Archive

Archive for the ‘Usul Fiqh’ Category

Fiqh Tahaluf Siasi Dalam Ikhwan

August 8, 2011 3 comments

Perbincangan mengenai hukum bertahaluf telah saya lalui dalam usrah sejak tahun 90an lagi semasa saya masih belajar di Mesir. Risalah yang digunakan oleh naqib ketika itu ialah risalah “Jima’ al-Siyasat”. Petikan daripada risalah tersebut telah saya muatkan dalam buku susunan saya yang bertajuk “ Siasah Syariyyah Dalam Harakah Islamiyyah” yang diterbitkan pada tahun 2000.

Perbincangan mengenai Tahaluf adalah sebahagian daripada tajuk berkenaan siasah luaran sebuah gerakan Islam dalam menentukan polisi hubungan luarnya dengan organisasi atau kerajaan yang tidak melaksanakan Islam atau organisasi yang memusuhi Islam dan agenda perjuangan Islam.

Abu Ammar dalam bukunya al-Masar menggariskan bahawa ahli gerakan Islam perlu dididik dengan ilmu siasah sejak langkah pertama mereka dalam gerakan Islam dan beliau membahagikan siasah syariyyah dalam gerakan Islam kepada siasah dalaman, siasah pendidikan dan siasah luaran. Read more…

Mempelajari Usul Fiqh Wajib Keatas Pimpinan Harakah Islam?

February 24, 2010 7 comments

Saya baru sahaja mula membaca buku syaikh Muhammad Ahmad al-Rasyid : ”Usul al-Ifta’ wa al-Ijtihad al-Tatbiqi, Fi Nazariah Fiqh al-Dakwah al-Islamiyyah”.

( Asas-asas membuat fatwa dan ijtihad untuk melaksanakan sesuatu, dalam Teori Fiqh Dakwah Islam)

Buku ini mengandungi empat jilid dan setiap jilid setebal 400 hingga 500 mukasurat lebih . Gaya bahasa dan uslubnya sama sahaja sebagaimana buku-bukunya yang terdahulu; banyak menukilkan fiqh-fiqh salaf dan menyambungkannya dengan generasi duah hari ini.

Syaikh Abu Ammar menegaskan bahawa buku ini hanya ditulis khusus kepada generasi pendakwah yang benar-benar menggelegak jiwa mereka menahan kesedihan terhadap realiti umat Islam hari ini. Malah beliau menyatakan ia adalah sambungan terhadap siri penulisannya dalam siri `Ihya’ Fiqh Dakwah’ dalam erti kata pembaca perlu memahami buku-bukunya yang terdahulu seperti ; al-Muntalaq, al-Awaiq, al-Raqaiq, al-Bawariq, al-Masar dan Manhajiah al-Tarbiyyah al-Dakwaiyyah bagi memudahkan pembaca memahami penulisannya dalam buku ini.

Read more…

Categories: Usul Fiqh

Maqasid al-Syari’

January 13, 2008 1 comment

Perkataan `maqasid’ adalah kata plural kepada perkataan `maqsad’. `Qasd’ bermaksud tujuan, tumpuan sesuatu dalam setiap perbuatan. Niat dalam bahasa Melayu adalah tujuan atau objektif. Dalam kitab fekah disebut sebagai tujuan sesuatu yang disertakan dalam setiap perbuatan.

Perkataan ‘al-Syari’ ‘ adalah kata nama kepada perkataan Syara`a. yang bermaksud Pensyariat. Syariat asalnya bermaksud sumber air dan juga sistem hidup. Tanpa air semua makhluk tidak akan hidup begitu juga tanpa Syariat Allah kehidupan manusia di dunia ini akan porak peranda.

`Maqasid al-Syari’ bermaksud objektif-objektif Allah sebagai Pensyariat ketika Allah mensyariatkan sistem hidup untuk manusia di dalam al-Quran. Allah juga mahu manusia membetulkan niat dan tujuan amalan mereka agar selari dengan maqasid Allah.

Allah menegaskan bahawa tidak ada satupun ciptaannya yang diciptakan dengan sia-sia dan tanpa tujuan. Dalam aqidah Islam, Allah bersifat Suci dan Qudus sebaliknya melakukan sesuatu tanpa tujuan adalah sifat kelemahan dan merupakan sesuatu yang mustahil bagi Allah SWT.

Allah menegaskan bahawa tujuan manusia diciptakan adalah untuk menjadi hamba kepadaNya dengan perhambaan yang tulus ikhlas. Allah menurunkan manusia hidup di bumi supaya manusia melaksanakan peranan sebagai KhalifahNya dalam mentadbir dan memakmurkan dunia ini.

Allah mengutuskan al-Rasul supaya menyeru manusia mentauhidkan Allah, membacakan kepada manusia ayat-ayatnya, membersihkan diri manusia daripada aqidah syirik dan khurafat, membersihkan jiwa manusia daripada sifat-sifat tercela dan mendidik mereka memiliki sifat-sifat terpuji, menjadi qudwah kepada manusia, memberi peringatan dengan balasan syurga atau neraka.

Allah mentaklifkan al-Rasul supaya berusaha membuat perubahan dalam tamaddun manusia sehingga dunia seluruhnya menikmati ke Rahmatan dan kedamaian. Allah membimbing al-Rasul dalam melaksanakan peranannya supaya menjadi sunnah, qudwah dan ikutan umat-nya dalam meneruskan usaha beramal bagi merealisasikan maqasid al-Syari’ yang telah diSyariatkan kepada manusia.

Allah menurunkan al-Kitab bertujuan menjadi panduan dan petunjuk kehidupan manusia. Allah menceritakan sejarah asal usul mereka, memperkenalkan kepada mereka musuh-musuh mereka daripada keturunan Jin dan manusia, sejarah perjuangan manusia sejak zaman Adam a.s. hingga zaman nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan realiti perjuangan hingga hari kiamat. Allah membongkar rahsia kelemahan yang terdapat di dalam diri manusia dan cara bagaimana manusia akan dapat menyelamatkan diri daripada kelemahan dirinya dan menjadi manusia unggul sebagaimana keunggulan ashab al-kahfi, ghulam di zaman ashab al-ukhdud dan keunggulan generasi sahabat yang terdahulu yang diredai Allah. Allah juga mendedahkan perasaan musuh-musuh agamaNya, usaha-usaha mereka, tipu-helah mereka, strategi mereka dan sikap mereka kepada orang-orang yang beriman supaya umat Islam mengenali musuh mereka dan tahu cara untuk berinteraksi dengan mereka.

Setiap perbuatan Allah ada tujuannya, ada rahsia dan hikmahnya. Malah setiap huruf yang digunakan dalam al quran setiap surah yang diturunkan, setiap perkara yang di dahulukan dan di ta’khirkan. Hikmah dan tujuan ini ada yang dinyatakan dan ada yang tidak dinyatakan secara jelas tetapi dapat difahami oleh orang-orang yang dibukakan pintu hatinya untuk memahami.

Apabila dalam surah yang pertama yang diturunkan kepada nabi s.a.w. iaitu surah al-`Alaq, Allah perintahkan nabi memulakan bacaannya dengan Bismillah. ” Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan”.. Lalu Allah mulakan surah al-Fatihah, permulaan al-Quran dengan Bismillah. Rasulullah s.a.w. pun akan memulakan semua perbuatannya dengan bimisllah dan doa. Rasulullah juga menggalakkan umatnya memulakan seluruh perbuatannya dangan membaca bismillah. Tujuannya supaya setiap saat manusia mengiktiraf dirinya adalah hamba Allah yang hanya akan mentaati Allah dalam setiap detik kehidupannya. Muraqabatullah adalah asas ubudiyyah.

Dalam ayat kedua Surah al-Fatihah Allah memulakan dengan ” al-Hamdulillahi Rabbil `alamin”.  Puji-Pujian hanyalah milik Allah, Allah sahaja Tuhan yang sempurna, yang mengetahui, yang kaya. Manusia makhluk yang lemah, jahil, tidak memiliki apa-apa dan tidak berhak dipuji dan mendapat pujian.

Tujuannya supaya manusia menyedari hakikat Rububiyyah, Uluhiyyah dan Mulkiah Allah. Juga supaya manusia menyedari bahawa sebijkamana sekalipun manusia itu, sekaya manapun dia dan segagah manapun dia, manusia tetap makhluk ciptaan Allah yang tidak ada apa-apa daya. Manusia tidak perlu menunjuk-nunjuk sesama manusia, merasai takjub terhadap kelebihan dirinya, merasa takbur, memandang tinggi manusia lain ataupun memandang hina kepada mereka; kerana manusia di sisi Allah adalah sama sahaja melainkan orang-orang yang bertakwa.

Apabila seseorang yang beriman melihat kemungkaran dia akan berusaha mengubahnya sama ada dengan kuasa, teguran atau kebencian yang dilahirkan. Setinggi-tinggi darjat keimanan adalah mengatakan kebenaran walaupun memalukan dirinya. Kerana dia tahu manusia adalah makhluk yang lemah dan sentiasa membuat kesilapan. Tidak timbul dalam dirinya perasaan takut untuk berterus-terang, takut kelemahannya diketahui orang, takut pendapatnya salah atau kurang tepat dan sebagainya yang menghalang dia bercakap apa yang disangkanya benar. Sebagai manusia dia amat sedar manusia lain sepertinya juga pernah membuat kesilapan. Dalam Islam bukanlah keaiban melakukan kesilapan tetapi keaiban adalah orang yang tidak mengiktiraf kesilapannya dan tidak bertaubat.

Mengiktiraf hanya Allah yang sempurna dan berhak dipuji menimbulkan perasaan merendah diri sesama  manusia dan mengiktiraf pendapat dan hak-hak mereka. Lantaran itu rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya agar membudayakan meminta izin dalam setiap komunikasi mereka. Memintan izin untuk masuk kerumah dengan memberi salam, meminta izin untuk mencelah percakapan, meminta izin untuk duduk di antara dua orang, meminta izin untuk memberi pendapat dan meminta izin untuk keluar daripada majlis.

Sikap takbur merupakan punca segala kekotoran hati. Sikap merendah diri merupakan asas membersihkan diri daripada takbur. Oleh itu adalah menjadi amalan sunat untuk kita memperbanyakkan berzikir dengan tasbih, tahmid dan takbir supaya hakikat keagungan Allah itu meresap ke dalam urat nadi kita dan hilang rasa takbur, riya dan ujub dalam diri atau rasa terlalu rendah diri kepada manusia lain yang menjadikan kita hamba kepada manusia. Rasulullah s.a.w. tahu dengan kita mengulangi kata-kata posistif dalam hidup kita kebaikan akan menjadi tabiat hidup kita. Rasulullah s.a.w. juga melarang kita menganggap sesuatu itu membawa sial tetapi memerintah kita bersangka baik. Bersangka baik terhadap diri sendiri asas perubahan diri.

Anthony Robin menasihatkan audiennya agar mengulangi kata-kata positif setiap pagi supaya sifat positif itu menjadi tabiat kehidupan yang memandu kepada kejayaan. Kalau seseorang itu rasa takut, tidak boleh melakukan sesuatu, tidak yakin, rendah diri dan sebagainya hendaklah diulang-ulangkan sehingga seratus kali. ” Aku boleh!”, “Aku hebat!”, ” Aku berani !” ” Aku berdisiplin !” ” Aku berjaya !”.

Ini adalah sebahagian rahsia penciptaan akal atau minda dalam diri manusia.

Categories: Usul Fiqh

Definasi Fiqh al-Waqie.

December 24, 2007 2 comments

Fiqh al-Waqie adalah gabungan dua suku kata yang menjadikannya satu Istilah iaitu perkataan fiqh dan waqie. Perkataan Fiqh pada bahasa bererti faham dan waqie bermakna realiti. Maka maksudnya pada bahasa ialah memahami realiti.

Perkataan Fiqh atau faqeh dalam pemakaian ulama Usul Fiqh bukan sekadar memahami sesuatu perkara atau hukum secara mudah dan tanpa membuat analisa seperti memahami air boleh menghilangkan dahaga tetapi istilah fiqh atau faqeh di sisi ulama ialah kefahaman mendalam yang berasaskan kepada metodologi ijtihad. Ia adalah kesimpulan dan keputusan  yang lahir daripada usaha yang bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para ulama bagi memahami sesuatu perkara daripada dalil-dalil, atau petunjuknya yang terperinci secara kritis dan analisis.

Oleh itu Fiqh al-Waqie bermaksud memahami realiti atau hakikat sebenar sesuatu perkara setelah diteliti dengan terperinci.

Fiqh al-Waqie berkaitan rapat dengan Fiqh al-Maqasid, Fiqh al-Muwazanat dan Fiqh al-Awlawiyat.

Fiqh al-Maqasid ialah memahami objektif-objektif Syarak sama ada objektif umum Syariat Islam atau objektif khusus sesuatu hukum. Imam al-Syatibi berkata seseorang itu tidak layak digelar mujtahid sehingga beliau memahami maqasid Syarak.

Fiqh al-Muwazanat ialah memahami asas bagaimana membuat pertimbangan dalam menentukan Fiqh al-Awlawiyat.

Fiqh al-Awlawiyat ialah memahami keutamaan sesuatu perkara di dalam Syarak.

Allah menurunkan al-Quran sebagai hidayah kepada manusia. Di dalam al-Quran terdapat Syariat yang wajib dilaksanakan. Syariat ini diperundangkan sebagai satu metod agar terlaksana objektif-objektif Allah mencipta dan menurunkan manusia ke muka bumi ini. Namun bagi merealisasikan objektif Syarak Allah memwajibkan manusia berusaha dengan menggunakan segala kekuatan yang ada untuk melaksanakannya dengan mengambil-kira realiti kekuatan, kelemahan, cabaran dan peluang yang sedia ada.

Oleh kerana objektif Syarak terlalu banyak manusia perlu memahami apakah yang perlu diutamakan dan apakah yang perlu dita’khirkan . Inilah di namakan fiqh al-awlawiyat dan fiqh al-awlawiyat ditentukan berasaskan fiqh al-muwazanat.

