Archive

Archive for November, 2007

Tahu ..tetapi

November 13, 2007 Leave a comment

Kali ini saya ingin mengajak saudara saudari berfikir sejenak mengenai sikap kita yang selalunya berkata: “Saya tahu itu dosa tetapi saya tetap melakukannya”. ” Saya tahu perkara ini baik tetapi….”, “saya tahu saya perlu… tetapi” Persoalannya kenapa masih wujud perkataan tetapi dalam kamus hidup kita apabila akal kita secara waras telah menghukumkan sesuatu itu perlu, baik, bahaya dan sebagainya tetapi tindakan kita tetap sebaliknya.

 Kenapakah begitu sering terjadi?

lihat di sini pula http://excel4attitude.wordpress.com/

Ciri-ciri Unggul Perencanaan Harakah Islamiah

November 10, 2007 1 comment

Perkataan Islamiyyah yang dinisbahkan kepada harakah menggambarkan betapa intimnya gerakan tersebut dengan agama Islam. Matlamatnya merujuk kepada matlamat Islam diturunkan kepada manusia dan matlamat Allah menciptakan manusia. Manhajnya adalah manhaj sekelian nabi dan rasul yang disempurnakan oleh nabi Muhammad s.a.w, manhaj generasi sahabat dan salaf al-soleh yang diredai Allah. Wasilah, cara atau metodologi yang di gunakan terlebih dahulu dinilai berasaskan neraca Syarak dan petunjuk sunnah nabi s.a.w. Pemimpin mereka adalah pimpinan yang berhubung rapat dengan Allah dan rasulNya. Al-Quran dan al-Sunnah dibaca, difahami dan dijadikan panduan.

Takhtit

Oleh itu perencanaan gerakan Islam tidak sama dengan perencanaan parti sekular.

Neraca kekuatan tidak diukur dengan kuantiti sahaja tetapi diukur dengan tersebar luasnya akhlak-akhlak imaniah dikalangan ahlinya, bertambah luas kejernihan dan kesucian hati, banyak memanfaatkan masa untuk beristighfar dan sentiasa memperbaharui taubat. Ketika matlamat keunggulan individu ini tercerna dalam arus harakah Islamiah ketika itu wujud tanda-tanda kemenangan sudah hampir.

Abu Bakar al-Siddiq tidak akan membuat sesuatu polisi dalam sistem pemerintahan jika tidak ada nas yang menyuruhnya. Sehinggakan Umar terpaksa berulang kali meyakinkannya bahawa mengumpul al-Quran adalah satu tugas mulia yang amat diperlukan kepada generasi pewaris dan akhirnya barulah beliau meyakini sebagaimana keyakinan Umar.

Umar al-Khattab memahami Kemaslahatan Agama dan Ummah sebagai matlamat Syarak dan di-atas neraca tersebut  beliau tidak menjadikan tanah-tanah rampasan dalam peperangan sebagai harta Ghanimah yang dibahagikan, beliau mewajibkan zakat kepada penternak kuda dan memfatwakan sesiapa yang menceraikan isterinya dengan talak tiga dalam satu lafaz jatuh talak tiga demi memelihara maruah agama agar tidak dipermainkan oleh orang-orang yang jahil.

Umar al-Khattab sentiasa berpesan kepada tentera-tenteranya yang berjihad di medan perang supaya sentiasa bertaubat sebelum berperang.

Abu Darda’ berkata: ” Wahai sekelian manusia, lakukan amal-amal soleh sebelum berperang kerana kamu berperang dengan amal-amal kamu”.

Fudhai bin Iyadz berkata kepada para mujahidin sebelum mereka berangkat:  “Hendaklah kamu bertaubat, kerana taubat dapat mempertahankan kamu daripada apa yang tidak boleh diselamatkan oleh pedang”.

Begitulah kita hari ini. Kita menghadapi golongan athies, sekular dan pemerintahan kuffar dengan amal-amal ibadah kita sebelum kita memerangi mereka dengan sijil-sijil kita, kepakaran-kepakaran kita dan kekuatan kita.

Syarat Untuk Memberi.

Gerakan Islam hanya akan berjaya membawa arus masyarakat kembali kepada Islam apabila gerakan Islam berjaya membawa arus kehidupan ahlinya terlebih dahulu kepada Islam. Inilah syarat, untuk memberi harus dahulu memiliki. Seseorang yang miskin tidak akan mampu memberikan apa-apapun. Gerakan Islam yang tenat kerohaniannya tidak akan mampu menyembuhkan rohani masyarakat yang tenat. Gerakan yang miskin kekuatan rohani tidak akan mampu menghidupkan rohani yang mati.

Sunnah Medan Megnet.

