan mengubahnya daripada tahap dependent kepada indipendent atau daripada dipengaruhi oleh persekitaran, orang lain, sejarah lampau kepada bebas, merdeka dan memilih sendiri apakah yang terbaik berasaskan kebijaksanaan.

Tabiat keempat sehingga keenam adalah tabiat hidup interdependent atau tabiat orang yang berjaya dalam kerja berpasukan atau dalam amal jamaie.

4. Tabiat keempat adalah memiliki pemikiran menang-menang. Ada orang mempunyai tabiat dia menang, orang lain kalah dan ada yang bersikap mengalah dan orang lain menang.

Tabiat menang-menang adalah natijah daripada seseorang yang mampu mengawal perasaan marah atau takut, memiliki pemikiran yang terbuka, matang dan dewasa yang menjadikannya mampu membuat penilaian wajar. Tabiat ini membuka pintu perbincangan kepada pihak satu lagi dan memilih jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak atau mencadangkan alternatif ketiga yang tidak merugikan.

5. Untuk memastikan keadaan sesutu keputusan berdasarkan keadaan menang-menang seseorang itu perlu memiliki tabiat kelima iaitu sentiasa terlebih dahulu cuba memahami orang lain sebelum meminta difahami.

Sikap ini akan membuka ruang supaya terlebih dahulu mendengar dengan terang, ikhlas, terbuka dan tidak bersikap menilai dan menghukum. Melalui skil komunikasi yang baik akan membuahkan kepercayaan pihak yang berbincang terhadap kredibilitinya untuk berbincang bagi mencari kata sepakat.

6. Keselarasan dan keserasian dalam kerja berpasukan. Ia lahir apabila semua tabiat satu sehingga lima dimiliki. Tabiat ini adalah punca daripada kebijaksanaan, memiliki daya kreativiti yang baik semangat kerja berpasukan dan menghormati setiap perbezaan pendapat. Mengiktiraf perbezaan, menerima dan memanfaatkannya adalah kekuatan kerana interdependent adalah gabungan independent. Seorang yang bersikap dependent akan bergantung kepada mereka yang bersikap independent dan membebankan bukan menambahkan synergy.

7. Sikap ketujuah ialah sentiasa memantapkan aspek-aspek kejiwaan, mental dan fizikal bagi meningkatkan keenam-enam tabiat tadi.

8. Tabiat kelapan ialah sentiasa mendidik orang lain untuk memiliki 7 tabiat ini bagi memantapkannya dalam diri mereka.

Inilah akhlak yang mantap yang lahir melalui proses yang berterusan menuntut seseorang itu berilmu, memiliki perencanaan dan sistem hidup yang teratur, memelihara masa, mampu berusaha dan berdikari dan melawan hawa nafsu . Kesemuanya ini menjadikannya seorang yang bermanfaat kepada masyarakat dan agama.

Categories: Tasawwur Islami
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: