Archive for the ‘Rohaniyat’ Category

Sedar …

 Dihujung Ramadan lalu aku dikejutkan beberapa soalan. “ Apakah aku benar-benar sudah memiliki keikhlasan hakiki”.?  Apakah amal-amal aku selama ini lahir daripada hakikat penyerahan yang bulat kepada Allah? Apakah aku benar-benar menjadikan al-Quran sebagai Petunjuk?  

Ketika Allah mengatakan bahawa ; “sama sahaja kepada mereka, sama ada engkau beri peringatan ataupun tidak mereka tidak akan beriman”.  Bagaimanakan perasaan aku? Apakah ayat itu tidak ditujukan kepada aku? Apakah aku tidak perlu bimbang kalau-kalau itulah hakikat diri aku.  

Bagaimana pula dengan firman Allah : “ dan ada dikalangan manusia yang berkata kami telah beriman kepada Allah dan hari akhirat sedangkan mereka tidak beriman”.  Apakah aku sudah terselamat?. Apakah apa yang aku imani, apa yang aku hayati, apa yang aku utamakan, apa yang aku lakukan masih selari dengan ad din yang dihayati oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat bersamanya dan tidak terseleweng?  Benarkah dakwaan aku? Benarkah aku meletakkan hati aku benar-benar sebagai seorang hamba suruhan dihadapan firman-firman Allah? Sudahkah aku membuka dada aku, mengosongkannya daripada sifat-sifat ujub, takabbur dan riya’ dan mengisi dengan cahaya kebenaran yang diturunkan Allah di dalam al-Quran?  
Read more »

Memahami solat..

Solat…

 

Solat adalah doa. Doa adalah pengiktirafan kelemahan diri kepada Allah Pencipta alam ini, Penyusun dan Pentadbirnya. Tidak sah solat tanpa wuduk, tanpa menutup aurat, tanpa mengadap qiblat dan sebagainya.

 

Wuduk adalah pembersihan diri daripada dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hari. Dosa mata,lidah, hidung, telinga, tangan, kaki dan akal fikiran. Dengan berwuduk dengan sempurna dan penuh keinsafan terhadap dosa-dosa seharian dan memohon keampunan Allah terhadapnya akan dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam.

 

Pakaian adalah lambang keperibadian. Menutup aurat dengan sempurna adalah lambang ketulusan ketaatan kepada Allah dan menolak ketaatan kepada hawa nafsu. Tidak akan sempurna solat tanpa membebaskan diri daripada perhambaan kepada selain Allah.

 

Kesatuan qiblat mengingatkan kita kesatuan matlamat hidup, kesatuan aqidah, kesatuan sumber rujukan dan kesatuan ikutan.

Read more »

Selamat Tinggal Ramadhan

Allah Maha Mengetahui tentang manusia ciptaanNya. Punya akal, ruh, hati, nafsu dan jasad. 4 daripada 5 komponen ini adalah unsur-unsur kerohanian dan hanya 1/5 unsur jisim. Sudah pasti 4 perkara ini mempengaruhi kestabilan dan kualiti diri manusia.

Akal fikiran di besarkan dengan ilmu dan berfikir. Semakin bertambah ilmu maklumat semakin seimbang keperibadian diri manusia. Ruh pula merupakan rahsia Allah yang hanya Dia mengetahui rahsianya. Ia akan sihat dan tenang apabila kita sentiasa mengingati Allah dan mematuhi segala perintah Allah. Sebaliknya ia akan sakit apabila terputus hubungan dengan Allah atau mendurhakainya.

Bulan Ramadhan adalah bulan memperbaiki kelemahan diri dengan meningkatkan ilmu melalui mengkaji al-Quran, melawan nafsu dengan berpuasa dan mempertingkatkan darjat kerohanian dengan melakukan pelbagai ibadah kepada Allah; puasa, zikir, doa, solat sunat tarawikh, solat qiam dan zakat fitrah. Ramadhan tamat dengan solat Aidul Fitri, memuji dan takbir membesarkan Allah, kunjung mengunjung mengucapkan tahniah sesama muslimin dan menyetakan azam meneruskan amalan Ramadhan dihari-hari berikutnya.

Ramadhan adalah madrasah takwa, bulan ukhuwwah, bulan mujahadah, bulan beribadah, bulan bermuhasabah, bulan tazkiyyah dan tarbiyyah rohaniyyah. Bulan membersihkan jiwa dan bulan menambahkan bekalan takwa. Bulan hidangan Rabbani untuk hamba-hamba yang memiliki kesedaran.

Syukur kepada Allah kerana memberikan peluang kepada kita kali ini semoga bertemu kembali ditahun hadapan. Selamat tinggal Ramadhan, aku pasti merindui kasihmu.

Merdekakah kita..?

” Seorang yang merdeka adalah, mereka yang meraikan kasih sayang yang diterima walau sedetik dan menghormati seorang yang mengajarnya walau satu lafaz”. Al-Syafie.

” Saudaraku, kamu bebas disebalik benteng besi

kamu bebas dari semua ikatan

jika kamu bagun dan bergantung kepada Allah

apakah akan dapat memudaratkan kamu tipu helah seorang hamba…?” Syed Qutb.

” Orang yang tertawan adalah mereka yang menjadi tawanan hawa nafsunya”.

 

 

 

Mengisi Kemenangan.

          

بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُم هُوَ الَّذِي

يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ

 وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ

 وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُلَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ 

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakankepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkanmereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkanmereka Kitab Allah (Al-Quran)dan Hikmah(pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.  

Surah Al-Jumu’ah [62:2]   

 Ayat di atas menjelaskan tiga peranan nabi s.a.w.: 

1. Membacakan ayat-ayat al-Quran kepada umat manusia.

2. Mentazkiyyahkan minda dan jiwa orang-orang yang memeluk Islam daripada pemikiran khurafat dan akhlak terkeji.

3. Mengajar hukum-hakam dalam al-Quran dan menjelaskan maksud-maksudnya secara lisan dan amal. 

Tiga perkara ini diterjemahkan dalam bentuk amali melalui perjumpaan-perjumpaan membaca dan mengkaji al-Quran, perjumpaan beribadah ditengah malam, rehlah ibadah di lereng-lereng bukit Mekah sehinggalah bersolat berjamaah di hadapan Ka’bah. 

Aktiviti ini telah megubah sahabat-sahabat Nabi dari golongan Arab daripada jahiliyyah kepada Islam, mengubah matlamat hidup, neraca fikir, adat resam, budaya hidup, aktiviti kehidupan dan keutamaannya sehingga mereka menjadi individu yang unggul yang pernah di lahirkan melalui proses perubahan manusia dan ketamadunannya. 

Mengkhatamkan al-Quran dalam masa seminggu adalah budaya para sahabat r.a., berqiamullail mejadi amalan sehingga di medan peperangan. Semasa peperintahan Umar Ibnu Aziz, masyarakat sibuk bertanya sesama sendiri ..”Sudahkah saudara mengkahatam al-Quran..?” Di zaman pemerintahan Salahuddin al-Ayubi, dunia Islam kembali disatukan dibawah pemerintahan Khalifah dan masyarakatnya teruttama barisan tentera dibudayakan dengan tilawah al-Quran, berpuasa sunnat dan berqiamullalil.

Untuk mengisi kemenangan ini, kerajaan-kerajaan yang diperintah oleh Umat Islam perlu kembali mendidik masyarakat agar mencintai al-Quran dan membacanya pagi dan petang sehingga membaca al-Quran kembali menjadi budaya.

Pemikiran ummah perlulah di isi dengan ilmu-ilmu Islam secara tersusun terutamanya melalui mempelajari tafsir al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. Jiwa mereka perlu dibersihkan daripada kelemahan dan kekotoran melalui program-program Ibadah seperti qiamullail, tilawah al-Quran, zikrullah, puasa sunnat dan bersedakah. 

Seterusnya umat Islam perlu didedahkan dengan hukum-hakam dan peraturan hidup sebagai seorang individu, hukum-hakam kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan termasuk dakwah dan jihad. 

Semua aktiviti ini dilaksanakan melalui sistem pendidikan, program-program dakwah dan tarbiah melalui institusi-institusi kerajaan; sekolah, masjid dan surau dengan menyediakan dana secukupnya termasuk melalui pertubuhan-pertubuhan Islam. 

Apabila ummah diberikan hak-hak ini secara menyeluruh diharapkan akan berlaku anjakan perubahan kepada identiti ummah pada masa depan.

” UMAT HARI INI TIDAK MUNGKIN DAPAT DIPERBAIKI, MELAINKAN DENGAN CARA UMAT TERDAHULU DIPERBAIKI” Imam al-Banna 

Hidayah

Surah yang pertama mengikut susunan al-Quran adalah surah al-Fatihah. Membaca surah ini merupakan satu rukun di dalam solat yang wajib dibaca setiap kali umat Islam mengerjakan solat. Di dalam ayat yang terakhir kita sentiasa berdoa agar Allah menunjukkan kepada kita jalan yang lurus. ” Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus”.

Dalam surah yang kedua Allah menjawab maksudnya : ” Alif Laam Miim… Inilah al-Kitab yang tiada keraguan padanya menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa”.

 Adakah mereka yang meminta agar diberikan Allah kepadanya petunjuk benar-benar membuka al-Quran, membaca, merenung dan memahami petunjuk-petunjuk daripada Allah ini.

Apakah petunjuk itu hanya untuk orang-orang yang bertakwa sahaja, maka dia tidak perlu menjadikan al-Quran sebagai petunjuk jalan kehidupannya.

Atau : ” Sama sahaja kepada mereka sama ada kamu beri peringatan kepada mereka atau tidak, mereka tidak akan percaya”..

Samakah watak umat Islam hari ini dengan sikap salaf terhadap al-Quran? Apakah mereka merasa selesa dengan sikap mereka? Bagaimanakah mereka ingin melalui siratul mustaqim di akhirat jika mereka di dunia ini tidak pernah berniat menjadikan al-Quran sebagai sumber kehidupannya dan jalan hidupnya.

Tahu ..tetapi

Kali ini saya ingin mengajak saudara saudari berfikir sejenak mengenai sikap kita yang selalunya berkata: “Saya tahu itu dosa tetapi saya tetap melakukannya”. ” Saya tahu perkara ini baik tetapi….”, “saya tahu saya perlu… tetapi” Persoalannya kenapa masih wujud perkataan tetapi dalam kamus hidup kita apabila akal kita secara waras telah menghukumkan sesuatu itu perlu, baik, bahaya dan sebagainya tetapi tindakan kita tetap sebaliknya.

 Kenapakah begitu sering terjadi?

lihat di sini pula http://excel4attitude.wordpress.com/

Perutusan `Aidil Fitri

Saya memanjatkan Syukur kepada Rab yang melimpah dan tidak terhitung kurniaan rezkiNya, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Salam sejahtera ke atas pimpinan dan qudwah kita nabi Muhammad, sekelian para sahabat yang telah berjuang dan meninggalkan kepada kita manhaj hidup yang jelas seterang matahari siang dan tidak lupa kepada sekelian mujahidin yang telah menunaikan janji mereka dan yang masih dalam perjalanan menuju kepada Allah.

Tarbiah Rabbani di musim Ramadan telah berlalu, sebagaimana berlalunya musim-musim lain juga dalam perjalanan hidup kita, namun tarbiah berjihad dan beramal akan sentiasa menunggu kita pada hari dan saat berikutnya sehingga kita tiba dihujung waktu yang telah diperuntukkan kepada kita. Ada dikalangan kita yang berjaya sampai kegarisan penamat dan mendapat keredaan Allah dan ada yang masih berada di fasa-fasa awal perjalanan tetapi masa yang diperuntukkan kepadanya sudah tamat.

Amat malang lagi ada dikalangan manusia yang sepatutnya menggunakan peruntukan masa yang diberikan kepadanya untuk bermusafir kepada Allah tetapi digunakan untuk bersiar-siar di taman persinggahan ini, leka dan takjub dengan keindahannya, bermain-main dan bergurau senda , membuang masa menikmati segala yang sememangnya adalah perangkap dan tipu daya. Dia merasa aman, selamat seolah-olah masanya untuknya terlalu mewah sehinggalah masa yang diberikan kepadanya tamat. Masanya dihabiskan untuk rumah, kereta, teman-teman untuk bersuka selebihnya digunakan untuk membuat aktiviti rutin sebagai hamba barang beberapa minit dengan solat dan sujud yang hambar.

Lebih malang lagi mereka yang tidak tahupun bahawa kita sebagai umat Islam yang telah bersyahadah dengan Allah perlu beramal, berjihad, berkorban untuk menunaikan amanah Allah dan merealisasikan objektif manusia diciptakan dan diturunkan ke dunia ini. Sudahlah diri dan jiwa raganya tidak dibawa bermusafir untuk bertemu Allah dengan hati yang sejahtera; anak-anak, isteri dan masyarakat yang memerlukan bimbingannyapun dibiarkan begitu sahaja.

Kalau kerja-kerja di ofis kita ; ada objektif tahunan, objektif bulanan, objektif mingguan, objektif harian, objektif pagi dan petang, objektif setiap 45 minit apakah patut kerja-kerja untuk menyelamatkan ummah, membina kembali pemerintahan sistem khalifah yang telah diruntuhkan oleh Yahudi kita pakai hentam saja.

Kalau kerja-kerja di pejabat kita selalu ikut kursus “team building”, “team work” dan kita ikut saja manual kerja yang disediakan apakah patut kerja-kerja untuk mengembalikan kegemilangan Islam kita buat sendiri-sendiri, tidak berfasa, tidak saling melengkapi.

Kenapa kita jadi begitu? Sebab dipejabat semua manual dan sistem sudah siap. Kita hanya perlu belajar bagaimana untuk mengaplikasikannya sahaja tetapi manual kerja-kerja Islam kita kena buat sendiri, kita kena baca al-Quran, baca hadis nabi, lihat sejarah perjuangan nabi, lihat sikap-sikap sahabat dan keluarkan manual yang sesuai untuk kita aplikasikan pada masa ini.

Umat Islam sudah lama tertipu, sistem yang mereka laksanakan sepanjang hayat mereka bukan sistem yang dihasilkan daripada pemerhatian ini tetapi adalah ciptaan barat yang kufur dan memusuhi Islam. Mereka sangka kerja mereka adalah ibadah yang syumul tetapi mereka tidak sedar mereka hanya menjadi alat untuk merealisasikan perancangan yang telah disiapkan oleh musuh-msuh Islam.

Mereka sangka dengan menjadi pensyarah, guru sekolah, guru-guru takmir masjid dan surau mereka sudah berada di atas jalan yang lurus dalam merealisasikan objektif Allah mencipta mereka. Sedarlah ! belum lagi dan tidak lagi di atas sirat al-mustaqim kalau sekadar itu usaha mereka.

Apakah objektif seluruh sistem tersebut untuk melahirkan mujahid, amilin, pendakwah yang melaksanakan amanah Allah. Bukankah jalan yang lurus itu jalan para nabi, siddiqin, syuhada dan salihin.? Lihatlah berapa ramai anak bangsa kita yang tamat pengajian mereka selama 14 tahun, habis berpuluh ribu wang dibelanjakan untuk mendidik setiap mereka tidak termasuk kos bangunan dan fasiliti tetapi tidak tahu membuat kerja hatta untuk menyara diri sendiri, inikan untuk menjadi pewaris nabi, golongan siddiqin, pejuang-pejuang yang mencintakan syahid ataupun sekurang-kurangnya menjadi ahli ibadah yang soleh

Jadi berapa jamkah sehari kita peruntukan masa kita untuk merealisasikan matlamat dakwah dan berapa jam pula kita menjadi alat kepada sistem yang dicipta oleh jahiliah.?

Allah berfirman yang bermaksud : ” Katakanlah ( Wahai Muhammad) , sekiranya kamu cintakan Allah ikutlah aku nescaya kamu akan dikasihi Allah”.

 Tidak sempurna kita mengikut nabi kalau kita tidak tahu apakah cita-cita, matlamat, perasaan, strategi, plan dan aktiviti yang dilakukan oleh nabi selama hayat baginda. Kita hanya akan berjaya mencapai matlamat perjuangan sebagaimana baginda berjaya sehinggalah kita semua menduplikasi setiap saat kehidupan nabi dalam kehidupan kita hari ini. Ketika itu barulah benar-benar kita berada di atas siratul mustaqim di dunia ini dan kita akan selamat melalui siratul mustaqim di akhirat

Tidak sempurna amal kita jika bersendirian. Carilah sahabat-sahabat yang faham cara beramal. Sertailah mereka dan hulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh mereka. Kalau tidakpun sudilah bersama-sama kami dalam ISMA.

 Wassalamu`alaikum.

KP ISMA DHL.

Gerhana Rohani Yang Mencelarukan.

vlcsnap-52683.png( Khas untuk mereka yang mewakafkan diri kepada Allah sebagai pejuang.) 

Rata-rata umat Islam tidak lagi bertanya saudaranya, berapakah al-quran yang telah dibaca, direnung, difikirkan, difahami, diukur dengan penerimaan hatinya dan penghayatan anggota pancainderanya. Mereka juga tidak lagi menasihati sesama mereka tentang anak-anak dan penghayatan agamanya; tentang iman, tentang akhlak dan perhambaan. Jauh selakali berbicara mengenai perjuangan yang perlu diperbetulkan. 

Apakah saudara dari golongan mereka? Jika saudara seorang muslim, saudara telah memiliki asas-asas iman dan fikrah perjuangan. Jika saudara pernah melalui jalan-jalan pentarbiahan saudara adalah pendakwah yang membawa fikrah. 

Apakah yang menghantui pemikiran dan hati saudara menjadikan saudara hilang matlamat, buntu untuk memulakan langkah pertama dan membiarkan fikrah yang terpendam di dalam fikiran itu di letak dalam bakup file selama-lamanya atau dizipkan.

Sedangkan jika fikrah itu dibisikkan sahaja ia akan mampu menggegarkan jiwa dan meretakkan cengkerang kufur yang menutup pintu hati saudara seagama yang telah lama terlupa dan cahaya kebenaran akan menerangi jiwanya, mengisi dahaga kekosongan rohani, menghidupkannya dan menggerakkannya untuk beramal .

Kecelaruan ini menjadikan ramai yang telah lama melalui celupan tarbiah cuba merenggangkan ikatan intima’ perlahan-lahan, sedikit-sedikit dan membawa langkah bersama arus semasa mengejar citi-cita sendiri atau sekurang-kurangnya bersikap tunggu, lihat dan buat sekadarnya. 