Setiap gerakan bermula dengan satu langkah, seterusnya momentumnya bertambah, kelajuannya menjadi arus gelombang dan menarik sesiapa sahaja yang berada di sekitarnya. Begitulah sifat takwa, warak dan akhlak-akhlak imaniah yang menjadi asas kerahmatan kepada Manusia yang menjadi objektif Syariat. Ia bermula dengan satu detik niat yang putus di dalam hati. Bermula dengan seorang individu, bermula dengan sebuah keluarga menjadi jamaah yang haraki, menjadi arus dan gelombang menarik ummah kepada Allah.

Cukuplah setiap duah sibukkan dirinya dengan Allah beristighfar dan bersolat, menjaga takwa dan wara, memelihara iffah dan qanaah, menzahirkah ukhuwwah dan itsar, menafkahkan harta dan jiwanya kejalan Allah dan beriltizam dengan syarat-syarat jundiah; arus graviti medan megnet dirinya akan membesar dan bergabung tenaga dengan medan saudaranya membawa perubahan.

Diam Berisi.

Ciri-ciri terdahulu dilengkapi dengan kesempurnaan ikhlas yang membiarkan realitinya yang bertutur menggantikan dentuman rebana publisiti. Masa akan menyebelahinya. Kebenaran akan terserlah. Dan mereka tidak sedikitpun merasa bimbang untuk memperomosikan siapakah mereka kerana arus yang mereka bina dalam diam tidak akan mampu dihalang apabila ia telah menjadi air yang penuh di dalam ampangan. Ia boleh mengakibatkan banjir besar yang merubah secara paksa atau ia menjadi tali-tali air menyiram sawah ladang dan memutarkan kincir memberikan tenaga.

Rijal Yang Beramal

Tidak ada ertinya mengumpul buih-buih yang kosong. Ahli gerakan Islam adalah rijal yang memiliki sifat kelelakian sebenar. Berfikir sebelum bertindak, memberi tanpa meminta balasan, bertanggungjawab dan sentiasa berada dibarisan hadapan memberi sumbangan, berjihad, berkorban, kerahmatan dan kasih sayang memadamkan kebakhilan, bertegas terhadap prinsip yang diimani, tidak berganjak, yakin terhadap manhaj dan berlapang dada dan mengutamakan keputusan jamaah mengatasi sifat individualistik.

 Mereka adalah rijal-rijal yang mengotakan apa yang dikatakan.

 nota: petikan dari kitab al-Masar, oleh al-Rasyid.

Categories: Tasawwur Amal Haraki

Menyediakan Prasarana Perjuangan Untuk Generasi Pewaris

November 7, 2007 Leave a comment

Firman Allah bermaksud: 

  “ Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah. Dan hendaklah setiap diri memeriksa apakah yang telah disediakannya untuk hari esok..”,  al-Hasyr : 18.

“ Dan buatlah persediaan untuk menghadapi mereka, apa sahaja kekuatan yang termampu oleh kamu.”; al-Anfal : 60. 

Nabi s.a.w. bersabda : “ Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara….” 

“ Didiklah generasi hari ini, kerana mereka akan hidup pada zaman bukan zaman kamu” Umar. 

Prasarana perjuangan merangkumi melengkapkan generasi pewaris dengan 5 persediaan asas. 

Persediaan Mental

Persediaan Spritual

Persediaan Skill

Persediaan Sikap

Persediaan Prasarana 

Di antara tuntutan Fiqhul Waqie ialah kita memahami realiti musuh dan tabiat gerak kerja mereka dalam menghadapi kebangkitan Islam. Setelah kita memahami percaturan mereka; umat Islam dan gerakan Islam perlu membuat persediaan yang secukupnya untuk mengahadapi mereka. 

Peperangan dan jihad antara kebenaran dan kebatilan, Islam dan Kufur, umat Islam dan Zionis akan berterusan sehingga hari kiamat. Ini adalah tabiat kehidupan di dunia yang telah ditakdirkan oleh Allah Azza wa Jalla. 

Peperangan ini sejak permulaan sejarah manusia, bukan sekadar membawa kepada penjajahan tanahair oleh musuh Islam, tetapi penjajahan pemikiran, penjajahan neraca nilai, penjajahan undang-undang, penjajahan sistem, penjajahan budaya dan sikap hinggalah penjajahan ekonomi dan sumber kehidupan. 

Kemerdekaan seorang muslim, ketulenan ikhlas pengabdiannya kepada Allah hanya akan terlaksana apabila seluruh dirinya dan kehidupannya ; pemikirannya, neraca nilainya, sikapnya, sistem yang menyususn kehidupannya, undang-undang yang menjadi rujukannya dalam menyelesaikan pertikaian, amalan budaya ketika gembira dan duka, sumber dan kekuatan ekonominya, keseluruhannya merdeka daripada kongkongan dan penguasaan selain daripada Allah. 

Persediaan mental, spiritual, skill dan sikap boleh dibina melalui tarbiah berasaskan pembelajaran dan pendidikan yang berobjektif dan bersepadu. Manakala persediaan prasarana memerlukan tindakan dan pengorbanan generasi hari ini. Prasarana yang saya maksudkan ialah: 

  1. Wadah perjuangan yang mantap.
  2. Biah yang menyokong.
  3. Kekuatan ekonomi yang mampu bersaing.

 Kemantapan wadah perjuangan bergantung kepada kesatuan fikrah semua aktivisnya, kekuatan ukhuwwah di kalangan mereka dan kekuatan disiplin setiap anggota. Kekuatan ini hanya lahir melalui amalan `jundiah laluan kepada qiadah’ dalam proses pembinan tanzim.  Semua umat Islam perlu terlibat di dalam perjuangan dengan bersama-sama membina wadah yang mantap dan bersedia menjadi jundi sebelum dilantik menjadi pimpinan.

Biah yang menyokong, lahir daripada kesedaran, sensitiviti dan kerjasama wadah-wadah yang beramal untuk Islam terhadap perkara yang disepakati dan bertolak ansur terhadap perkara yang tidak sepakat. Sekurang-kurangnya setiap ahli gerakan Islam cuba memahami dan berbaik sangka terhadap sahabat seperjuangan.

Perkara ini menuntut setiap gerakan Islam memahami isu-isu khilafiyyah dan isu-isu yang mempunyai dalil yang qat`i dan menghayati adab-adab khilaf yang menjadi amalan sekelian ulama. Gerakan Islam juga perlu berhati-hati dalam menerima berita walaupun yang dibawa oleh ahlinya. Isu-isu yang berkaitan dengan salahfaham yang timbul antara aktivis-aktivis gerakan Islam hendaklah diselesaikan melalui saluran kepimpinan.

Perkara paling asas ialah menerima kewujudan gerakan Islam lain di medan dakwah, bersikap terbuka dan cuba memahami apakah sandaran Syarak yang digunakan oleh mereka dalam melakar peta siasahnya. 

Kekuatan ekonomi bermula apabila umat Islam mula mengambil tempat di dalam peta ekonomi Negara, berusaha menyediakan semua keperluan fardu kifayah dan membebaskan ekonomi daripada bergantung kepada  monopoli golongan bukan Islam.

Umat Islam perlu mengambil peluang terlibat dalam semua bidang ekonomi seperti;  industri pemakanan dan pakaian pengeluaran dan pemasaran, industri pengangkutan darat udara dan lautan, industri komputer dan telekomunikasi, industri perbankan dan takaful hatta industri perfileman, penerbitan dan media massa. 

Umat Islam perlu keluar daripada menjadi golongan pengguna kepada menjadi golongan pengeluar dan pengedar. Ia bermula dengan niat yang jelas, kemahuan yang tinggi dan tindakan yang efisyen.

Categories: Tasawwur Amal Haraki

Perutusan `Aidil Fitri

November 1, 2007 Leave a comment

Saya memanjatkan Syukur kepada Rab yang melimpah dan tidak terhitung kurniaan rezkiNya, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Salam sejahtera ke atas pimpinan dan qudwah kita nabi Muhammad, sekelian para sahabat yang telah berjuang dan meninggalkan kepada kita manhaj hidup yang jelas seterang matahari siang dan tidak lupa kepada sekelian mujahidin yang telah menunaikan janji mereka dan yang masih dalam perjalanan menuju kepada Allah.

Tarbiah Rabbani di musim Ramadan telah berlalu, sebagaimana berlalunya musim-musim lain juga dalam perjalanan hidup kita, namun tarbiah berjihad dan beramal akan sentiasa menunggu kita pada hari dan saat berikutnya sehingga kita tiba dihujung waktu yang telah diperuntukkan kepada kita. Ada dikalangan kita yang berjaya sampai kegarisan penamat dan mendapat keredaan Allah dan ada yang masih berada di fasa-fasa awal perjalanan tetapi masa yang diperuntukkan kepadanya sudah tamat.

Amat malang lagi ada dikalangan manusia yang sepatutnya menggunakan peruntukan masa yang diberikan kepadanya untuk bermusafir kepada Allah tetapi digunakan untuk bersiar-siar di taman persinggahan ini, leka dan takjub dengan keindahannya, bermain-main dan bergurau senda , membuang masa menikmati segala yang sememangnya adalah perangkap dan tipu daya. Dia merasa aman, selamat seolah-olah masanya untuknya terlalu mewah sehinggalah masa yang diberikan kepadanya tamat. Masanya dihabiskan untuk rumah, kereta, teman-teman untuk bersuka selebihnya digunakan untuk membuat aktiviti rutin sebagai hamba barang beberapa minit dengan solat dan sujud yang hambar.