Categories: Usul Fiqh

Fiqh al-Waqie Bukan Bid`ah.

December 15, 2007 2 comments

Muqaddimah.

Antara ciri Syariat Islam ialah waqieyyah atau realistik.

Firman Allah S.W.T

 لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا  إِلاَّ وُسْعَهَا  

“Allah tidak mentaklifkan seseorang manusia melainkan sesuatu yang di dalam kemampuannya”

Ayat ini memberi maksud bahawa Allah hanya mentaklifkan sesuatu tanggungjawab kepada manusia perkara yang mampu dilakukan oleh mereka secara asasnya.Jika ada hukum-hakam yang tidak mampu dilakukan oleh manusia Syariat memberi rukhsah dan keringanan dalam melaksanakannya mengikut kemampuan mereka.

Contohnya; diharuskan bertayammum menggantikan wudu’ jika sakit atau tidak mempunyai air yang mencukupi. Boleh melakukan solat sambil duduk atau berbaring jika tidak mampu berdiri. Tidak diwajibkan berpuasa jika sakit atau bermusafir. Tidak diwajibkan menunaikan zakat dan haji jika tidak mempunyai kemampuan harta.Meraikan realiti manusia adalah menunjukkan Syariat Islam Manhaj yang realistik atau waqieyyah.

Waqieyyah adalah manhaj Allah dalam mendidik, merubah dan mentaklif manusia.Ketika Allah mendidik manusia, menegur sikap manusia, membetulkan akhlak manusia, mentaklifkan hukum-hakam, Allah S.W.T. sentiasa meraikan realiti kemampuan dan keperluan manusia.

Allah mendahului mendidik asas-asas keimanan sebelum mentaklifkan hukum-hukum ibadah dan jihad peperangan.Allah bukan sahaja memenuhkan minda manusia dengan kepercayaan tetapi membangkitkan emosi agar merasa takut dan bimbang terhadap kegagalan di hari perbicaraan pada hari akhirat tetapi manusia juga dibangkitkan dengan perasaan inginkan kenikmatan syurga yang terlalu indah.

Inilah realiti manusia; mempunyai minda dan emosi yang mendorong tindakan. Allah yang mengetahui hakikat realiti makhluk ciptaannya ini lalu Allah mengisi minda manusia dengan hakikat-hakikat keimanan dan mendorong emosi manusia agar takutkan neraka dan inginkan syurga. Setelah 13 tahun manusia dipersiapkan dengan asas-asas keperibadian unggul barulah mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas Syarak yang lebih berat termasuk berjihad mengorbankan harta dan jiwa raga.

Pakar-pakar motivasi moden memahami bahawa tindakan manusia di dorong oleh emosi mereka dan emosi lahir berdasarkan apa yang mereka percayai sama ada kepercayaan itu betul ataupun salah. Jika manusia percaya ditanah perkuburan ada hantu dan hantu boleh menyakiti mereka maka manusia akan takut melalui ditanah perkuburan terutamanya pada malam hari. Sebaliknya jika mereka tidak percaya hantu boleh menyakiti fizikal mereka maupun emosi mereka tidak takut untuk tinggal ditepi tanah perkuburan.

Allah yang mengetahui tentang realiti dan tabiat manusia ciptaannya memulakan aktiviti merubah mereka dengan mengubah minda dan kepercayaan mereka melalui ayat-ayat Makkiah yang sarat dengan aspek keimanan dan kefahaman sebenar terhadap seluruh hakikat kuwujudan ini.

Kefahaman dan keimanan mengenai Syurga dan Neraka menimbulkan perasaan takut kepada kesakitan neraka dan inginkan kenikmatan syurga. Perasaan ini merupakan perasaan asas yang menolak manusia untuk beramal. Kefahaman yang sebenar terhadap hakikat Rububiyyah Allah S.W.T. akan melahirkan rasa terhutang budi dalam diri manusia dan perasaan ini menjadikan manusia ingin bersyukur. Apabila manusia sering berbicara dan meluahkan segala perasaannya kepada Allah dan mengiktiraf seluruh nikmat kurniaan Allah kepadanya akan lahirlah perasaan reda dan kasih kepada Allah. Perasaan cinta merupakan puncak kekuatan yang mendorong manusia membuat pengorbanan untuk agama Allah.

Inilah sebahagian contoh Syariat Islam memiliki ciri realistik. Apabila gerakan Islam meletakkan Fiqh al-Waqie sebagai sebahagian asas ijithad mereka dalam menentukan siasah harakah Islamiyyah maka ia bukan suatu perkara bid`ah yang diada-adakan pada masa kini.

Categories: Tasawwur Islami, Usul Fiqh
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,735 other followers