Kecelaruan ini juga menjadikan duah hanya menyusun program untuk mendakwa program sudah disusun dan dilaksanakan tetapi tidak memeriksa apakah program itu memenuhi matlamat sebenar kewujudan mereka dalam masyarakat. Semakin tua para duah semakin jauh mereka meresap di dalam sistem yang ada yang secara tabie menyisihkan mereka daripada sistem harakah kerana wujud pertembungan nyata dan bagi menyelesaikan keserbasalahan ini para duah menyendiri daripada matlamat harakah dan melonggarkan ikatan intima’ dengan pelbagai alasan. 

Kecelaruan ini juga melahirkan kekecewaan sesetengah duah, kehilangan siqqah, melemahkan taat dan akhirnya juga menyendiri dengan arus baru yang diyakini sama ada dengan nama-nama baru ataupun tidak bernama, sama ada dengan mendiamkan lidahnya atau dengan tohmahan dan takwil . 

Apapun kecelaruan yang wujud adalah akibat pentarbiayahan yang tidak matang. Akibat futur setelah berjuang. Akibat ada yang tersilap meletakkan amanah kepada bukan ahlinya. Akibat  para duah tidak sepakat dalam banyak perkara tetapi ia ditoleransikan kerana ada kebimbangan yang disangkakan. Akibat harakah yang sudah berhenti bergerak, berhenti mengagihkan kerja, berhenti memberi kepercayaan, akibat slogan-slogan lain yang tidak ditajarrudkan. Segala-galanya ini menjadikan harakah berhenti bergerak atau terlalu perlahan yang menjadikan duah mempunyai banyak masa kosong yang akhirnya di agihkan kesektor lain berasas ijtihad fardi.

Apabila pintu ijtihad dibuka luas maka banyaklah perbezaan pendapat dan amalan fardi dengan dakwaan berasaskan fikrah jamaah juga. 

Jika duah duduk seketika, membuang seluruh baju perisai yang dipakainya dan membuat muhasabah dengan penuh ikhlas bersoal jawab segala yang terbuku, tersalah faham dan mengemukakan ijtihad masing-masing untuk diperdebatkan secara terbuka dengan niat mencari kebenaran yang terbaik, dengan melihat asset yang ada, matlamat, kekuatan, kelemahan, peluang, meraikan uruf bersama, perkara yang sabit dan perkara yang berubah, keputusan-keputusan yang disepakati yang digazetkan dan segala-galanya maka gerhana ini in sya Allah akan berakhir.

Bertemasya di malam al-Qadar.

cakrawala.jpg

Di riwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-`As katanya: Aku mendengar rasulullah s.a.w bersabda: “ Allah telah menulis takdir-takdir seluruh makhluk sebelum diciptakan langit dan bumi selama 50 ribu tahun dan sabdanya dan `Arashnya berada di atas  air”. Riwayat Muslim.

 

Langit dan bumi diciptakan bersama takdir-takdir yang tertentu yang tidak akan berubah sehingga hari kiamat. Takdir ini merupakan sistem yang ditetapkan oleh Allah bagi menguruskan perjalanan alam ini. Sistem yang sungguh hebat, tersusun, teratur, harmoni dan saling melengkapi. malah setiap makhluak ada sistemnya tesendiri dan selari dengan sistem-sistem lain yang lebih besar.

 

Sistem matahari, sistem kehidupan dibumi, sistem dalam diri manusia, sistem saraf, sistem penghadaman, pernafasan, perkumuhan dan sebagainya adalah sistem yang ditakdirkan oleh Allah sejak sebelum alam diciptakan.

 

Inilah kehebatan ilmu Allah yang Maha Bijaksana. Malam al-Qadar ini lebih baik daripada seribu bulan. Padam malam ini di satu malam di malam-malam bulan Ramadan diturunkan al-Quran daripada Lauh al-Mahfuz kelangit dunia. Daripada langit dunia ini malaikat Jibril diperintahkan Allah menurunkannya kepada nabi s.a.w. beransur-ansur berdasarkan keperluan dakwah rasulullah s.a.w.