Lebih malang lagi mereka yang tidak tahupun bahawa kita sebagai umat Islam yang telah bersyahadah dengan Allah perlu beramal, berjihad, berkorban untuk menunaikan amanah Allah dan merealisasikan objektif manusia diciptakan dan diturunkan ke dunia ini. Sudahlah diri dan jiwa raganya tidak dibawa bermusafir untuk bertemu Allah dengan hati yang sejahtera; anak-anak, isteri dan masyarakat yang memerlukan bimbingannyapun dibiarkan begitu sahaja.

Kalau kerja-kerja di ofis kita ; ada objektif tahunan, objektif bulanan, objektif mingguan, objektif harian, objektif pagi dan petang, objektif setiap 45 minit apakah patut kerja-kerja untuk menyelamatkan ummah, membina kembali pemerintahan sistem khalifah yang telah diruntuhkan oleh Yahudi kita pakai hentam saja.

Kalau kerja-kerja di pejabat kita selalu ikut kursus “team building”, “team work” dan kita ikut saja manual kerja yang disediakan apakah patut kerja-kerja untuk mengembalikan kegemilangan Islam kita buat sendiri-sendiri, tidak berfasa, tidak saling melengkapi.

Kenapa kita jadi begitu? Sebab dipejabat semua manual dan sistem sudah siap. Kita hanya perlu belajar bagaimana untuk mengaplikasikannya sahaja tetapi manual kerja-kerja Islam kita kena buat sendiri, kita kena baca al-Quran, baca hadis nabi, lihat sejarah perjuangan nabi, lihat sikap-sikap sahabat dan keluarkan manual yang sesuai untuk kita aplikasikan pada masa ini.

Umat Islam sudah lama tertipu, sistem yang mereka laksanakan sepanjang hayat mereka bukan sistem yang dihasilkan daripada pemerhatian ini tetapi adalah ciptaan barat yang kufur dan memusuhi Islam. Mereka sangka kerja mereka adalah ibadah yang syumul tetapi mereka tidak sedar mereka hanya menjadi alat untuk merealisasikan perancangan yang telah disiapkan oleh musuh-msuh Islam.

Mereka sangka dengan menjadi pensyarah, guru sekolah, guru-guru takmir masjid dan surau mereka sudah berada di atas jalan yang lurus dalam merealisasikan objektif Allah mencipta mereka. Sedarlah ! belum lagi dan tidak lagi di atas sirat al-mustaqim kalau sekadar itu usaha mereka.

Apakah objektif seluruh sistem tersebut untuk melahirkan mujahid, amilin, pendakwah yang melaksanakan amanah Allah. Bukankah jalan yang lurus itu jalan para nabi, siddiqin, syuhada dan salihin.? Lihatlah berapa ramai anak bangsa kita yang tamat pengajian mereka selama 14 tahun, habis berpuluh ribu wang dibelanjakan untuk mendidik setiap mereka tidak termasuk kos bangunan dan fasiliti tetapi tidak tahu membuat kerja hatta untuk menyara diri sendiri, inikan untuk menjadi pewaris nabi, golongan siddiqin, pejuang-pejuang yang mencintakan syahid ataupun sekurang-kurangnya menjadi ahli ibadah yang soleh

Jadi berapa jamkah sehari kita peruntukan masa kita untuk merealisasikan matlamat dakwah dan berapa jam pula kita menjadi alat kepada sistem yang dicipta oleh jahiliah.?

Allah berfirman yang bermaksud : ” Katakanlah ( Wahai Muhammad) , sekiranya kamu cintakan Allah ikutlah aku nescaya kamu akan dikasihi Allah”.

 Tidak sempurna kita mengikut nabi kalau kita tidak tahu apakah cita-cita, matlamat, perasaan, strategi, plan dan aktiviti yang dilakukan oleh nabi selama hayat baginda. Kita hanya akan berjaya mencapai matlamat perjuangan sebagaimana baginda berjaya sehinggalah kita semua menduplikasi setiap saat kehidupan nabi dalam kehidupan kita hari ini. Ketika itu barulah benar-benar kita berada di atas siratul mustaqim di dunia ini dan kita akan selamat melalui siratul mustaqim di akhirat

Tidak sempurna amal kita jika bersendirian. Carilah sahabat-sahabat yang faham cara beramal. Sertailah mereka dan hulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh mereka. Kalau tidakpun sudilah bersama-sama kami dalam ISMA.

 Wassalamu`alaikum.

KP ISMA DHL.

Categories: Rohaniyat
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,738 other followers