 

Malam penurunan al-Quran merupakan merupakan titik bersejarah dalam sejarah perubahan tamaddun manusia di akhir zaman ini. Perubahan nilai manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah. Ia merupakan satu pembebasan daripada belengu sistem ciptaan manusia menjadikan manusia memiliki kebebasan untuk menuntut ilmu, kebebasan berhijrah dan berpindah, kebebasan berusaha, kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, kebebasan memiliki harta hasil daripada usahanya sendiri. Kesemua nilai-nilai dan hak-hak kemanusiaan yang diperjuangkan Barat pada abad ke 18 sudah diiktiraf dan di dokong oleh al-Quran lebih seribu tahun.

 

Inilah malam bersejarah yang kembali memartabatkan kemuliaan manusia yang sudah sekian lama dihina oleh sebahagian manusia lain. Manusia yang diciptakan Allah, yang ditiupkan di dalam rongganya RuhNya, manusia yang diperintahkan oleh Allah akan malaikat untuk sujud menghormatinya, manusia yang dilantik menjadi khalifah di muka bumi, manusia yang dikurniakan akal dan ilmu, manusia yang diciptakan sekelian makhluk untuk berkhidmat kepadanya.

 

Dengan bimbingan Allah, dengan al-Quran, rasulullah s.a.w. berjaya meletakkan manusia dimartabat yang wajar sebagai hamba dan khalifah Allah di dunia ini setelah sekian lama memperhambakan diri kepada nafsu, manusia dan iblis.Namun apabila manusia lupa sejarah ini mereka kini ditertawakan olah iblis dan kuncu-kuncunya.

 

Pada malam ini setiap tahun dijadikan malam bertemasya, dimana seluruh malaikat termasuk malaikat Jibril turun kebumi bersama-sama orang-orang beriman beribadah kepada Allah S.W.T dan menyatakan kesyukuran mereka yang tidak terhingga terhadap nikmat al-Quran yang amat berharga ini.

 

Sistem-sistem yang Allah takdirkan kepada alam ini merupakan sistem yang tetap dan tidak berubah dan sesiapa yang melanggarnya akan binasa. Allah telah tentukan peranan api, air, udara, haba, cahaya dan apabila manusia menggunakannya dengan betul mereka akan selamat.

 

Namun manusia tidak mungkin dapat memahami keseluruhan sistem-sistem ini tanpa maklumat daripada Allah. Lantas Allah mendidik dan membimbing manusia melalui tarbiahnya dengan pengutusan al-Rasul dan penurunan al-Quran.

 

Allah menyatakan bahawa al-Rasul merupakan contoh ikutan yang terbaik bagi manusia yang mencintai Allah. Amalan yang berterusan yang menjadi sunnah rasul s.a.w. ialah berdakwah kepada manusia dengan basyir dan nazir, mentazkiyahkan jiwa manusia daripada syirik, khurafat dan dosa maksiat, mengajar manusia memahami al-quran melalui hadis dan sunnahnya.

 

Malangnya umat Islam hari ini ada yang tidak lagi sanggup meraikan malam agung ini. Jika ada yang meraikannya hanya mahu merebut ganjaran gandaan pahala 1000 bulan. Tetapi mereka tidak merasa untuk berterima kasih dan memperhambakan diri kepada Allah setulus kasih kerana nikmat sistem-sistem yang dikurniakan Allah kepada manusia ini dan kepada nikmat al-Quran yang menyuluh kehidupan manusia.

 

Imam al-Banna berkata : ” Aku hairan melihat manusia berjalan teraba-raba di dalam kegelapan malam sedangkan ditangannya terdapat lampu yang amat terang tetapi tidak dinyalakan.”

 

Lampu itulah al-Quran, yang diturunkan di malam al-Qadar, satu malam dibulan Ramadan.

Bertemasyalah dengan penuh kesyukuran kepada Tuhan yang melimpah-limpah Rahmatnya pada alam ini.

 

 

Next Page »